Ahad, 17 Januari 2021 | 10:30am
Galeri Madu Kelulut Bukit di Terengganu antara tarikan pelancong ke negeri itu.- Foto Ihsan GMKB
Galeri Madu Kelulut Bukit di Terengganu antara tarikan pelancong ke negeri itu.- Foto Ihsan GMKB

Ambil madu terus dari 190 sarang lebah

MADU mempunyai pelbagai khasiat dan bagaimana dihasilkan dan dituai menjadikan sesetengah orang mahu mengetahuinya secara terperinci.

Justeru, Galeri Madu Kelulut Bukit (GMKB) yang ditubuhkan sejak 2017, di Terengganu menjadi antara tarikan pelancong yang berkunjung ke negeri itu.

Terletak di kaki Bukit Bayas, Kuala Terengganu sememangnya strategik sebagai tempat wajib dikunjungi pelancong.

Ditubuhkan melalui projek bersama Projek Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Terengganu dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri sekali gus menawarkan pelbagai pengisian menarik kepada pengunjung berasas bidang penternakan lebah kelulut.

Banyak perkara boleh dipelajari di galeri ini,- foto/GMKB
Banyak perkara boleh dipelajari di galeri ini,- foto/GMKB

Uniknya GMKB itu kerana memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman mengambil madu di 190 sarang lebah kelulut disediakan.

Lima jenis kelulut terbaik di dunia diternak di GMKB iaitu trigona itama, trigona thoracica, trigona terminata apicalis, lophottrigona canifrons dan laeviceps.

Tarikan utama di Terengganu  

Pengurusnya, Mohd Sufian Mat Nor, berkata GMKB dikunjungi lebih 2,000 pengunjung pada 2019 dan menjadi antara tempat tarikan pelancongan utama di negeri ini selepas ia tular di media sosial.

Pelancong asing tidak lepaskan peluang melawat di galeri ini.- Foto/GMKB
Pelancong asing tidak lepaskan peluang melawat di galeri ini.- Foto/GMKB

"Pengunjung dalam dan luar negara datang ke negeri ini semata-mata ingin ke GMKB termasuk dari Brazil pada 2018, selain Hong Kong dan Singapura.

"Kami menerima pelancong dari Brazil, iaitu Arthur Bonfa Santana, 26 dan Ana Maria Zaldanha Pereira, 24, yang datang sebelum ini meluangkan masa lebih sejam di GMKB," katanya.

Selain menikmati madu kelulut asli terus dari sarang, pengunjung juga diberi pendedahan mengenai cara penternakan lebah kelulut bermula daripada awal hingga ke peringkat akhir.

Sediakan kafeteria   

Beliau berkata, pengunjung boleh bergambar dan melawat taman di situ untuk mengetahui lebih mendalam penternakan lebah kelulut.

"Tiada bayaran dan mereka bebas datang bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang, setiap hari.

"Hujung minggu, pelanggan boleh datang cuma perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada kami," katanya.

Ada 190 sarang lebah kelulut di galeri ini.- Foto/GMKB
Ada 190 sarang lebah kelulut di galeri ini.- Foto/GMKB

Bergambar di lukisan mural

Beliau berkata, GMKB juga mengumpul lebih 10 jenis tanaman yang menjadi sumber makanan dan madu kepada lebah kelulut termasuk pokok air mata pengantin, porana, belimbing madu, belimbing buluh, nangka dan pelbagai jenis pokok bunga.

"Dekorasi di sini mengikut kesesuaian dan permintaan pengunjung untuk bergambar.

"Rata-rata pengunjung yang datang gemar bergambar berlatar belakang lukisan mural pada dinding GMKB dan replika patung lebah kelulut gergasi yang ditempatkan di hadapan premis ini," katanya.

Tempat rujukan penternak kelulut

Beliau berkata, untuk penambahbaikan pada masa depan, perancangan GMKB adalah untuk menyediakan kafeteria di premis terbabit.

"Kita akan sediakan makanan dan minuman berasaskan madu lebah kelulut sekali gus akan memberi pengalaman baru kepada pengunjung.

"Lebih banyak jenis lebah kelulut yang ada di seluruh dunia akan diternak di GMKB, pada masa akan datang secara tidak langsung akan menjadi tempat rujukan kepada penternak kelulut dan universiti di seluruh negara," katanya.

Berita Harian X