Isnin, 22 April 2024 | 3:55pm
Filem aksi thriller, Sheriff terus merekodkan kutipan cemerlang RM16.3 juta selepas lima hari tayangan di pawagam.
Filem aksi thriller, Sheriff terus merekodkan kutipan cemerlang RM16.3 juta selepas lima hari tayangan di pawagam.

Sheriff kutip RM16.3 juta lima hari

KUALA LUMPUR: Filem bercorak aksi thriller, Sheriff terus merekodkan kutipan cemerlang sebanyak RM16.3 juta selepas lima hari tayangan termasuk satu hari tayangan awal.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif Bersama filem Sheriff, Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa terharu atas sambutan luar biasa yang diberikan.

"Syukur, Alhamdulillah atas sambutan memberangsangkan terhadap filem ini.

"Kami bersama barisan pelakon ada mengunjungi pawagam di sekitar Lembah Klang pada hujung minggu lalu. Saya amat teruja dan terharu melihat reaksi luar jangkaan penonton dari pelbagai lapisan usia dan latar belakang.

"Meskipun rakan-rakan media serta peminat mula berteka-teki mengenai sejauh mana kutipan Sheriff, namun masih terlalu awal untuk meletak harapan tinggi dan kami sentiasa bersyukur dengan momentum positif ini.

"Terima kasih kepada semua atas sokongan terhadap filem ini."katanya.

Filem genre aksi thriller terbitan dua syarikat gergasi, Skop Productions dan Astro Shaw itu mencatat kutipan melebihi RM1 juta pada tayangan awal.

Sheriff menampilkan watak Nazri lakonan Syafiq Kyle iaitu seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah didalangi Tony Ifrit lakonan Datuk Aaron Aziz semakin berleluasa.

Nazri pula terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana pelaku sentiasa terlepas daripada tindakan undang-undang.

Pada masa sama, Sheriff lakonan Zul Ariffin adalah seorang anggota Jabatan Integriti yang dihantar untuk menyelesaikan kes 'Meth Killer' dan ditugaskan bersama Nazri di bawah satu jabatan.

Filem Sheriff adalah kolaborasi keenam antara Astro Shaw dan Skop Productions selepas Polis Evo 3, Abang Long Fadil 2 dan 3, KL Special Force dan Misteri Dilaila.

Berita Harian X