Jumaat, 21 Jun 2024 | 7:44pm
Megatix turut memuat naik pengumuman pembatalan konsert oleh Walker di Instagram (IG). Foto IG Megatix
Megatix turut memuat naik pengumuman pembatalan konsert oleh Walker di Instagram (IG). Foto IG Megatix

Alan Walker umum konsert esok ditunda

KUALA LUMPUR: Konsert Walkerworld Tour 2024 yang sepatutnya dijayakan pemuzik EDM terkenal, Alan Walker di Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, esok, ditunda.

Melalui entri Instagram (IG), pemuzik berusia 26 tahun yang sinonim dengan genre EDM iaitu Electronic Dance Music (EDM) itu meluahkan kekecewaan dan menyatakan alasan penundaan berpunca perkara yang tidak dapat dielakkan.

"Beberapa minggu kebelakangan ini, saya bersama pasukan sudah bekerja keras menyusun persembahan Walkerworld terbesar di Kuala Lumpur, Sabtu ini (esok).

"Lawatan saya ke Kuala Lumpur beberapa minggu lalu untuk mempromosikan konsert ini di mana saya berpeluang bertemu dengan peminat di Malaysia, membuat kami lebih teruja untuk persembahan ini.

Walker meminta maaf kepada peminat di Malaysia dan menyatakan kesediaan untuk kembali ke negara ini. Foto IG Alan Walker
Walker meminta maaf kepada peminat di Malaysia dan menyatakan kesediaan untuk kembali ke negara ini. Foto IG Alan Walker

"Namun, dengan rasa sedih, saya ingin memaklumkan bahawa disebabkan keadaan tidak dapat dijangka, iaitu sepenuhnya di luar kawalan saya dan pasukan saya. Kami terpaksa tunda persembahan Walkerworld di Malaysia kepada tarikh lain tahun ini," katanya dalam hantaran dimuat naik kira-kira lima jam lalu.

Walker turut meminta maaf kepada peminat dan menyatakan kesediaan untuk kembali ke Malaysia pada masa akan datang.

"Saya minta maaf atas pengumuman yang lewat ini dan mengecewakan anda semua. Tetapi saya berjanji kami akan tunaikan komitmen kami kepada setiap seorang daripada anda yang sudah membeli tiket untuk persembahan ini dan bersabar menunggu Walkerworld tiba di Malaysia.

"Bagi anda yang tidak mahu atau tidak dapat menunggu sehingga kami kembali, anda boleh meminta bayaran balik tiket daripada penganjur tempatan, Megatix.

"Sekali lagi, kami mohon maaf dengan setulus hati kerana tidak dapat meneruskan persembahan ini seperti yang dirancang dan diharapkan. Saya benar-benar berharap dapat berjumpa dengan anda semua pada musim luruh nanti," katanya.

Sejak pengumuman itu dibuat, rata-rata peminat yang sudah membeli tiket meluahkan kekecewaan.

Difahamkan, ada peminat sudah dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Australia dan Jepun. Malah, ada yang sudah tiba di sini, untuk menyaksikan konsert itu.

Berita Harian X