Ahad, 11 Oktober 2020 | 12:08pm
Pelbagai spesies burung di sekitar Putrajaya jadi tumpuan pengunjung.
Pelbagai spesies burung di sekitar Putrajaya jadi tumpuan pengunjung.

Intai kelibat 200 spesies burung

MENIKMATI pesona kehijauan alam semula jadi, ditemani bunyi unggas dan kicauan burung sememangnya mendamaikan jiwa.

Lebih menarik jika terserempak burung Pekaka Paruh Pendek atau nama saintifiknya, Pelargopsis capensis; Falko Rajawali (Microhierax fringillarius) dan Kelicap Mayang Kelapa (Anthreptes malacensis) yang sukar ditemui.

Itu antara pengalaman mengujakan bagi peminat dan pengunjung yang meminati dunia haiwan itu. Malah bagi individu tidak pernah mendekati pelbagai spesies burung mereka dapat melakukan kerana ada lokasi khusus disediakan.

Yang nyata pengawasan burung atau 'birding' antara aktiviti rekreasi yang menarik. Ia boleh dilakukan dengan mata kasar, melalui peranti peningkatan visual seperti teropong dan teleskop, atau dengan mendengar bunyi burung.

Semua itu boleh diterokai warga kota tanpa perlu menjelajah hutan belantara atau di kampung, sebaliknya semua itu didapati di sekitar Putrajaya.

Aktiviti eko-pelancongan ‘urban birding’ oertama di Malaysia bagi mempromosi Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Aktiviti eko-pelancongan ‘urban birding’ oertama di Malaysia bagi mempromosi Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Perbadanan Putrajaya (PPj), Tengku Aina Tengku Ismail Shah, berkata pihaknya menawarkan aktiviti eko-pelancongan 'urban birding' pertama di Malaysia bagi mempromosi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

Kepelbagaian sumber makanan banyak dan kawasan hijau yang sentiasa bersih menjadi faktor utama beberapa lokasi di Putrajaya menjadi habitat serta persinggahan hampir 200 spesies burung.

"Antara kawasan dijadikan persinggahan dan habitat burung di Putrajaya adalah Tasik dan Wetland Putrajaya (TWP), Taman Botani, Taman Rimba Alam dan pulau kecil di Presint 16.

"Kawasan ini menjadi habitat dan persinggahan burung yang sebahagiannya terdiri daripada burung hijrah yang jarang ditemui," katanya.

Spesies burung hijrah

Beliau berkata, sebahagian burung berkenaan boleh ditemui sepanjang masa, manakala spesies burung hijrah pula boleh dilihat dengan banyak bermula September hingga November.

Titian kanopi di Taman Botani adalah pilihan terbaik kepada pemerhati burung bagi mengintai kelibat sebahagian 200 spesies burung yang boleh ditemui di sini.

Bagi memperluas aktiviti 'urban birding', PPj bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Nature Educational Society (NEST) bertujuan mewujudkan suatu kumpulan komuniti tempatan yang peka terhadap kepelbagaian spesies burung.

Pengunjung boleh mendekati dan melihat lebih 200 spesies di sekitar Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pengunjung boleh mendekati dan melihat lebih 200 spesies di sekitar Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

"Antara aktiviti disediakan adalah seperti bengkel 'backyard buddy ' yang dapat memainkan peranan aktif sebagai kumpulan sokongan dalam menjayakan 'urban birding' di Putrajaya," katanya.

Leka imbau suasana desa

Tengku Aina berkata, sambil menikmati keindahan flora dan fauna, peminat burung boleh mengambil gambar di satu-satunya habitat burung di Malaysia yang diadakan secara terbuka.

Katanya, suasana itu membuatkan sesiapa sahaja leka sambil mengimbau seolah-olah berada di kampung yang penuh dengan kicauan burung.

Katanya, habitat burung di Putrajaya adalah destinasi yang sempurna untuk dihayati bagi pencinta alam semula jadi yang ingin melarikan diri dari kesibukan kota.

"Kepelbagaian burung yang terdapat di sini sering menjadi tumpuan kaki burung dan jurugambar untuk merakam foto haiwan berkenaan di samping menghayati pemandangan menakjubkan.

"Bagi menggalakkan lebih ramai pelancong, PPj juga mengadakan pertandingan fotografi burung yang mendapat penyertaan menggalakkan," katanya.

Destinasi persinggahan bangau

Beliau berkata, lebih mengujakan pulau kecil itu yang terletak di Presint 16 menjadi tarikan dan destinasi persinggahan bangau sehingga ada yang membuat sarang, sekali gus dapat mempelbagaikan produk pelancongan.

Bangau dapat dilihat berterbangan sambil mencari makan di tasik berkenaan dan sebelum ini jumlahnya tidak banyak, namun sejak beberapa tahun lalu populasinya semakin bertambah.

"Kita juga menyediakan perkhidmatan jurupandu burung berbayar kepada kumpulan yang ingin mengadakan lawatan dengan kos sekitar RM500.

"Sebagai usaha mempromosi ke peringkat antarabangsa, PPj bercadang mengadakan pemerhatian burung secara langsung melalui laman media sosial rasmi yang dijangka diadakan tahun depan.

"Dengan kepelbagaian spesies burung yang berhijrah saban tahun, kita yakin mampu melaksanakan 'urban birding', sekali gus menjadi antara destinasi pilihan pelancong di negara ini," katanya.

Info:

Urban Birding Putrajaya

* Habitat terbuka pertama burung di Malaysia

* Lokasi: di Tasik dan Wetland Putrajaya (TWP), Taman Botani, Taman Rimba Alam dan pulau kecil di Presint 16.

* Lawatan percuma

* Bayaran RM500 bagi tempahan jurupandu burung secara berkumpulan

* Putrajaya Bird Race 2019 edisi pertama dianjurkan PPj dalam mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi eko pelancongan dan destinasi 'urban birding'.

* Pemerhatian burung sering membabitkan komponen pendengaran yang ketara, kerana banyak spesies burung lebih mudah dikesan dan dikenali dengan telinga daripada mata.

* Aktiviti 'birding' lebih kepada tujuan rekreasi atau sosial, tidak seperti pakar sains, kajian burung gunakan kaedah saintifik formal.

* Lebih 750 spesies burung menduduki hutan Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Berita Harian X