Ahad, 29 November 2020 | 11:30am
 Muzium Tokoh Johor yang terletak di Bukit Senyum Johor Bahru menempatkan sejarah tokoh-tokoh kelahiran Johor.-Foto/Omar Ahmad
Muzium Tokoh Johor yang terletak di Bukit Senyum Johor Bahru menempatkan sejarah tokoh-tokoh kelahiran Johor.-Foto/Omar Ahmad

Lawat muzium secara maya

Ingin melihat misteri keris berdiri, manuskrip Melayu tulisan jawi pada abad ke-15, kamera Compact Graflex berusia 115 tahun dan seterika gasoline berusia 117 tahun?

Semua itu antara pelbagai bahan sejarah serta warisan budaya di Muzium Tokoh, Muzium Kota Tinggi dan Muzium Mersing, di Johor.

Bagi yang minat melihat dan mendalami sejarah warisan budaya tidak perlu ke muzium lagi. Inisiatif Yayasan Warisan Johor (YWJ), mewujudkan 'muzium secara maya' ternyata memberi sudut berbeza kepada 'kaki kembara'.

Biarpun tidak dapat melihat secara fizikal, tontonan artifak terpilih ini bakal menjanjikan pengalaman berbeza.

Beberapa artifak itu disiarkan secara dalam talian menerusi pelbagai platform media sosial YWJ termasuk Instagram, Facebook, laman web dan YouTube.

Sharil Nizam melihat video misteri keris berdiri yang dimuatnaik di YouTube YWJ.-Foto/Omar Ahmad
Sharil Nizam melihat video misteri keris berdiri yang dimuatnaik di YouTube YWJ.-Foto/Omar Ahmad

Pengarah YWJ, Sharil Nizam Abdul Rahim, berkata idea menyediakan video artifak, seni tenun, tokoh Johor dan sajian makanan ini bermula sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada Mac lalu.

Katanya, penghasilan video artifak dan seni warisan ini dibuat secara berperingkat serta berfasa.

"Kesemua video di media sosial kami itu sudah disunting. Pemilihan bahan pameran atau artifak disaring dan dibincangkan secara terperinci supaya memberi gambaran jelas kepada penonton.

"Malah setiap video mempunyai keterangan serta sejarah artifak terbabit. Latar belakang muzik dimainkan dalam sesuatu video berperanan menarik minat penonton terhadap bahan kandungannya," katanya.

Koleksi artifak lama

Beliau berkata, video berkenaan adalah sebahagian daripada bahan dipamerkan dari tiga muzium dan galeri yang dikendalikan di bawah YWJ, iaitu Muzium Tokoh, Muzium Kota Tinggi dan Muzium Mersing.

Bagi galeri, membabitkan Galeri Tenun Johor, Galeri Seni Johor dan Galeri Dato' Onn, di Batu Pahat.

Menceritakan pemilihan artifak yang dirakam dan disunting, Sharil Nizam, berkata setakat ini ada tujuh video memaparkan artifak serta seni tenun.

Katanya, selain artifak itu, ada video tiga tokoh Johor terpilih serta sajian istimewa.

Wasfi Mirza menunjukkan Gambus seludang dalam simpanan YWJ.- Foto/Omar Ahmad
Wasfi Mirza menunjukkan Gambus seludang dalam simpanan YWJ.- Foto/Omar Ahmad

"Tidak semua artifak yang terdapat di dalam muzium dan galeri dipamerkan dalam video di laman sosial YWJ.

"Hanya artifak terpilih dipamerkan, iaitu kebanyakan artifak berusia lebih 100 tahun dan ada nilai estetika tinggi serta sudah tak dikeluarkan lagi masa ini.

"Antaranya, misteri keris berdiri yang membuktikan pembuatan keris mempunyai keseimbangan sempurna. Manuskrip Melayu tulisan jawi mengunakan tangan abad ke-15 dan berusia 200 tahun," katanya.

Beliau berkata, kamera Compact Graflex berusia 115 tahun, seterika Gasoline dan Josh Hot Air Fan berusia 117 tahun dan mesin taip Remington Travel adalah mesin taip pertama dihasilkan secara komersial berusia 102 tahun.

Namun, semua artifak di muzium itu disediakan bertujuan menarik minat pengunjung selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat.

Muzium Tokoh

Menyentuh mengenai Muzium Tokoh di Johor Bahru, pihak YWJ turut menghasilkan video tiga tokoh Johor memberi sumbangan dalam pelbagai bidang.

Antaranya, Komposer Veteran, maestro Johor nan malar, Allahyarham Omar Taib pada era 1970-an dan cukup sinonim dengan lagu malar segar Rindu Bayangan nyanyian Carefree, serta lagu Raya nyanyian Aman Shah bertajuk Kepulangan Yang Dinanti.

"Video tokoh karyawan penulisan Johor, Allahyarham Mohammad @ Mokhtar Talib atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Matlob, adalah pakar tulisan jawi sehingga dinobatkan Tokoh Pejuang Jawi 2008.

Pak Matlob ini menghasilkan lebih 400 buah buku dalam pelbagai bidang khasnya dalam penulisan jawi dan kanak-kanak.

"Video Bapa Ghazal Melayu Johor, Pak Lomak atau nama sebenarnya Leftenan Kolonel Haji Musa Yusof ini adalah cucu kepada Dato' Mohd Salleh Perang.

"Perintis kepada seni Ghazal Johor, Pak Lomak turut mencipta lagu ghazal antaranya Pak Ngah Balik, Kuala Sedili, Puteri Ledang, Jalak Lenteng, Seri Pontian dan Gunung Banang," katanya.

Lukisan yang dipamerkan secara berkala di Galeri Seni.- Foto/Omar Ahmad
Lukisan yang dipamerkan secara berkala di Galeri Seni.- Foto/Omar Ahmad

Galeri Tenun Johor

Bagi Galeri Tenun Johor, ada video kain Benang Johor, iaitu tenunan Johor bercorak Muar berkotak-kotak yang dipatenkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Video sajian Warisan Johor yang baru dihasilkan adalah Harissa (sejenis makanan).

YWJ sedang meneliti beberapa artifak untuk penghasilan video bagi memberikan penonton gambaran sebenar.

Sharil Nizam berkata, antaranya cokmar berusia 300 tahun sejak abad ke 13 yang digunakan oleh pengemudi kapal.

"Cokmar ini antara jumpaan artifak. Selain mata tombak, mata keris dan meriam yang dijumpai di sepanjang Sungai Johor Kota Tinggi, pada 1996 semasa kajian arkeologi.

"Kita juga akan menghasilkan video gambus seludang kepunyaan Pak Lomak.

"Untuk sajian warisan, terdapat beberapa sajian Johor yang dalam perancangan penghasilan video antaranya Mee Rebus, Nasi Beriani dan Air Katira", katanya.

Mereka ingin melihat semua video berkenaan boleh layari laman web dialamat www.ywj.gov.myInstagram : yayasanwarisanjohorYouTube: Yayasan Warisan JohorFacebook :YayasanWarisanJohor

Berita Harian X