Ahad, 21 Februari 2021 | 10:30am
Air kolam itu menjadi sebutan sehingga dikenali Sungai Merah dalam kalangan pendaki berikutan keunikannya.- Gambar Ihsan Facebook Gunung Panti
Air kolam itu menjadi sebutan sehingga dikenali Sungai Merah dalam kalangan pendaki berikutan keunikannya.- Gambar Ihsan Facebook Gunung Panti

Kolam 'darah', batu tenggek tarikan Gunung Panti

TERPEGUN, cantik, tenang, mengujakan dan penuh keunikan.

Begitulah suasana panorama alam begitu indah yang memiliki pesona begitu unik sepanjang perjalanan meredah Hutan Lipur Gunung Panti, di Kota Tinggi, Johor, berhampiran Kampung Lukut ini.

Berbeza gunung lain, puncak setinggi 456 meter (m) ini tiada cerun, sebaliknya diliputi tanah lapang, selain ada sebuah kolam dengan airnya berwarna merah di sebelah barat gunung itu.

Di sebelah timurnya pula mempunyai batu tenggek setinggi dua tingkat bangunan begitu unik seolah-olah seperti disusun.

Keajaiban air kolam itu menjadi sebutan sehingga dikenali Sungai Merah dalam kalangan pendaki.

Air merah disebabkan humus dari bahan organik yang bertimbun menimbulkan pelbagai corak berikutan pantulan siaran matahari.- Foto Ihsan Facebook
Air merah disebabkan humus dari bahan organik yang bertimbun menimbulkan pelbagai corak berikutan pantulan siaran matahari.- Foto Ihsan Facebook

Tambah cantik air berwarna merah mewujudkan pelbagai corak akibat daripada pantulan sinaran cahaya matahari.

Situasi itu sungguh menakjubkan dan membuatkan ramai teruja untuk terus meneroka keindahan alam semula jadi di situ.

Air merah daripada humus

Pemandangan Hutan Lipur Gunung Panti, di Kota Tinggi.- Gambar Ihsan Muhammad Yazid
Pemandangan Hutan Lipur Gunung Panti, di Kota Tinggi.- Gambar Ihsan Muhammad Yazid

Pemandu arah Gunung Panti, Muhammad Yazid Ayub, berkata untuk ke puncak Gunung Panti dan melihat keindahan kolam air merah itu pengunjung perlu melalui denai.

Beliau yang berpengalaman lebih 36 tahun dalam aktiviti pendakian itu menjelaskan kolam air merah itu memang sudah wujud di situ sejak dahulu.

"Kajian mendapati, air itu datang daripada takungan air hujan yang banyak menyerap ke dalam tanah serta batuan di situ.

"Air menjadi merah disebabkan humus dengan bahan organik yang bertimbun dan akar pokok dari gunung itu.

"Keadaan air akan menjadi lebih deras seolah-olah sebuah jeram sehingga terbentuk kolam takungan air di kawasan itu.

"Ada orang panggil Sungai Merah tetapi ia hanyalah kolam. Airnya mengalir tidak jauh, iaitu hanya sejauh 30 meter dan akan jatuh ke bawah jurang tanpa membentuk sungai di bawahnya," katanya.

Rentas kolam air merah

Air merah di dalam kolam itu juga tiada sebarang hidupan di dalamnya.

Muhammad Yazid memandu rah pendaki lain meredah Hutan Lipur Gunung Panti.`
Muhammad Yazid memandu rah pendaki lain meredah Hutan Lipur Gunung Panti.`

Namun, ia tetap satu keunikan dan keajaiban yang ada di Gunung Panti.

"Kolam semula jadi air merah ini perlu dipelihara kerana airnya boleh diminum. Kolam ini menjadi sebahagian laluan pendakian untuk ke tapak perkhemahan.

"Pengunjung akan merentasi kolam ini untuk perjalanan seterusnya.

"Saya cadangkan supaya dibina titi untuk mengelakkan air tercemar dan kotor ketika pengunjung merentas kawasan ini," katanya.

Batu tenggek setinggi dua tingkat bangunan seperti disusun antara keunikan isi alam di Gunung Panti.- Gambar Ihsan Facebook Gunung Panti
Batu tenggek setinggi dua tingkat bangunan seperti disusun antara keunikan isi alam di Gunung Panti.- Gambar Ihsan Facebook Gunung Panti

Keunikan batu tenggek

Satu lagi keunikan hutan simpan ini, pengunjung yang melalui laluan dari Mersing pula akan dapat melihat tarikan batu unik diberi gelaran batu tenggek.

"Pengunjung perlu mendaki kira-kira satu jam atau lebih sampai ke lokasi batu tenggek.

"Tiada sejarah mengenai kewujudan batu tenggek ini, tetapi jika diperhatikan batu ini seolah-olah seperti disusun secara semula jadi memukau mata memandang.

"Batu tenggek dengan ketinggian dua tingkat sebuah bangunan ini turut menjadi tumpuan pengunjung untuk mengambil gambar yang tidak pernah ditemui di tempat lain," katanya.

Gunung Panti ini luas dan mempunyai pelbagai sudut, sekiranya bernasib baik, perjalanan pengunjung mengesan sejarah serta makam lama semasa zaman pemerintahan Melayu lama.

Ada dua laluan, iaitu menerusi Kampung Lukut dengan merentas jalan kampung yang permai.

Di laluan ini, terdapat dua pintu masuk iaitu di pintu gerbang dan keduanya, di Tapak Rekreasi Sukan Lasak RAF Point.

Pelbagai jenis flora menggamit pengunjung teruja menjelajah Gunung Panti.
Pelbagai jenis flora menggamit pengunjung teruja menjelajah Gunung Panti.

Di RAF Point ada tapak perkhemahan dan ada pelbagai aktiviti boleh dilakukan termasuk menunggang All-terrain Vehicle (ATV), Zipline 260 meter, suspended bridge, pintball, tree climbing, archery dan sebagainya.

Laluan tradisional itu digunakan orang tempatan sejak dulu.

Di 'check point' ada anggota keselamatan yang akan beri bantuan jika ada pendaki tersesat.

Laluan kedua, menerusi Kota Rain Forest. Laluan ini lebih pendek tetapi agak sukar kerana perjalanan menempuhi tembok tinggi setinggi 30 meter dan terus sampai ke puncak Daguk.

Laluan ini tidak merentasi ke Panti Tengah dan tidak berapa sesuai untuk perkhemahan kerana tiada sumber air.

Pendakian biasanya memerlukan masa dua jam untuk sampai ke puncak.

Ribuan spesies serangga

Selain kolam air merah, tarikan lain ribuan spesies serangga dan labah-labah unik pada waktu malam yang tidak wujud di tempat lain.

Jika ada pengunjung melalui jalan Jabatan Perhutanan di sebelah Mersing, pula pemandangan berbeza dan tarikan berbeza.

Di sini juga pengunjung boleh melihat pelbagai flora selain pelbagai spesies bunga orkid yang jarang ditemui.

Ada juga pohon seraya, keruing, meranti dan tumbuhan lain yang mempunyai khasiat perubatan.

Flora dan fauna ditemui di sini.
Flora dan fauna ditemui di sini.

Bagaimanapun, untuk sampai ke hutan simpan kekal ini, pendaki perlu mendapatkan permit untuk memasuki hutan dari Jabatan Perhutanan di Bukit Timbalan Johor Bahru, dua minggu sebelum aktiviti pendakian.

Info:

Gunung Panti

* Ketinggian puncak 456 meter

* Terletak 9 km dari bandar Kota Tinggi

* Laluan trek 18 km

* Laluan pendakian bermula dari RAF Point.

* 48 km dari bandar raya Johor Bahru.

* Gunung Panti ada hutan Dipterokarp Bukit iaitu kawasan hutan ketinggian 300- 750 meter dari paras laut.

* Hutan paling luas di Semenanjung

Berita Harian X