KUALA LUMPUR: Filem 'box office' Indonesia, Sayap-Sayap Patah yang mengangkat kisah benar kisah cinta pasangan suami isteri dan cabaran sebagai sebagai petugas barisan hadapan, mula menemui penonton di pawagam tempatan, hari ini.
Mendapat sambutan sangat memberangsangkan sejak mula ditayangkan di Indonesia pada 18 Ogos lalu, filem genre drama tagis, Sayap-Sayap Patah diarah sutradara terkenal, Rudi Soedjarwo.
Filem ini menampilkan lakonan hebat Nicholas Saputra, Ariel Tatum, Iwa K, Popi Sovia, Ariyo Wahab, Edward Akbar, Dewi Irawan dan Revaldo.
Sayap-Sayap Patah berkisar tragedi berdarah yang berlaku di Lokap Mako Brimop, Kota Depok, Indonesia pada 2018 apabila sekumpulan tahanan pengganas merusuh.
Penerbit yang juga aktivis media sosial terkenal, Denny Siregar, berkata Sayap-Sayap Patah memaparkan bagaimana sesuatu kekalahan boleh menjadi perjuangan untuk melangkah ke hadapan.
"Ini kisah besar di Indonesia yang dilupakan rakyat. Kita mungkin lupa jasa-jasa pahlawan kita.
"Disebabkan itu, saya mahu ingatkan anak-anak muda bahawa di Indonesia ada orang yang berkorban untuk negara, jadi kita tak boleh lupa. Walaupun kita lupakan mereka, setidak-tidaknya saya membuat monumen untuk mereka.
"Filem ini dipaparkan lebih halus daripada kisah sebenarnya. Saya lihat foto mangsa yang sangat mengerikan. Tetapi saya tidak boleh beri gambaran itu kepada khalayak ramai.
"Saya ingin kematian pegawai polis disampaikan dengan kisah yang indah supaya orang akan anggap meskipun kalah, mereka kalah dengan cara terhormat," katanya pada sesi tontonan bersama media di sini, baru-baru ini.
Yang turut hadir, 12 anggota delegasi termasuk pelakon Iwa K, Nugie, Poppy Sovia dan Ario Wajab.
Denny mengakui tidak mudah untuk mendapat keizinan Polis Indonesia untuk menghasilkan filem Sayap-Sayap Patah, apatah lagi naskhah itu memaparkan kelemahan pasukan keselamatan republik berkenaan.
"Jujurnya, susah untuk kami mendapat izin. Ini kejadian paling memalukan buat pasukan polis Indonesia. Kita tidak nafikan polis kita masih lemah menghadapi pengganas. Tetapi ini juga mesej untuk penonton di Indonesia dan teman-teman di Malaysia bahawa pengganas itu ada dan nyata.
"Mereka ini sangat kejam dan kita harus sama-sama melawan mereka. Kami bekerjasama dengan polis untuk menghasilkan filem ini. Mereka membantu mengimbau kembali sejarah di sebalik tragedi terbabit.
"Saya tidak mahu bikin filem dokumentari, sebaliknya mahukan filem yang mampu menyampaikan mesej mengenai pengganas, tepat kepada penonton," katanya.
Sehubungan itu, Denny berkata, pihaknya memilih mengetengahkan elemen romantis dalam filem berkenaan.
"Alhamdulillah, sesudah filem ini ditayangkan di pawagam, kami meraih tontonan sebanyak 2.4 juta dengan kutipan tiket kira-kira RM40 juta," katanya.
Denny mendedahkan menerima banyak cacian dalam media sosial berikutan paparan kekejaman pengganas yang nyata dalam filem Sayap-Sayap Patah.
Malah, Denny menambah, bintang utama, Nicholas meminta dirinya dikawal akibat gusar dengan ancaman diterima.
"Mereka tidak boleh terima kekejaman pengganas difilemkan. Ini membuatkan kegiatan pengganas di Indonesia nampak lebih besar.
"Saya paling banyak terima ancaman dalam media sosial, namun saya sudah biasa diancam. Sejak dahulu lagi saya aktif dalam media sosial melawan keganasan," katanya.
Dalam filem Sayap-Sayap Patah, Nicholas yang digilap bakat oleh Rudi Soedjarwo menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC), kira-kira 20 tahun lalu, melakonkan watak Aji iaitu anggota keselamatan dalam pasukan khas Densus 88 yang juga suami kepada Nani lakonan Ariel.
Secara ringkasnya, Sayap Sayap Patah berkisar kisah cinta pasangan suami isteri, Aji dan Nani.
Kerjaya Aji yang selalu berada di barisan hadapan dalam membanteras pengganas, membuat Nani yang sarat hamil anak pertama sentiasa dalam kebimbangan.
Tekanan kebimbangan keselamatan Aji membuat kandungannya bermasalah sehingga Nani terpaksa pulang ke rumah ibunya di Jakarta.
Kebahagiaan rumah tangga mereka diduga apabila pada hari pertama Aji bertugas, terjadi rusuhan di penjara tempat pengganas ditahan di Mako Brimod, Kelapa dua, Depok yang juga kisah benar yang berlaku pada 2018.
Situasi menjadi tegang apabila Aji menjadi antara anggota yang dijadikan tebusan pengganas. Pada masa sama, Nani bertarung nyawa untuk melahirkan anak sulung mereka.