Jumaat, 21 Jun 2024 | 6:15pm
Dharma berkongsi keperitan hidupnya kepada Rais dalam pertemuan di Yayasan Budi di ibu negara, hari ini. Foto NSTP Rohanis Shukri
Dharma berkongsi keperitan hidupnya kepada Rais dalam pertemuan di Yayasan Budi di ibu negara, hari ini. Foto NSTP Rohanis Shukri

Dharma dapat duit bayar tunggakan sewa rumah RM7,500

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Dharma Harun Al-Rashid, 68, bersyukur tunggakan sewa rumah sewa sebanyak RM7,500 langsai apabila menerima sumbangan RM9,000 daripada Tan Sri Dr Rais Yatim, hari ini.

Keperitan hidup Dharma yang popular dengan watak Cikgu Azmi dalam filem Adik Manja terbitan 1980-an itu mendapat perhatian Rais yang juga bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta pengasas Yayasan Budi.

Penyerahan sumbangan kepada Dharma disempurnakan di pejabat Yayasan Budi, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, petang tadi.

Rais (tengah) menyerahkan sumbangan kepada Dharma sambil diperhatikan Siti Qurratu Aini (kiri); Muhammad Al Syafiq (kanan) dan Freddie (dua dari kanan). Foto NSTP Rohanis Shukri
Rais (tengah) menyerahkan sumbangan kepada Dharma sambil diperhatikan Siti Qurratu Aini (kiri); Muhammad Al Syafiq (kanan) dan Freddie (dua dari kanan). Foto NSTP Rohanis Shukri

Yang turut hadir, anak Dharma iaitu Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, serta Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez.

Dharma yang terharu dengan sumbangan Yayasan Budi, lega kemelut kewangannya, berakhir.

"Saya tidak berhasrat keluar dari rumah itu kerana hendak berpindah, bukan sedikit kosnya. Jadi, saya mahu terus tinggal di situ.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu. Sejak kisah kami sekeluarga tular, banyak pihak tampil menghulur bantuan," katanya.

Sementara itu, Rais berkata, beliau prihatin selepas membaca keluhan Dharma yang dilapor diarah mengosongkan kediaman jika tidak melunaskan tunggakan sewa rumah, menjelang akhir bulan ini.

"Apabila membaca keratan berita Dharma sedang hadapi kesukaran menyelesaikan sewaan rumah, saya terus hubungi Freddie untuk menemukan kami.

"Isu anak seni hidup dalam kesempitan tidak mencerminkan keseluruhan kehidupan anak seni yang lain. Isu ini harus ditangani secara tuntas," katanya.

Berita Harian X