Ahad, 31 Januari 2021 | 10:30am
Kira-kira 100 spesies sampel kehidupan marin jadi daya tarikan baharu ada di Muzium Eko Forest City. - Foto/Ihsan Muzium Eko Forest City.
Kira-kira 100 spesies sampel kehidupan marin jadi daya tarikan baharu ada di Muzium Eko Forest City. - Foto/Ihsan Muzium Eko Forest City.

Teroka khazanah hidupan marin

SEPERTI berada di alam hidupan marin. Lebih teruja dapat melihat lebih 100 spesies sampel hidupan marin berwarna-warni di dalam akuarium ekosistem marin di Muzium Eko Forest City.

Lokasi terletak berhampiran Gelang Patah, Johor itu juga menempatkan spesies rumput laut, belangkas dan pelbagai jenis fauna yang hidup dan bergerak bebas di dalam akuarium.

Muzium itu dibuka sejak 21 September tahun lalu sebagai usaha berterusan Forest City ke arah pembangunan kota hijau dan pembangunan lestari.

Mini muzium menggabungkan kawasan koridor ekologi hijau, beting rumput laut, ruang pameran dan makmal ke dalam satu sistem, lantas menawarkan pengalaman berbeza buat pengunjung.

Di sini, dipamerkan spesimen dan maklumat berkenaan ekologi alam semula jadi terdapat di sekitar Forest City.

Forest City berada hampir dengan beberapa ekosistem yang unik, iaitu hutan paya laut (bakau), beting rumput laut dan terumbu karang.

Dari sudut penyelidikan disediakan sebuah makmal bagi tujuan itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Syarul Izam Sarifudin, berkata fasa pertama pembangunan muzium ini, merangkumi ruang pameran, makmal dan sebahagian eko-koridor terdiri daripada pelbagai jenis flora.

Muzium Forest City menawarkan pengalaman berbeza pengunjung melihat pelbagai spesies hidupan marin.
Muzium Forest City menawarkan pengalaman berbeza pengunjung melihat pelbagai spesies hidupan marin.

Fasa kedua pembangunan eko muzium sedang giat dibangunkan manakala fasa ketiga masih di dalam status perancangan.

Fasa kedua akan memanfaatkan teknologi tinggi seperti pengalaman reality maya (VR), rakaman langsung pemeliharaan kuda laut dan rumput laut.

Aplikasi teknologi tinggi ini pengunjung dapat merasai pengalaman baru berada di dalam ekosistem semula jadi.

Konsep ekologi hijau

Pembangunan Forest City adalah berdasarkan konsep lestari, justeru alam sekitar dilindungi melalui konsep ekologi hijau.

"Kami bersama pakar bidang konservasi, biologi marin dan alam sekitar dengan universiti tempatan untuk membantu Forest City melanjutkan usaha memelihara khazanah alam di sekitar muzium ini.

"Kerja memelihara rumput laut dijalankan selama lima tahun dan usaha perlindungan intensif hutan bakau serta hidupan marin di sekitarnya diterukan," katanya.

Hutan bakau menyediakan habitat bagi ribuan spesies di semua peringkat jaringan makanan laut.

Pokok bakau penting dengan kualiti air. Dengan rangkaian akar dan tumbuh-tumbuhan di sekitarnya yang padat, pokok ini menyaring dan memerangkap sedimen, logam berat serta bahan pencemar lain.

Aktiviti pemuliharaan, awalnya pada skala kecil seperti memindahkan pokok di sepanjang kawasan pembangunan, kini berkembang kepada pemuliharaan rumput laut bersama kelab alam sekitar, Kelab Alami dan pakar dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Ia dikembangkan dan menjadi sebahagian identiti Forest City. Muzium Eko ini diwujudkan supaya ilmu berkaitan khazanah alam ini dapat dikongsikan," katanya.

Jadi pusat penyelidikan

Muzium Eko itu juga berfungsi sebagai platform pertukaran pengetahuan untuk penduduk, komuniti setempat dan sukarelawan alam sekitar yang lain.

Bagi sektor pembinaan, penggunaan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) sangat membantu dalam mengurangkan pencemaran.

Selain itu, pengunjung boleh singgah melihat khazanah alam seperti rumput laut, hutan paya bakau dan ekosistem marin di Pulau Merambung yang terletak kira-kira 10 minit dengan menaiki bot dari muzium itu.

Pulau Merambung adalah lubuk ekologi dan habitat marin, selain lokasi penyelidik menjalankan kajian biologi marin.

Pegawai Lanskap Kanan Muzim Eko Forest City, Muhammad Syafiq Abdullah, berkata terdapat dua elemen di muzium ini, iaitu pemeliharaan alam dan penyelidikan.

Perkarangan Muzium Eko Forest City turut dilengkapi tumbuhan menghijau.
Perkarangan Muzium Eko Forest City turut dilengkapi tumbuhan menghijau.

Katanya, dalam sesebuah penyelidikan, data dan pengawetan sampel sangat penting.

"Sebagai makmal perantaraan bagi pengumpulan data di sesuatu kawasan dan pengawetan sampel sebelum ia dibawa pulang ke makmal yang lebih sesuai untuk kajian lanjut," katanya.

Makmal bertujuan memberi pendedahan kepada orang awam berkenaan kajian dilakukan di sini.

"Ia terbuka kepada mana-mana institusi atau universiti untuk menggunakannya bagi menjalankan aktiviti kerja lapangan pelajar atau penyelidikan di sekitar kawasan Forest City," katanya.

Berita Harian X