Selasa, 5 Disember 2023 | 4:14pm
BoBoiBoy Galaxy SORI kini ditayangkan di Monsta YouTube dan Netflix setiap Ahad, jam 7.30 malam dan saluran TV9 bermula 13 Disember, jam 6.30 petang.
BoBoiBoy Galaxy SORI kini ditayangkan di Monsta YouTube dan Netflix setiap Ahad, jam 7.30 malam dan saluran TV9 bermula 13 Disember, jam 6.30 petang.

BoBoiBoy Galaxy SORI raih 3.5 juta tontonan dalam tempoh 24 jam

CYBERJAYA: Selepas lima tahun tanpa episod baharu, siri pertama BoBoiBoy Galaxy SORI berjaya meraih 3.5 juta tontonan dalam tempoh 24 jam sejak ditayangkan menerusi saluran YouTube Monsta, Ahad lalu.

Pengarah Pemasaran dan Jualan Monsta, Faiz Zainal Aabidin berkata, populariti watak BoBoiBoy kini sedang meningkat naik ke puncak kejayaannya.

"BoBoiBoy kini sudah beraksi selama 12 tahun. Kanak-kanak yang mengikutinya sejak kecil kini sudah dewasa atau sudah menjadi ibu bapa.

"Kami menggelarkan mereka sebagai Generasi-B (BoBoiBoy), generasi yang bakal meluangkan masa dengan anak-anak untuk menonton dan berkongsi rasa teruja dengan kemunculan episod baharu BoBoiBoy di kaca TV mahupun di tablet dan telefon pintar," katanya dalam kenyataan media.

Faiz berkongsi, lebih 100,000 penonton hadir secara langsung dan setia menunggu untuk menonton episod pertama ketika tayangan perdana episod pertama BoBoiBoy Galaxy SORI di laman YouTube Monsta.

"Kalau nak dibandingkan, jumlah ini adalah lebih besar dari kapasiti Stadium Nasional Bukit Jalil yang hanya boleh memuatkan seramai 85,000 penonton dalam satu masa," katanya.

Tanda pagar #BoBoiBoy dan #GelombangOren turut memasuki carta 'trending' di laman sosial media X pada hari pertama dan kedua selepas tayangan.

Sementara itu, Monsta turut meraikan 400 peminat tegar di Megafan Screening BoBoiBoy Galaxy SORI di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada Sabtu lalu dengan tayangan episod satu hingga tiga di pawagam.

Tayangan BoBoiBoy Galaxy dibahagikan kepada empat siri pendek, BoBoiBoy Galaxy SORI, BoBoiBoy Galaxy Windara, BoBoiBoy Galaxy GenBara dan BoBoiBoy Galaxy Gur'latan.

Setiap siri mengandungi enam episod baharu dengan tema berbeza, berlatarbelakangkan penceritaan dan pengembaraan yang diolah semula dari siri komik BoBoiBoy Galaxy musim kedua keluaran Monsta.

BoBoiBoy Galaxy SORI kini ditayangkan di Monsta YouTube dan Netflix setiap Ahad jam 7.30 malam, dan di saluran TV9 bermula 13 Disember ini pada jam 6.30 petang.

Berita Harian X