Ahad, 3 Januari 2021 | 11:30am
Air Terjun Janda Mandi seindah namanya, selain lokasinya berhampiran Pantai Teluk Kalong, yang menghadap ke Laut China Selatan. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli
Air Terjun Janda Mandi seindah namanya, selain lokasinya berhampiran Pantai Teluk Kalong, yang menghadap ke Laut China Selatan. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli

Gamitan Air Terjun Janda Mandi

Air Terjun Janda Mandi (ATJM) seindah namanya, selain lokasinya berhampiran Pantai Teluk Kalong, yang menghadap ke Laut China Selatan menjadikan sesiapa sahaja yang menjejaki kaki di sana rasa puas melihat panorama alam.

Ia mempunyai pesona dan keunikannya tersendiri berbanding kebiasaan lokasi air terjun lain di negara ini kerana jatuhan airnya akan mengalir pantai berhampiran. 

Malah, namanya juga unik juga menggamit pengunjung untuk datang dan melihat sendiri mengapa ia digelar janda mandi?

Air Terjun Janda Mandi, terletak di Bukit Gemuk, berhampiran Kampung Teluk Kalong, Kijal, Terengganu, iaitu lebih kurang 12 minit perjalanan dari bandar Chukai semestinya mudah orang ramai mengunjunginya.

Gabungan keindahan alam

Istimewa dan kelainan kerana air terjun setinggi antara 80 hingga 90 meter ini, airnya jatuh terus mengalir ke Pantai Teluk Kalong.

Air Terjun Janda Mandi mempunyai pesona dan keunikannya tersendiri berbanding kebiasaan lokasi air terjun lain di negara ini kerana jatuhan airnya akan mengalir pantai berhampiran. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli
Air Terjun Janda Mandi mempunyai pesona dan keunikannya tersendiri berbanding kebiasaan lokasi air terjun lain di negara ini kerana jatuhan airnya akan mengalir pantai berhampiran. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli

Ia boleh diiktiraf pertama di Terengganu atau mungkin di Malaysia.

Biarpun keluasan di ATJM tidak seluas air terjun lain di negara ini, namun suasana dan gabungan lengkap keindahan alam di antara hutan, bukit, laut dan aliran air terjun itu sendiri sudah cukup membuatkan pengunjung yang kali pertama menjejakkan kaki ke destinasi itu sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk menikmati keindahan alam, selain bermandi-manda di kawasan berkenaan.

Mengambil masa selama 40 minit perjalanan sejauh 900 meter laluan masuk, iaitu mengikut jalan lama dari Kuala Terengganu ke Chukai merentasi laluan berbukit, mendatar dan menurun sekali gus sesuai dikunjungi penggemar aktiviti mendaki.

Jadi tular sebab namanya

Difahamkan sebelum ini, air terjun ini tidak diketahui umum termasuk dalam kalangan penduduk tempatan sendiri sehingga ia menjadi tular pada Oktober lalu, seterusnya dikunjungi puluhan pengunjung pada setiap hari dan melebihi ratusan orang pada hujung minggu.

Pengunjung, Kampung Pancur, Telok Kalong, Aminul Hakim Embong, 36, berkata beliau bersama beberapa rakannya antara yang pertama dan bertanggungjawab membuat laluan ke AJTM sebelum ia menjadi tular di media sosial.

Aminul Hakim (kanan) dari Kampung Pancur bersama rakan bergambar berlatar belakang Air Terjun. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli
Aminul Hakim (kanan) dari Kampung Pancur bersama rakan bergambar berlatar belakang Air Terjun. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli

"AJTM dahulu hanya terkenal dengan nama sahaja tetapi tiada siapa yang pernah sampai ke situ, selain segelintir penduduk setempat oleh itu pasti ada rahsia dan cerita di sebalik nama itu.

"Nama AJTM itu bukan sengaja dicipta untuk meraih perhatian pengunjung tetapi ia ialah nama asal yang diberikan sejak turun-temurun.

"Memandangkan AJTM terletak di lokasi agak jauh daripada jalan utama dan peserta perlu merentasi hutan berbukit dan bercerun, disarankan mereka mendapatkan khidmat penunjuk arah disediakan penduduk setempat," katanya.

Rentas laluan berbukit

Beliau berkata, air terjun ini dibuka bermula jam 8 pagi hingga jam 5 petang kerana faktor keselamatan pengunjung.

Pengunjung semakin bertambah di Air Terjun Janda Mandi selepas tular di media sosial. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli
Pengunjung semakin bertambah di Air Terjun Janda Mandi selepas tular di media sosial. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli

"Paling lewat kami sarankan pengunjung masuk jam 3 petang kerana pada jam 4.30 hingga 5 petang perlu keluar sebagai langkah keselamatan yang perlu merentasi laluan berbukit.

"Walaupun laluan sudah dibuat cantik dan mudah dilalui, namun cabarannya tetap ada termasuk trek licin dan pengunjung tidak disarankan pergi sendiri sekiranya kurang arif mengenai selok-belok di hutan.

"Jika lokasi ATJM itu senang ditemui sudah pasti ia sudah lama menjadi tarikan dan dikunjungi ramai," katanya.

Beliau berharap orang ramai yang mengunjungi ke lokasi ini menitik beratkan langkah keselamatan masing-masing.

"Lokasi ini tak sama seperti lokasi air terjun lain yang mudah dikunjungi bersama ahli keluarga, di sini laluan mencabar, namun cukup menyeronokkan untuk penggemar aktiviti lasak," katanya.

Air bersih dan menyegarkan

Pengunjung, Siti Syazana Mohd Sabri, 30, dari Kampung Kubang Parit, berkata beliau teruja sebaik sahaja menjejakan kaki ke ATJM itu.

"Pemandangan dan air terjun itu cukup indah sehingga banyak gambar menarik yang boleh diambil.

"Bukan sahaja airnya sejuk dan menyegarkan, malah air bukitnya bersih dan boleh diminum.

"Penerokaan yang menyeronokkan lalunya mencabar. Penat tetapi apabila sampai ke destinasi semua rasa itu hilang," katanya.

Cikfarz Awang, 30, dari Kampung Wakaf Mempelam berkata, beliau mengetahui mengenai ATJM itu selepas destinasi itu menjadi tular di media sosial.

"Saya ingatkan ia terletak berhampiran jalan utama dan tidak perlu mendaki bukit, tapi silap kerana perlu ambil masa lebih 40 minit rentasi jalan berbukit dan licin.

"Di sini keindahan semula jadi masih terpelihara, rasa tenang dan nyaman. Bagi yang ingin kelainan dan keseronokan mandi di air terjun inilah tempat sesuai," katanya.

Kisah wanita kematian suami

Air Terjun Janda Mandi ada kisah tersembunyi dan hanya diketahui segelintir penduduk asal di Kampung Teluk Kalong, Kijal, mengenai asal-usul namanya.

Penduduk, Zakaria Abu Bakar, 59, berkata nama dipilih rentetan kisah seorang wanita yang kematian suami seorang nakhoda.

Air Terjun Janda Mandi di Bukit Gemuk, Telok Kalong, Kijal yang mempunyai keunikan tersendiri sesuai dikunjungi untuk merakam gambar. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli
Air Terjun Janda Mandi di Bukit Gemuk, Telok Kalong, Kijal yang mempunyai keunikan tersendiri sesuai dikunjungi untuk merakam gambar. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli

"Pasangan itu baru berkahwin, suaminya seorang nakhoda yang berlayar untuk berdagang. Ketika dalam pelayaran nakhoda bergurau dengan isterinya yang sedang menjahit.

"Secara tak sengaja jarum itu tercucuk suaminya menyebabkan nakhoda itu meninggal dunia.

"Selepas kematian nakhoda, keadaan di atas kapal tidak terkawal termasuk anak kapal yang mengganggu isteri nakhoda itu," katanya.

Isteri nakhoda meminta kapal berlabuh selepas melihat keindahan air terjun di Bukit Gemuk.

"Isteri nakhoda dilihat mandi di air terjun itu.

"Bagaimanapun, tidak lama selepas wanita itu tiba-tiba hilang dan ghaib di kawasan air terjun itu menyebabkan kapal terpaksa meneruskan pelayaran tanpanya.

"Difahamkan kapal itu karam ketika belayar di kawasan di Teluk Kuang atau lebih terkenal dengan panggilan Pantai Telaga Simpul kerana ketiadaan nakhoda" katanya.

Istimewa dan kelainan kerana air terjun setinggi antara 80 hingga 90 meter ini, airnya jatuh terus mengalir ke Pantai Teluk Kalong. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli
Istimewa dan kelainan kerana air terjun setinggi antara 80 hingga 90 meter ini, airnya jatuh terus mengalir ke Pantai Teluk Kalong. - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli

Cerita terus menjadi misteri

Kehilangan isteri nakhoda itu terus menjadi misteri sehingga kini.

"Malah pernah diceritakan nelayan tempatan mendakwa pernah ternampak kelibat seorang wanita sedang bermandi di air terjun itu," katanya.

Sejak itu, mereka mengambil nama berdasarkan cerita itu. Namun, air terjun itu tidak dikunjungi orang kerana lokasinya jauh daripada penempatan penduduk, selain pelbagai cerita mistik serta larangan ke tempat itu.

Namun, itu sejarah dulu sahaja, semuanya sudah berubah dan sewajarnya tempat ini dijadikan boleh dipopularkan menjadi destinasi pelancongan menarik.

Berita Harian X