Selasa, 25 Jun 2024 | 6:01pm

Hamil anak kelima, isteri Jamal alahan teruk

KUALA LUMPUR: Penyanyi jolokan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, 65, berkongsi isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 28, kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat alahan teruk dan muntah-muntah selepas hamil anak kelima.

Jamal berkata, dia mahu merahsiakan kehamilan anak kelima, namun isterinya mengalami alahan teruk, tak makan selama lapan hari dan muntah.

"Jadi, saya nak berkongsi dengan rakan-rakan berhati-hati mengambil ubat. Ini kerana pengambilan ubat akan memberi kesan kepada jantung.

"Isteri muntah-muntah hingga membuatkan jantungnya bengkak. Ia sangat merisaukan saya.

"Saya bukanlah mahu berkongsi mengenai kehamilan, tapi ia mengenai isu kesihatannya dilalui.

"Kita kena sama-sama beringat, jangan sampai jadi kepada orang lain," katanya kepada BH Online.

Jamal dan Zai Izzati dikurniakan lima cahaya mata, Nur Azura Yamani, El Isaac Yamani, Iskandar Rayyan Yamani dan Rahil Laura Salsabila Yamani. - Foto Ihsan Jamal Abdillah
Jamal dan Zai Izzati dikurniakan lima cahaya mata, Nur Azura Yamani, El Isaac Yamani, Iskandar Rayyan Yamani dan Rahil Laura Salsabila Yamani. - Foto Ihsan Jamal Abdillah

Jamal berkata, isterinya dirawat selama empat hari di sebuah hospital swasta, kemudian pulang ke rumah, namun masih muntah-muntah sehingga tak boleh makan langsung.

"Kemudiannya, isteri masuk kembali hospital selama empat hari, jadi lapan hari. Bayangkan tak makan lapan hari, itulah sebabnya dipercayai ada masalah jantung. Bila perut kosong, gastrik pun datang.

"Diharapkan isteri segera sembuh, saya melihatnya. Tapi, sekarang nampak perkembangan positif, semakin ceria, Alhamdulillah," katanya.

Mengulas kehamilan isterinya, Jamal berkata, ia adalah lebih kepada kurniaan rezeki Allah SWT.

"Ia adalah rezeki dan mungkin Allah nak menunjukkan kasih sayang kepada saya, jadi berikan tugas tanggungjawab sebagai bapa kepada tujuh cahaya mata ini.

"Dapatlah tebus dosa silam dan cahaya mata ini juga rezeki. Anak-anak adalah terapi dan hiburan saya.

"Sebenarnya saya sudah buat keputusan untuk tidak mahu lagi ada 'baby' selepas anak keempat, tapi rezeki datang.

"Jadi, saya sudah sepakat dengan isteri, kena 'ikatlah' selepas melahirkan anak kelima ini," katanya yang menjangka bayi akan dilahirkan awal tahun depan.

Jamal dan Zai Izzati mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017. Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata, Nur Azura Yamani, 5; El Isaac Yamani, 4; Iskandar Rayyan Yamani, 2; dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 1.

Jamal juga memiliki dua lagi cahaya mata lelaki hasil dua perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17.

Jamal dan isterinya, Zai Izzati nak ‘tutup kilang’ selepas kelahiran anak kelima dijangka awal tahun depan. - Foto NSTP
Jamal dan isterinya, Zai Izzati nak ‘tutup kilang’ selepas kelahiran anak kelima dijangka awal tahun depan. - Foto NSTP
Berita Harian X