Ahad, 25 Oktober 2020 | 11:01am
Pemandangan Gua Musang dari ketinggian 1,200 meter
Pemandangan Gua Musang dari ketinggian 1,200 meter

Lepas 'gian' daki gua batu kapur

Walaupun pendakian dalam normal baharu COVID-19 kerana perlu mematuhi jarak fizikal, ia tidak menghalang kepada pencinta aktiviti lasak untuk melakukan pendakian banjaran gua batu kapur terletak di hadapan Stesen Keretapi Gua Musang, Kelantan.

Waktu paling sesuai untuk mengembalikan industri pelancongan domestik yang suram akibat penularan wabak berkenaan. Yang penting pengunjung perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, ia pasti tetap mengujakan.

Kepuasan terpancar bagi setiap pendaki itu sama ada dalam kalangan penduduk tempatan atau dari negeri lain yang rata-rata berpuas hati mencari ketenangan dan melihat keindahan dalam gua terbabit.

Malah, mereka yang mendaki gua batu kapur, iaitu nama asalnya Gua Musang diambil daripada gua itu sekitar 150 tahun lalu menjadi tempat perlindungan Orang Asli.

Pemandangan Gua Musang dari ketinggian 1,200 meter
Pemandangan Gua Musang dari ketinggian 1,200 meter

Pengalaman baharu teroka gua kapur

Rata-rata mereka yang mendaki gua batu kapur itu ketika ditemui teruja kerana memberi banyak pengalaman baharu berikutan pendakian mengambil masa lebih sejam untuk sampai kepuncak.

Sebaik sampai ke puncak dengan pendakian ketinggian 1,200 meter dapat pula mereka melihat keseluruhan bandar Gua Musang yang begitu tersusun dan lingkaran jalan utama.

Sebelum sampai ke puncak, setiap pendak berpeluang memasuki beberapa lubang yang mempunyai sejarah tersendiri termasuk lubang ular, lubang pengantin, lubang gendang dan lubang gajah.

Setiap lubang khususnya lubang yang membentuk berpuluh ular batu terpaksa merangkak dan sesiapa yang memasuki lubang dimestikan membawa lampu suluh kerana di dalamnya gelap.

Begitu juga beberapa lubang lain lagi suasana gelap, selain dapat melihat batu-batu yang menyerupai belimbing dan kolam yang kandungan air bertitik tidak pernah kering.

Terokai isi alam

Bagi setiap pendaki apabila terpaksa melalui lubang kecil dan memasukinya secara mengiring kerana bagi mereka berbadan besar mungkin serasa padat.

Lubang mencabar itu berada pada mula-mula melangkah masuk ke dalam gua batu kapur terbabit, tetapi lihat sahaja lubang berkenaan sempit, namun boleh dimasuki kepada sesiapa yang ingin meneroka isi alamnya.

Pendaki gua itu, Asmat Salahuddin, 30, berkata gua batu kapur itu antara tiga banjaran gua yang berada di bandar Gua Musang berdekatan dengan stesen kereta api.

Bagaimanapun, katanya, hanya gua batu kapur itu sahaja yang boleh didaki hingga ke puncak manakala dua lagi gua batu kapur terletak berhampiran tidak boleh berbuat demikian.

Beliau antara penduduk tempatan yang kerap mendaki gua terbabit terutama apabila pelancong luar datang mengajaknya menunjuk trek pendakian yang mencabar.

"Kalau orang yang belum biasa mendaki gua itu rasa gementar juga terutama trek pertama pendakian bermula di kaki gua yang licin dan terpaksa berpegang pada akar pokok kayu.

"Sebelum pendakian dilakukan, perlu pastikan dahulu setiap mereka ada membawa kelengkapan khususnya lampu picit," katanya.

Destinasi pelancongan menarik

Bagi pendaki dari Kuala Lumpur, Kamarul Azman Baharudin, 41, pula berkata, kedatangannya ke Gua Musang untuk melepaskan semangat mendaki gua batu kapur itu.

Selain itu, beliau, turut mengambil kesempatan melihat masjid baharu Razaleigh yang menyerupai Masjid Masjidil Haram Makkah kerana mempunyai sembilan menara.

Beliau mengakui Gua Musang mempunyai destinasi pelancongan menarik kerana ada gua batu kapur yang indah pemandangannya dan masjid baharu itu.

"Walaupun kali pertama datang ke sini tetapi rasa berbaloi dan tenang," katanya.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Mohd Yusalmi Yusoff berkata, mendaki gua batu kapur dengan ketinggian 1,200 meter itu cukup mencabar.

Oleh itu, kata beliau, setiap mereka yang hendak melakukan pendakian khususnya yang berusia 40 tahun ke atas periksa kesihatan dahulu bimbang berdepan risiko.

"Kita terpaksa mengeluarkan peringatan itu kepada semua pendaki kerana sebelum ini ada pendaki yang meninggal dunia kerana sesak nafas," katanya.

Berita Harian X