Ahad, 1 November 2020 | 10:30am
RAFFLESIA bunga terbesar di dunia mempunyai cerita mitos menarik perhatian pelancongan domestik dan asing ke Lojing. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
RAFFLESIA bunga terbesar di dunia mempunyai cerita mitos menarik perhatian pelancongan domestik dan asing ke Lojing. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Mitos Rafflesia Cik Siti Wan Kembang

Rafflesia tumbuhan yang aneh, tiada daun dan apabila kelopaknya mekar berkembang ia menjadi bunga paling besar di dunia serta baunya teramat busuk.

Cerita mitos Orang Asli suku Semai dan Temian pula, ada pantang larangnya. Pantang wanita menyentuh atau memegang bunga itu kerana akan membangkitkan semangat hutan berbentuk jelmaan harimau yang akan menghantui hidup wanita berkenaan.

Malah, komuniti itu percaya larangan terbabit ada kaitan dengan kitaran hidup bunga Rafflesia atau Padma yang mengambil masa sembilan bulan untuk berkembang seperti tempoh wanita mengandung.

Disebabkan banyak keunikan bunga ini ia menjadi tumpuan ramai untuk melihat sendiri keindahan dan keunikan itu. Selain di Sabah, bunga ini juga tumbuh di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan.

Kewujudan Rafflesia ini memberikan impak yang besar kepada industri pelancongan di negeri Cik Siti Wan Kassim Kembang ini.

Tompokan bunga Rafflesia berusia sekitar dua bulan tumbuh di Lojing, Gua Musang. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Tompokan bunga Rafflesia berusia sekitar dua bulan tumbuh di Lojing, Gua Musang. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Apabila berkunjung ke Lojing, pelancong pasti teruja kerana dapat mengetahui lebih mendalam mengenai cerita di sebaliknya.

Pemandu pelancong Orang Asli, Kassim Malu,70, berkata mitos larangan menyentuh bunga itu mungkin bagi menakutkan pelancong bagi menjaga kelestarian Rafflesia yang hanya mempunyai jangka hayat enam hari sahaja atau tumbuhan ini mempunyai racun.

"Mungkin juga bagi mengelakkan bunga ini dirosakkan kerana kelopaknya sebelum kembang dijadikan ubat dalaman untuk wanita bagi kepercayaan kami.

"Jadi kami masih berpegang teguh pada kepercayaan ini dan sering mengingatkan pelancong supaya berhati-hati ketika mengambil gambar atau ketika berada di kawasan bunga ini," katanya.

7 kuntum bunga Rafflesia

Kassim yang berkecimpung dalam bidang itu sejak 40 tahun lalu berkata, penemuan pemula bunga Rafflesia di Lojing, mula diterokai pada 2000 dan disemarakkan oleh sektor pelancongan pada 2012.

Rafflesia antara tumbuhan menjadi sensitiviti masyarakat Orang Asli dan menyanjung tinggi alam semula jadi di Lojing.

Ketakutan itu, bagaimanapun perlu dihakis mereka susulan kewujudan bunga terbesar dunia itu menjadi punca kerancakan ekonomi masyarakat setempat termasuk Orang Asli kerana menjadi tarikan pelancongan sejak beberapa tahun ini, di Kelantan.

Kassim Malu (kiri), bersama Nor Amalina (tengah) ketika lawatan ke Lojing, Gua Musang menyingkap rahsia keunikan bunga Rafflesia. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Kassim Malu (kiri), bersama Nor Amalina (tengah) ketika lawatan ke Lojing, Gua Musang menyingkap rahsia keunikan bunga Rafflesia. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Aktiviti ekopelancongan itu mengambil masa hampir dua jam termasuk sejam mendaki kawasan hutan dengan pacuan empat roda dan perjalanan 45 minit ke lokasi paling dekat bunga itu di kawasan hutan dikenali Sungai Awek.

Di situ terdapat tujuh tompokan bunga Rafflesia berusia sekitar dua bulan, enam bulan dan sekuntum bunga yang sudah kembang mekar dipercayai berusia tiga hari.

Katanya, pelancong tidak perlu risau kerana bunga gergasi itu ada sepanjang tahun di Lojing dan agen pendebunganya dilakukan lalat hutan.

Di Lojing, antara lokasi pelancong boleh melihat bunga adalah di Sungai Awek, Sungai Senyul dan di kawasan air terjun tujuh tingkat, mengambil masa tiga jam untuk sampai dari Sungai Awek.

"Biasanya pelancong ke lokasi paling dekat kerana pendakian memakan masa beberapa jam dari satu lokasi ke satu lokasi bunga ini," katanya.

Keistimewaan bunga Rafflesia Lojing adalah daripada spesies Rafflesia Kerrii, iaitu kedua terbesar di dunia selepas Rafflesia Arlnoldi, di Indonesia.

Diameter flora yang tumbuh semula jadi ini mampu mencapai 48 hingga 90 sentimeter (sm) dan berat hampir 0.5 kilogram (kg)

Tarikan industri pelancongan baharu di Lojing

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud, berkata masih banyak hutan masih terpelihara dan belum diteroka sepenuhnya termasuk lokasi kewujudan bunga Rafflesia.

Mohd Aidil Afizie (tengah) bersama dengan wakil media Kelantan bergambar dengan spesis Rafflesia yang sudah kembang mekar dipercayai berusia tiga hari di Lojing. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Mohd Aidil Afizie (tengah) bersama dengan wakil media Kelantan bergambar dengan spesis Rafflesia yang sudah kembang mekar dipercayai berusia tiga hari di Lojing. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Katanya, bunga tumbuh melata itu menjadi tarikan baharu pelancongan di negeri ini, bukan saja kepada pelancong yang biasanya ingin ke Cameron Highlands, sebaliknya pelancongan domestik kepada pelancong dalam negara sejak wabak COVID-19.

"Kita lihat apabila pelancongan masuk, ia akan meningkatkan sumber ekonomi baru dan pekerjaan di kawasan itu seperti khidmat pemandu pelancong tempatan, pemandu pelancongan alam semula jadi, rumah inap.

"MOTAC berusaha menarik pelancongan domestik dan masa mendidik masyarakat ke Lojing kerana banyak tarikan pelancongan di tanah tinggi dan mempunyai produk pelancongan bertaraf dunia seperti bunga Rafflesia.

"Mereka juga dapat melihat kebudayaan masyarakat Orang Asli di Pos Henrop, Brooke dan Mendrop di Lojing," katanya.

Berita Harian X