Rabu, 7 September 2022 | 8:30am
Yuhang sedang menanti penulis terkenal, Mishna Wolff untuk menyiapkan lakon layar filem Mrs K versi Hollywood.
Yuhang sedang menanti penulis terkenal, Mishna Wolff untuk menyiapkan lakon layar filem Mrs K versi Hollywood.

Hollywood bikin semula filem Mrs K

KUALA LUMPUR: Siapa tidak curiga apabila individu tidak dikenali yang mendakwa menetap di Amerika Syarikat (AS), tiba-tiba melayangkan e-mel menyatakan hasrat membikin semula filem Mrs K yang pernah dihasilkan pada 2016.

Bimbang ditipu, apatah ketika ini banyak sindiket 'scam' berleluasa, pengarah filem Mrs K, Ho Yuhang bersama penerbit, Lorna Tee mengambil inisiatif mencari maklumat mengenai individu terbabit dan syarikat produksi yang berhasrat menghasilkan semula naskhah berkenaan.

"Sebenarnya, dua tahun lalu, Lorna menerima e-mel daripada seorang penerbit di AS yang menyatakan hasrat membikin semula filem Mrs K.

"Penerbit itu beritahu dia sudah menonton Mrs K dan tertarik dengan jalan cerita dan stail filem berkenaan.

"Pada mulanya, kami ragu-ragu, namun selepas mencari maklumat mengenai latar belakang syarikat produksi dan sebagainya, ternyata individu dan organisasi terbabit wujud," katanya kepada BH Online.

Yuhang berkata, penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia ketika itu memaksa mereka mengatur sesi perbincangan secara maya.

"Syarikat 87North Productions yang menerbitkan filem box office, Bullet Train paling teruja untuk menghasilkan semula filem Mrs K.

"Jadi, saya dan Lorna bersetuju bekerjasama dengan mereka," katanya.

Yuhang ketika di lokasi dalam proses pembikinan filem Mrs K.
Yuhang ketika di lokasi dalam proses pembikinan filem Mrs K.

Minat dikemukakan 87North dianggap 'pucuk dicita ulam mendatang' berikutan penularan pandemik COVID-19 yang melumpuhkan industri kreatif.

Pastinya, hasrat syarikat terbabit untuk menjalin kerjasama dianggap berita yang cukup melegakan.

"Ketika itu, kita berada dalam 'mood' pandemik COVID-19. Jadi, tentulah kami sangat teruja dengan peluang itu.

"Ini memberi sedikit harapan dan ketika itu, kami dalam keadaan bersedia dan menanti masa untuk pembikinan projek baharu," katanya.

Yuhang berkata, ketika ini, pihaknya sedang menanti penulis terkenal, Mishna Wolff untuk menyiapkan lakon layar filem Mrs K versi Hollywood itu.

Wolff pernah menulis memoir berjudul I'm Down, manakala skrip dihasilkannya iaitu Werewolves Within mendapat pujian hebat, tahun lalu.

"Daripada segi pembabitan, kami berbincang siapa paling sesuai menghasilkan skrip filem itu.

"Kami diberi beberapa skrip sebagai rujukan dan akhirnya, Wolff dipilih kerana dia memiliki 'sense of humor', malah saya sukakan dialognya," katanya.

Syarikat 87North berminat menghasilkan versi baharu filem Mrs K.
Syarikat 87North berminat menghasilkan versi baharu filem Mrs K.

Yuhang berkata, penerbit akan menggunakan struktur dan jalan cerita asal. Namun, katanya, penulis skrip mempunyai interpretasi sendiri.

"Kami sudah berbincang dengan penulis skrip sebelum ditunjukkan kepada Universal Studios.

"Setakat ini, kami berpuas hati dengan arah cerita seperti yang dibincangkan bersama," katanya.

Yuhang berkata, dia dan Lorna belum berbincang sama ada akan 'terbang' ke AS untuk meninjau proses pembikinan filem Mrs K.

"Setakat ini, kami masih belum tahu lagi. Bagaimanapun, kami berharap dapat melihat bagaimana cara mereka bikin filem," katanya.

Filem Mrs K mengisahkan seorang wanita yang sanggup melakukan apa saja demi melindungi suami dan anaknya daripada musuh zaman lampaunya.

Wanita terbabit berkunjung ke semula ke tempat yang menyimpan pelbagai kisah hitamnya berikutan anaknya diculik musuh lama.

Filem Mrs K adalah projek bersama produksi tempatan dan Hong Kong yang ditayangkan di pawagam pada 2016.

Dibintangi Kara Wai, Simon Yam, Wu Bai, Ruby Yap dan Siow Li Xuan.

Berita Harian X