Ahad, 1 Disember 2019 | 10:05am

Banjaran Alps Switzerland memukau

Deruan angin sejuk menyapa muka tatkala melangkah ke bahagian luar bangunan di atas puncak gunung ‘Top of Europe’ Jungfraujoch, terletaknya bendera Switzerland berkibar megah pada ketinggian 3,454 meter (m) di atas paras laut.

Berdiri di atas salji dengan pemandangan gunung-ganang putih bak hamparan kain memberikan pengalaman sukar dilupakan. Seperti berada di dunia lain, memukau dan mendamaikan.

Benarlah kata orang ‘Switzerland ini ibarat syurga dunia’. Switzerland sememangnya terkenal dengan banjaran Alps, perkampungan di tengah gunung dan resort untuk bermain ski.

Kesempatan penulis baru-baru ini ke negara itu bersama empat rakan amat mengujakan. Selepas selesai, membeli ‘Swiss Half Fare Pass’ berharga 120 swiss franc (CHF) bersamaan RM510, kami memulakan pengembaraan menggunakan kereta api sepanjang di negara itu.

Dengan ‘Swiss Half Fare Pass’ pelancong mendapat diskaun 50 peratus untuk semua pengangkutan awam dan sah untuk sebulan.

Di Zurich, kami hanya berjalan-jalan di sekitar bandar, antaranya Bukit Lindenhof dan Old Town Street, lalu meneruskan perjalanan ke Lucerne. Keesokannya, dari stesen Luzern, kami menaiki kereta api ke Alpnachstad dan kemudian tukar naik ‘cogwheel’ untuk ke puncak Gunung Pilatus setinggi 2,128 m.

‘Cogwheel’ ini adalah yang paling curam di dunia dan ketika tiba di stesen Gunung Pilatus, terasa seperti berada di atas awan. Di puncak ada hotel, kafe, kedai cenderamata dan ‘lookout point’ untuk merakam gambar.

Kami sempat bersiar-siar di Chapel Bridge (Kapellbrucke) dan Tasik Lucerne, sebelum bergerak ke Lauterbrunnen, yang mengambil masa lebih kurang dua jam setengah menggunakan kereta api ‘Golden Pass Panoramic’ sambil melihat pemandangan bukit dan tasik yang sangat cantik.

Pemandangan di atas awan ‘cogwheel’ yang paling curam di dunia ketika tiba di stesen Gunung Pilatus. - Foto Mohd Rezal Mohd Desa
Pemandangan di atas awan ‘cogwheel’ yang paling curam di dunia ketika tiba di stesen Gunung Pilatus. - Foto Mohd Rezal Mohd Desa

Kanan kabin kereta api

Jika mahu merakam gambar dan nikmati pemandangan cantik, duduk di bahagian kanan kereta api. Perkampungan Lauterbrunnen terletak di tengah-tengah lembah antara banjaran Alps. Nampak indah dan nyaman dikelilingi tebing berbatu dan Air Terjun Staubbach setinggi 300 m. Salji melitupi puncak gunung

Hari ketiga, kami ke ‘Top of Europe’ Jungfraujoch, dari Lauterbrunnen, menaiki kereta api, harga tiket pergi balik 104.80 CHF (RM445) ke Jungfraujoch melalui Kleine Scheidegg yang turut melewati perkampungan Wengenalp.

Pemandangan sepanjang perjalanan sangat mempesonakan dengan salji melitupi puncak gunung yang disinari cahaya mentari berlatarbelakangkan langit membiru bak lukisan. Perjalanan dua jam lebih ke puncak Jungfraujoch setinggi 4,158 m.

Di sini ada beberapa tempat menarik antaranya Alpine Sensation, Sea of Ice, Ice Palace, Snow Fun Park, Spinx Observation Deck dan moenchsjochhuette.

Pengembaraan diteruskan ke Gunung Schilthorn menaiki menaiki kereta kabel di stesen Stechelberg, melalui beberapa stesen dan perlu tukar di setiap stesen untuk ke Gimmelwald, Mürren, Birg serta terakhir Schilthorn.

Terletak pada ketinggian 2,970 m, Schilthorn menawarkan panorama memukau 360 darjah ‘Swiss Skyline’ termasuk Gunung Eiger, Monch dan Jungfrau. Jika anda peminat tegar filem James Bond, wajib datang ke Gunung Schilthorn kerana di sini tempat penggambaran filem berkenaan, selain pameran ‘Bond World’ dan ‘007 Walk of Fame’.

Kami turut berjalan di ‘Skyline Walk’ dan ‘Thrill Walk’ terletak di stesen kereta kabel Birg. Lokasi seterusnya ke Zermatt untuk melihat gunung seperti dalam gambar coklat Toblerone, iaitu Matterhorn tetapi gagal kerana cuaca tidak mengizinkan.

Penulis (dua dari kiri) bersama rakan di atas puncak Gunung Pilatus. - Foto Mohd Rezal Mohd Desa
Penulis (dua dari kiri) bersama rakan di atas puncak Gunung Pilatus. - Foto Mohd Rezal Mohd Desa

Susuri jambatan gantung

Kemudian kami mengambil keputusan ke Furi dan berjalan ke jambatan gantung Hangebrucke, melalui hutan berkabus dipenuhi pokok pine dengan daun berwarna kekuningan tanda musim luruh tiba. Bandar terakhir dilawati ialah ibu negara Switzerland, iaitu Bern dan menginap di tengah bandar lama yang berhampiran bangunan bersejarah Menara Jam Zytglogge.

Di bandar ini terletaknya Einsteinhause dan bangunan Parlimen yang ada pertunjukan lampu pada waktu malam. Kami sempat singgah ke Bern Islamic Centre menunaikan solat sebelum bergerak ke Geneva untuk penerbangan pulang ke Kuala Lumpur, keesokannya selepas lebih seminggu di sini.

Pengembaraan ini meninggalkan kenangan dan memori indah buat penulis dan rakan.

Info: Tip kembara di Switzerland

  • Jika menginap di Lucerne, Interlaken, Bern dan Geneva, anda diberi tiket pelawat yang membolehkan menggunakan kemudahan pengangkutan awam percuma atau diskaun di sekitar bandar itu.
  • Jika mahu ke banjaran Alps atau sekitar Obernese Highland, tinjau dulu cuaca. Rujuk laman sesawang gunung untuk melihat ‘live cam’ dan maklumat terkini keadaan di puncak.
  • Bangunan tertera simbol 007 daripada filem James Bond di atas Gunung Schilthorn. - Foto Mohd Rezal Mohd Desa
    Bangunan tertera simbol 007 daripada filem James Bond di atas Gunung Schilthorn. - Foto Mohd Rezal Mohd Desa

    Berita Harian X