Ahad, 20 Disember 2020 | 11:18am
Pemandangan menakjubkan di Sungai Melayu. - Foto NSTP/Omar Ahmad
Pemandangan menakjubkan di Sungai Melayu. - Foto NSTP/Omar Ahmad

Keunikan Sungai Melayu

Saat perjalanan menyusuri Kampung Sungai Melayu, Johor sahaja sudah memukau pandangan dengan sepanjang laluan bermula dari simpang ke Kampung itu dikelilingi pohon kelapa sawit.

Seolah-olah kawasan ini jauh dari kawasan bandar, biarpun pada hakikatnya Kampung Sungai Melayu ini hanya terletak kira-kira 30 kilometer sahaja dari pusat bandar raya Johor Bahru.

Dalam kepesatan bandar yang membangun di kawasan Iskandar Puteri, sungai masih menjadi nadi utama bagi masyarakat nelayan di sini.

Terdapat 106 nelayan laut, 20 penternak kupang dan enam penternak ikan sangkar yang mencari rezeki di sepanjang 15 kilometer di Sungai Kampung Melayu.

Tidak hairanlah, Sungai Melayu menjadi destinasi ekopelancongan bagi pencinta alam semula jadi dari dalam dan luar negara.

Terletak berhampiran pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor di Kota Iskandar, Kampung Sungai Melayu yang berusia lebih 100 tahun ini dikelilingi kawasan paya bakau dan sungai serta mempunyai nilai keunikan tersendiri.

Pernah dipilih sebagai projek perintis ekopelancongan menerusi Program Kawan Iskandar Malaysia pada 2013, kampung itu dipilih bukan sahaja bagi menarik kedatangan pelancong, malah bertujuan mengekalkan warisan tradisi kampung Melayu.

Muhyiddin (dua dari kanan) melawat dan menyampaikan barangan keperluan kepada Azlanizam yang terlantar di katil selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya sebelum banjir daerah ini, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh.- Foto/Roselan Ab Malek
Muhyiddin (dua dari kanan) melawat dan menyampaikan barangan keperluan kepada Azlanizam yang terlantar di katil selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya sebelum banjir daerah ini, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh.- Foto/Roselan Ab Malek

Naik bot menyelusuri Sungai Melayu

Pengerusi Penyelia Khas Dun Kota Iskandar, Pandak Ahmad, 57, yang juga bekas ketua kampung Sungai Melayu berkata Sungai Melayu juga adalah tarikan utama bagi sektor pelancongan di Kampung ini.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan pengunjung termasuk pelancong asing dan domestik termasuk berpeluang menyelusuri Sungai Melayu dengan menaiki bot selama 40 minit.

"Sepanjang Sungai ini pengunjung menikmati keindahan alam flora yang terpelihara, melakukan aktiviti menangkap ketam menggunakan pento. Pento akan dilepaskan oleh pengunjung sendiri dengan tunjuk ajar oleh pengendali bot selaku pemandu pelancong.

"Pengunjung juga berpeluang melawat kolam ternakan kupang. Melihat proses pembersihan kupang dan jika bertuah semasa tempoh matang, boleh melihat kupang ini dituai.

"Lebih menarik lagi, Sungai Melayu mempunyai sejarah sendiri apabila menjadi laluan tentera Jepun sewaktu melancarkan serangan ke atas Singapura semasa perang dunia kedua pada 1945.

"Berdasarkan cerita bapa saya, Jepun turut mendiami Kampung Sungai Melayu dalam tempoh dua minggu sebelum serangan ke atas Singapura dilancarkan. Malah Difahamkan terdapat tinggalan senjata tentera Jepun di dasar Sungai ini," katanya.

Lebih 30,000 dikunjungi pelancong asing

Beliau berkata, jika 20 tahun lalu masih boleh nampak kubu Jepun berdekatan tebing Sungai, tetapi kini tiada lagi terhakis dengan keadaan alam serta pembangunan.

Ekopelancongan Sungai Melayu ini dikendalikan sepenuhnya oleh Koperasi Kampung Sungai Melayu, bermula dari penternak kupang, pengendali bot, pihak pengurusan sehingga penduduk kampung.

Pandak berkata, sungai ini juga kelilingi kawasan paya bakau yang menjadi tumpuan mahasiswa dan juga penyelidik dari universiti tempatan serta luar negara bagi menjalankan kajian mengenai habitat dan bakau.

Katanya kawasan ini turut menjadi tumpuan burung migrasi khususnya pada bulan November.

"Sejak enam tahun lalu menjadi lokasi ekopelancongan, lebih 30,000 pelancong luar negara termasuk Eropah, Asia Tengah, Hong Kong, Korea, Jepun, Australia dan China.

"Kita memang rekod setiap kehadiran pelancong ke kawasan ini. Pengunjung domestik dalam 10,000 ada datang ke sini. Tetapi tahun ini lebih ramai pengunjung domestik mula datang menikmati keindahan alam semula jadi di sini," katanya.

Naik taraf sungai

Beliau berkata, ekopelancongan di sini bukan sahaja memberi manfaat dan ilmu kepada pengunjung, tetapi memberi kelebihan dari sudut ekonomi kepada penduduk tempatan termasuk nelayan.

Mereka mempunyai pendapatan sampingan sebagai pengendali bot membawa pengunjung menyelusuri sungai berkenaan.

Bercerita lebih lanjut, Pandak berharap kebersihan sungai ini dapat dikekalkan bagi mengekalkan sumber pendapatan nelayan menerusi hasil laut dan ekopelancongan.

"Alhamdulillah, sungai ini masih terpelihara, walaupun ada saja yang tak tahu nak menjaga dengan membuang sampah hingga menjejaskan hasil tangkapan ikan.

"Kampung Sungai Melayu juga dalam perancangan untuk menaiktaraf infrastruktur dan keindahan landskap bagi menarik perhatian pelancong khususnya ketika Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA), pada 2022 nanti", katanya.

Pelbagai pakej disediakan antaranya pakej RM35 seorang bagi menjelajah hutan paya bakau melalui sungai dengan menaiki bot, melawat kolam ternakan kupang, melawat kawasan peninggalan sejarah Askar Jepun menyerang Singapura dalam Perang Dunia Kedua.

Terdapat pakej pembelajaran dengan nilai RM25 seorang (minimum 10 orang untuk satu pakej), malah ada pelbagai aktiviti seperti menangkap ketam, menjala, demonstrasi produk tempatan serta pembuatan kraftangan.

Bagi melawat Kampung Melayu, pakej RM30 seorang dengan minimum 10 orang untuk satu pakej.

Pengunjung boleh melawat rumah tradisional, zoo haiwan, demonstrasi kain sarung dan batik, permainan tradisional serta demonstrasi produk tempatan.

Bermalam di rumah rakit

Tidak ketinggalan buat kaki pancing, pakej menarik disediakan dengan harga berpatutan termasuk bermalam di rumah rakit.

Sebelum pulang, jangan dilupa ole-ole seperti makanan segar, kupang, lokan, siput gonggong yang sedia dikopek dengan harga antara RM10 hingga 15 sebotol.

Pengunjung juga boleh mencuba rasa keropok kupang hasil inovasi penduduk tempatan sendiri.

Berita Harian X