Isnin, 19 September 2022 | 5:48pm
Annuar beramah mesra bersama penerbit, David Teo, pengarah, Feroz Kadir dan barisan pelakon pada majlis pelancaran lagu tema dan treler filem Seratus di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
Annuar beramah mesra bersama penerbit, David Teo, pengarah, Feroz Kadir dan barisan pelakon pada majlis pelancaran lagu tema dan treler filem Seratus di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

K-KOMM minta peruntukan RM50 juta bantu penerbit filem

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa sudah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) bagi mendapatkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membantu penerbit filem bergenre kenegaraan, selain memiliki elemen perpaduan dan toleransi beragama.

Annuar berkata, penerbit filem dan pemain industri perlu dibantu lebih daripada pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) dan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI), memandangkan penghasilan filem berkualiti dan setanding dengan negara luar memerlukan kos tinggi.

"K-KOMM ada membuat permohonan pada MOF untuk mendapatkan dana lebih fleksibel. Ini kerana saya dapat tahu banyak juga idea menghasilkan filem bermutu apabila duduk bersama penerbit filem tempatan.

"Namun, kekangan utama adalah kos tinggi dan kita pula ada had tertentu. Jadi, selain DKD dan FIMI, K-KOMM cuba memperoleh dana yang boleh membantu penerbit menghasilkan filem bergenre kenegaraan.

"Itu yang sedang saya usahakan dan doakan secepat mungkin," katanya kepada BH Online.

Sehubungan itu, Annuar berkata, beliau mengharapkan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), agar lebih banyak filem kenegaraan dapat dihasilkan.

"FINAS boleh menggunakan kreativiti dalam memilih filem berkualiti untuk menerima dana ini. Usaha ini untuk menggalakkan lebih banyak penulis skrip meneroka dan mencungkil khazanah yang boleh membangkitkan semangat patriotisme dan sejarah negara.

"Sebabnya, saya mula mempunyai keyakinan baru penerbit di Malaysia cukup kreatif dan berkeupayaan, malah pelakon Malaysia juga mampu bersama menghasilkan filem berkualiti tinggi.

"Jadi, K-KOMM akan cuba mewujudkan ekosistem perfileman lebih kondusif dan memberikan galakan secara maksimum," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran lagu tema dan treler filem Seratus di Dewan Serbaguna, Kompleks Kementerian Komunikasi dan Media, di sini, tengahari tadi.

Annuar melihat ada peningkatan mutu filem tempatan sama ada dari segi skrip, lakonan dan pemasaran yang baik. - Foto BERNAMA
Annuar melihat ada peningkatan mutu filem tempatan sama ada dari segi skrip, lakonan dan pemasaran yang baik. - Foto BERNAMA

Annuar berkata sedemikian selepas melihat perkembangan positif menerusi tayangan filem tempatan di pawagam, lebih lagi, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mampu meraih kutipan hampir RM100 juta.

"Satu perkara agak menggembirakan apabila terdapat tanda positif dan memberangsangkan bagi industri perfileman tempatan.

"Kalau dahulu, kita agak pesimistik dengan filem tempatan dan perubahan perilaku penonton sejak kemunculan pelbagai media alternatif.

"Namun, terbukti pasca pandemik COVID-19, kita dapati rakyat bersedia datang ke pawagam menikmati filem dan karya tempatan," katanya.

Beliau berkata, ini juga suatu perkara membanggakan dan percaya ia bukan berlaku secara kebetulan.

"Ada sebab, antaranya peningkatan mutu filem sama ada dari segi skrip, lakonan dan pemasaran.

"Bagi fahaman saya, tiga perkara ini sangat penting bagi memajukan sesebuah filem. Skrip, lakonan dan strategi pemasaran yang baik," katanya.

Justeru, Annuar percaya dengan adanya ketiga-tiga ciri berkenaan, pasti karya tempatan mampu diangkat ke satu tahap lebih baik, namun dengan syarat kerajaan, penerbit, dan semua yang terbabit dalam ekosistem perfileman perlulah membantu antara satu sama lain.

"Atas sebab itu juga K-KOMM mengambil keputusan mewujudkan Majlis Penasihat Perfileman dan Muzik untuk membolehkan saya mendapatkan lebih banyak lagi input agar dapat melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa," katanya.

Berita Harian X