X
Isnin, 23 Julai 2018 | 11:01am

Jelajah 11 lokasi bersejarah

BERCUTI di Sabah pastinya ramai terbayang keindahan Gunung Kinabalu atau menyelam di dasar laut di pulau peranginan terkemuka.

Bagaimanapun, bagi mereka yang hanya mahukan percutian singkat tetapi tidak memerlukan perjalanan jauh, pastinya aktiviti lawatan percuma ke beberapa lokasi bersejarah sekitar bandar raya Kota Kinabalu boleh menjadi pilihan.

Dilancarkan sejak 23 Jun lalu, pakej lawatan secara percuma menerusi program Kota Kinabalu Free Walking Tour itu adalah salah satu inisiatif baharu Lembaga Pelancongan Sabah (STB) memperkenalkan destinasi bersejarah dalam bandar raya.

Melalui pakej berkenaan, pemandu pelancong akan membawa 15 pelancong pada satu-satu masa bagi melawat ke 11 'check point' secara berjalan kaki bermula di bangunan STB di Jalan Gaya yang berusia 100 tahun dan berakhir di kedai menjual cenderamata, Kadaiku di Sinsuran.

Selepas bangunan STB, pelancong dibawa ke bangunan Old Walfare dan Australian Place.

Australia Place adalah lokasi unik dalam kawasan bandar lama Kota Kinabalu atau dikenali KK Lama yang terletak di Lorong Dewan dan berhampiran bangunan STB di hujung Jalan Gaya.

JURUPANDU pelancong, James Chew memberikan penerangan kepada peserta 'Kota Kinabalu Free Walking Tour'. - Foto Lano Lan
JURUPANDU pelancong, James Chew memberikan penerangan kepada peserta 'Kota Kinabalu Free Walking Tour'. - Foto Lano Lan

Ia sebahagian lokasi yang dikaitkan dengan sejarah zaman Perang Dunia Kedua dan dahulunya kawasan itu terdapat banyak kedai percetakan dan dinamakan Australia Place disebabkan ia pernah dijadikan tapak perkhemahan oleh tentera negara itu pada 1945.

Kini, sebahagian besar premis di Australia Place diubah suai menjadi tempat penginapan berkonsepkan backpacker, selain kedai kopi dan percetakan yang kekal beroperasi sejak lebih setengah abad lalu.

Di lorong sama, pengunjung boleh mendaki Signal Hill Trail untuk sampai ke Signal Hill Observatory Tower atau Menara Pemerhati Signal Hill, di Jalan Bukit Bendera.

Memiliki lebih 300 anak tangga, laluan terbabit sesuai untuk individu yang mahu menikmati suasana hutan dan alam semula jadi di tengah bandar raya Kota Kinabalu.

Sering menjadi tumpuan warga kota atau pelancong untuk melihat suasana senja bandar raya, bagaimanapun pengunjung yang ingin ke sana tidak perlu gusar kerana Signal Hill Trail bukan satu-satunya laluan menuju puncak terbabit, sebaliknya boleh menaiki kenderaan melalui Jalan Istana.

Dari situ, pengunjung hanya perlu berjalan untuk sampai ke Menara Jam Atkinson yang terletak bersebelahan Balai Polis Trafik Kota Kinabalu.

ANTARA 11 lokasi bersejarah jadi tumpuan pelancong di Sabah. - Foto Lano Lan
ANTARA 11 lokasi bersejarah jadi tumpuan pelancong di Sabah. - Foto Lano Lan

Dahulunya pernah dikenali Menara Jam Peringatan Atkinson, ia dibina bagi memperingati mendiang Francis George Atkinson, pegawai daerah pertama Jesselton (kini Kota Kinabalu) yang meninggal dunia kerana penyakit malaria pada Disember 1902.

Pada asalnya, menara jam itu dikatakan pernah berperanan sebagai panduan kepada kapal untuk berlabuh di Jesselton, dibina daripada kayu Merbau tanpa sebarang paku dengan ketinggian 157 meter, namun selepas melalui pembaikan dan pembaharuan menyeluruh, ia kini mengalami perubahan besar.

Mengambil masa antara sejam setengah hingga dua jam, lawatan terbabit turut membawa pengunjung melihat kawasan sekitar Lintasan Deasoka, Jalan Gaya, Tugu Peringatan Perang Jesselton dan Segama.

Pengunjung yang menyertai lawatan percuma turut dibawa menaiki jejantas Segama untuk pergi ke Pasar Besar Kota Kinabalu namun sebelum itu, mereka berpeluang melihat hasil kraftangan yang dipasarkan oleh kebanyakan peniaga wanita di kawasan itu.

Wujud sejak lebih 30 tahun lalu, jejantas itu menjadi lubuk rezeki buat peniaga wanita yang menjual pelbagai aksesori dan kraftangan hingga menjadi tarikan pelancong.

Di jejantas sepanjang 260 meter itu, penjaja wanita tempatan bukan sahaja menjual aksesori serta kraftangan tradisional, malah sigup atau tembakau, sirih, kapur dan pinang juga antara produk dipasarkan.

Destinasi terakhir adalah kedai menjual cenderamata, Kadaiku yang terletak di Sinsuran di mana pengunjung boleh mendapatkan aneka barangan cenderamata dan kraftangan dihasilkan pengusaha tempatan Sabah.

Pelancong yang berminat mengikuti program lawatan itu boleh membuat tempahan di www.freewalk.sabahtourism.com atau emel kepada [email protected].

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Christina Liew (lima dari kanan) bersama Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah, Suzaini Sabdin Ghani (enam dari kanan) serta Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datu Rosmadi Datu Sulai (kiri) bergambar di '0 KM' selepas melancarkan 'Kota Kinabalu Free Walking Tour', di Kota Kinabalu. - Foto Lano Lan
TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Christina Liew (lima dari kanan) bersama Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah, Suzaini Sabdin Ghani (enam dari kanan) serta Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datu Rosmadi Datu Sulai (kiri) bergambar di '0 KM' selepas melancarkan 'Kota Kinabalu Free Walking Tour', di Kota Kinabalu. - Foto Lano Lan

INFO

Kota Kinabalu Free Walking Tour

# Ditawarkan secara percuma kepada pelancong dalam dan luar negara

# 2 jam setiap kali lawatan

# 11 lokasi menarik, bersejarah

# Diiringi seorang pemandu pelancong

# Sepanjang jejantas 260 meter ada jualan aksesori

# Layari www.freewalk.sabahtourism.com

JAMBATAN Segama antara lokasi laluan 'Kota Kinabalu Free Walking Tour'. - Foto Lano Lan
JAMBATAN Segama antara lokasi laluan 'Kota Kinabalu Free Walking Tour'. - Foto Lano Lan
Berita Harian X