Isnin, 11 March 2019 | 10:00am
Ikon Pulau Mutiara pilihan pelancong nikmati panorama mempesona. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Ikon Pulau Mutiara pilihan pelancong nikmati panorama mempesona. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Feri Pulau Pinang produk 'antik'

SELEPAS insiden kemalangan maut membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) putih terhumban ke dalam laut dari Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, baru-baru ini, mungkin ramai trauma menggunakan laluan berkenaan.

Sebaliknya, penduduk tempatan mahupun pelancong asing barang kali lebih rela menggunakan perkhidmatan Feri Pulau Pinang yang masih beroperasi hingga hari ini walaupun perjalanannya mengambil masa agak panjang.

Sebenarnya, pengalaman menaiki Feri Pulau Pinang yang menjadi ikon kepada Pulau Mutiara tetap menjadi pilihan dalam kalangan pelancong antarabangsa kerana perkhidmatan berkenaan amat jarang ditemui.

Walaupun ada dua jambatan yang menghubungkan tanah besar dengan pulau, kemudahan Feri Pulau Pinang terus bernyawa, apatah lagi ia menjadi antara tarikan pelancong ke negeri ini.

Malah tidak keterlaluan, Feri Pulau Pinang satu-satunya feri dua tingkat yang masih wujud di Malaysia. Bagi pengunjung tempatan dari luar Pulau Pinang, menaiki feri seolah-olah memberi pengalaman baharu.

Pelancong asing pula pasti memasukkan perkhidmatan Feri Pulau Pinang dalam jadual perjalanan wajib mereka. Feri Pulau Pinang produk ‘antik’. Itulah keistimewaannya di mata pelancong.

Feri Pulau Pinang adalah antara tiga ikon utama yang menjadi identiti negeri ini dalam kalangan pengunjung, selain bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dan Jambatan Pulau Pinang yang menghubungkan tanah besar, Seberang Perai dengan Georgetown di pulau, sebelum kemunculan Jambatan Sultan Abdul Halim Shah.

Pemandangan indah Pulau Pinang. - NSTP/Ramdzan Masiam
Pemandangan indah Pulau Pinang. - NSTP/Ramdzan Masiam

Pelancong berdiri di anjung tinjau feri untuk menikmati pesona laut lepas. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Pelancong berdiri di anjung tinjau feri untuk menikmati pesona laut lepas. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Penulis secara peribadi sangat teruja apabila berada dalam Feri Pulau Pinang. Apabila feri mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan dermaga Terminal Feri Sultan Abdul Halim di Butterworth, tiba-tiba wujud satu perasaan luar biasa, macam ‘jakun’ pun ada.

Semakin bergerak ke tengah Selat Utara, penumpang berpeluang menikmati pesona Pulau Pinang dari laut lepas.

Deretan kapal berlabuh dan kontena di Pelabuhan Butterworth, seolah-olah anda berada di negara pelabuhan seperti Belanda, manakala di pulau pula terserlah pemandangan bangunan pencakar langit, KOMTAR dan yang paling menonjol adalah panorama Bukit Bendera.

Hampir 20 minit mengelamun dari dek atas feri, penulis khayal kerana ditiup sang bayu menyegarkan minda.

Dek bawah menempatkan deretan kenderaan, sementara di bahagian atas feri penumpang berpusu-pusu berdiri di kawasan paling hadapan untuk memperoleh pandangan mempesona.

Asyik memerhati Jambatan Pulau Pinang, tiba-tiba berselisih pula dengan feri dari Georgetown menuju ke Butterworth.

Penumpang melihat pemandangan ketika menggunakan perkhidmatan feri yang juga perkhidmatan feri tertua di Malaysia. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Penumpang melihat pemandangan ketika menggunakan perkhidmatan feri yang juga perkhidmatan feri tertua di Malaysia. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Perkhidmatan Feri Pulau Pinang masih relevan dan kita perlu menghargai khazanah serta warisan negara. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Perkhidmatan Feri Pulau Pinang masih relevan dan kita perlu menghargai khazanah serta warisan negara. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Feri semakin menghampiri Terminal Feri Raja Tun Uda di Georgetown, lalu penumpang bergerak perlahan-lahan masuk ke dalam kenderaan masing-masing untuk memulakan pengembaraan dan percutian ke Pulau Pinang.

Walaupun sekejap berada di atas feri, ia menawarkan pengalaman yang sangat berbaloi. Penulis yakin ramai lagi pengunjung dan pengembara berasa puas menikmati pesona bandar Georgetown dari anjung tinjau feri.

Perkhidmatan Feri Pulau Pinang masih relevan dan perlu menghargai khazanah dan warisan negara serta kepopularitian mampu berdiri megah, sebaris kehebatan sama di kota New York.

Keadaan itu memberi peluang pengunjung melihat dari dekat Statue of Liberty dan mengembara ke Pulau Ellis.

Mengimbas sejarah perkhidmatannya, feri berkenaan bermula sejak lebih satu abad lalu, iaitu pada 1894 apabila seorang pengusaha persendirian bernama Quah Beng Kee mengendalikan bot bermotor seperti feri untuk mengangkut penumpang.

Feri itu menggunakan kuasa wap hanya mengangkut penumpang dan pelbagai barangan dalam kuantiti terhad.

Perkhidmatan feri yang dapat mengangkut kenderaan bermula pada 1924. Ketika itu, hanya terdapat satu feri berkuasa wap bernama Seberang dibina oleh Lembaga Pelabuhan Singapura beroperasi untuk membawa penumpang pejalan kaki dan kereta.

Sejak perkhidmatan feri diperkenalkan, sambutan daripada penduduk sekitar Pulau Pinang dan Butterworth semakin ramai.

Justeru, Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang (LPPP) perlu membesarkan jeti dan penambahan lagi dua feri yang lebih besar dinamakan Tanjung dan Kulim.

Hari ini antara nama Feri Pulau Pinang ialah Pulau Payar, Pulau Angsa, Pulau Kapas dan Pulau Undan.

Pengguna kenderaan menggunakan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan antara terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth ke terminal feri Raja Tun Uda di Pulau Pinang. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Pengguna kenderaan menggunakan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan antara terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth ke terminal feri Raja Tun Uda di Pulau Pinang. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Feri Pulau Pinang:

Jadual pelayaran Terminal Feri Sultan Abdul Halim (Butterworth)

• Pelepasan feri pertama: 5.20 pagi

• Pelepasan feri terakhir: 12.40 pagi

Jadual pelayaran Terminal Feri Raja Tun Uda (Pulau Pinang)

• Pelepasan feri pertama: 5.40 pagi

• Pelepasan feri terakhir: 1 pagi

Feri Pulau Pinang dua tingkat antara keunikan yang berjaya menarik perhatian pengunjung domestik mahupun pelancong asing ke Pulau Mutiara. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Feri Pulau Pinang dua tingkat antara keunikan yang berjaya menarik perhatian pengunjung domestik mahupun pelancong asing ke Pulau Mutiara. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

FAKTA NOMBOR

• 3.2 kilometer - Jarak Selat Utara antara Georgetown dan Butterworth

• 7 buah - Jumlah feri yang masih beroperasi

• 20 minit - Anggaran tempoh perjalanan feri

• RM7.70 - Tambang sehala (sekali bayar) bagi kenderaan dari Terminal Feri Sultan Abdul Halim (Butterworth) ke Terminal Feri Raja Tun Uda (Pulau Pinang)

Berita Harian X