Rabu, 19 Jun 2024 | 10:31pm
Nedim enggan memberikan sebaran kenyataan berhubung perpisahan dengan Nora, lebih banyak mendiamkan diri ketika ditemubual. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Nedim enggan memberikan sebaran kenyataan berhubung perpisahan dengan Nora, lebih banyak mendiamkan diri ketika ditemubual. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

'Saya dan tiga anak semuanya okay, mereka tetap anak saya' - Nedim

KUALA LUMPUR: Bekas suami pelakon Nora Danish, Nedim Nazri hanya tertawa apabila diajukan dakwaan masalah kewangan menjadi punca robohnya mahligai yang dibina selama tujuh tahun.

Nedim yang hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bersama Nora, malam tadi bagaimanapun enggan memberikan sebarang kenyataan berkaitan perpisahan dengan aktres jelita itu.

Sepanjang temubual bersama BH, Nedim lebih banyak berdiam diri dan sesekali mencelah.

Nedim juga kelihatan lebih selesa menyerahkan kepada bekas isterinya untuk menjawab semua pertanyaan pemberita.

Bagaimanapun, ketika ditanya apakah hubungan akan menyebabkan hubungan bersama anak tiri, Putera Rayqal Rizal Ashram, 15, menjadi renggang, Nedim yang berpakaian serba hitam menyangkal dakwaan itu.

"Saya dan tiga-tiga anak semuanya okay. Mereka tetap anak saya," jawabnya ringkas.

Sementara itu, Nedim berkata, urusan hadanah (hak penjagaan) anak juga sudah diselesaikan secara baik.

"Urusan hadanah sudah selesai," katanya lagi.

Kira-kira jam 8.40 malam tadi, pasangan itu sah bercerai talak satu selepas tujuh tahun berkongsi hidup.

Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl berusia enam tahun.

Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008.

Sementara itu, Nedim pula pernah mendirikan rumah tangga dengan Nabilah Khan pada 2011 dan bercerai dua tahun kemudian. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata, Mohamed Nedrin, 12.

Berita Harian X