Sabtu, 14 Julai 2018 | 3:45pm
PENGARAH dan pelakon, Syamsul Yusof, pada majlis pelancaran filem Mat Kilau di Hulu Kelang, Mac lalu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PENGARAH dan pelakon, Syamsul Yusof, pada majlis pelancaran filem Mat Kilau di Hulu Kelang, Mac lalu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Penggambaran Mat Kilau terpaksa dihentikan

KUALA LUMPUR: Syamsul Yusof, 34, terpaksa menghentikan penggambaran filem epik, Mat Kilau, arahannya berikutan masalah dalaman tidak dapat dielakkan.

Penggambaran filem terbitan Studio Kembara dengan kerjasama Skop Productions yang menelan belanja RM5 juta itu sudah 70 peratus siap sebelum dihentikan, baru-baru ini.

Sebelum ini, Syamsul menyahut cabaran menggarap naskhah berkenaan selepas beberapa syarikat produksi dan pengarah dikatakan gagal menyiapkan penggambaran filem sejarah serta perjuangan pahlawan Melayu ulung berasal dari Pulau Tawar, Jerantut, Pahang itu.

Syamsul berkata, dia menghentikan penggambaran Mat Kilau bukan disebabkan terikat dengan promosi dan pembikinan trailer filem ke-10 arahannya, Munafik 2, yang bakal ditayangkan di pawagam pada 30 Ogos depan.

"Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Saya terpaksa membuat keputusan menghentikan penggambaran sehingga masalah dalaman selesai.

"Tekanannya membabitkan cuaca dan kerenah yang tidak dapat disebutkan. Saya berdepan dengan dugaan berat ketika menghasilkan filem ini," katanya.

Syamsul berkata, dia tidak pernah terfikir cabaran bakal dihadapi bagi menghasilkan filem berkenaan adalah begitu hebat. Malah, katanya, ia mungkin boleh dianggap sebagai badi.

"Saya bekerja dengan pasukan yang profesional, tetapi perjalanannya tetap sukar. Mungkin sebelum ini kita boleh rumuskan pasukan yang menghasilkan filem Mat Kilau kurang berpengalaman, tetapi 'team' saya yang banyak pengalaman juga masih berdepan masalah.

"Saya hampir putus asa dengan masalah yang timbul. Tetapi apa juga yang berlaku, filem ini tetap akan diteruskan," katanya.

Sutradara termuda yang diangkat sebagai Pengarah Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-23 pada usia 26 tahun itu berkata, dia bersyukur penerbitnya, Rahman dan Shahruddin Dali, memahami situasi dihadapi.

"Mujurlah kami saling memahami dan tidak menyalahkan sesiapa. Selama bekerjasama, mereka memahami apa saja kehendak saya dalam menghasilkan filem ini.

"Insya-Allah, jika tiada aral melintang, filem sejarah dan perjuangan pahlawan Melayu ulung itu akan disambung penggambaran pada Oktober, sejurus saya selesai mempromosikan Munafik 2," katanya.

Katanya, dia tidak mahu mengambil pendekatan mudah dalam menghasilkan filem epik terbabit.

"Saya tidak boleh bersikap 'lebih kurang' dalam pembikinan filem. Pakaian, lokasi dan pelakon tambahan, semuanya harus sempurna. Bagaimanapun, saya faham bukan semua pengarah mampu menghasilkan filem epik, terutama apabila membabitkan kos penggambaran besar.

"Saya mahu menggunakan khidmat penyedia kostum dan pengarah seni yang bagus, tetapi bayarannya sangat mahal. Saya terpaksa bekerja dengan harga standard, tetapi berkualiti. Faktor itu yang membuatkan saya terpaksa bekerja keras. Penonton tidak mahu tahu kos pembikinan, tetapi mereka inginkan hasil yang memuaskan hati. Ia antara cabaran saya perlu hadapi," katanya.

Filem berkenaan hanya mengambil inspirasi daripada kisah perjuangan Mat Kilau dan diubah mengikut kesesuaian, bukan sepenuhnya kisah benar. Ia menampilkan Datuk Adi Putra sebagai Mat Kilau, selain Beto Kusyairy, Johan As'ari, Fattah Amin, A Galak, Wan Hanafi Su, Farid Amirul, Nadiya Nisaa dan pelakon Indonesia, Yayan Ruhiyan.

Berita Harian X