Selasa, 18 Jun 2024 | 6:41pm
Muhammad Al Syafiq kini bekerja sebagai barista kedai kopi tepi jalan di Setiawangsa untuk menampung keperluan keluarga. - Foto Ihsan Muhammad Al Syafiq
Muhammad Al Syafiq kini bekerja sebagai barista kedai kopi tepi jalan di Setiawangsa untuk menampung keperluan keluarga. - Foto Ihsan Muhammad Al Syafiq

Kerja barista kedai kopi, anak bantu kurangkan bebanan Dharma

KUALA LUMPUR: Anak bongsu kepada pelakon, Dharma Harun Al-Rashid iaitu Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, tak berkecil hati berikutan pelbagai persepsi dilemparkan selepas kisah kediaman keluarganya perlu dikosongkan kerana gagal membayar sewa tertunggak.

Muhammad Al Syafiq berkata, dia terbuka menerima komen mendakwa tidak membantu bapanya menyelesaikan masalah kewangan melihat kepada usianya yang sudah mampu mencari pendapatan.

Sedang mengikuti pengajian dalam jurusan Asasi Seni Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Muhammad Al Syafiq enggan membiarkan komen memberikan impak negatif kepada dirinya.

Ini kerana, katanya, orang ramai tidak mengetahui situasi sebenar yang dilaluinya dan keluarga.

"Saya sedih membaca komen, tapi tak menyalahkan sesiapa. Saya tak pernah hidup untuk orang, hidup dan mati kerana Allah.

"Allah tahu saya berkorban dan kalau saya mengungkit atau menegakkan kebenaran, keikhlasan akan hilang.

"Bila ikhlas sudah tiada dan lakukan semua perkara kerana nak tunjuk kepada orang, ihsan pun tiada. Sebagai seorang yang belajar tasawuf, tak manis ungkit semua benda yang saya buat.

"Jadi, saya tidak kisah kena serang, asalkan ayah dan kakak nampak betul. Saya buat semua ini ikhlas nak bantu keluarga. Tak mengapalah kalau orang lain tak nampak apa yang saya buat," katanya kepada BH Online.

Muhammad Al Syafiq berkata, dia sedar tanggungjawab sebagai anak lelaki.

"Takkanlah saya nak biarkan keluarga kena tempias atau saya juga tak habis-habis dipersalahkan.

"Sebagai anak lelaki, inilah tanggungjawab saya dan kena tanggung semua ini. Nak buat macam mana, sabar sahajalah," katanya yang kini bekerja sebagai barista kedai kopi tepi jalan di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, Muhammad Al Syafiq tidak menafikan menjalankan tanggungjawab sebagai anak lelaki tunggal juga membebankannya, apatah lagi, sedang menghabiskan pengajian.

Muhammad Al Syafiq sedar tanggungjawab sebagai anak lelaki tunggal dan enggan membiarkan keluarganya mendapat tempias buruk. - Foto Ihsan Muhammad Al Syafiq
Muhammad Al Syafiq sedar tanggungjawab sebagai anak lelaki tunggal dan enggan membiarkan keluarganya mendapat tempias buruk. - Foto Ihsan Muhammad Al Syafiq

Muhammad Al Syafiq berkata, agak sukar buatnya melakukan pekerjaan secara tetap dan menampung perbelanjaan keluarga seorang diri, namun sedaya upaya mencari ruang menjana pendapatan terutamanya bagi membayar sewa rumah RM1,300 sebulan.

"Tak mudah, tapi saya kena ikhlas. Saya akui penat, tapi saya tidak kisah mereka nak salahkan saya sebab inilah namanya keikhlasan.

"Masalahnya sekarang saya seorang yang bekerja untuk menampung perbelanjaan tiga orang. Kakak sedang mengikut pengajian di peringkat ijazah, jadi jadualnya padat," katanya.

Menjelaskan mengapa pilih sambung pengajian pada usia 35 tahun, Muhammad Al Syafiq berkata, dia pernah sibuk menguruskan syarikat produksi dibangunkan bapanya, WWS Studios Sdn Bhd sebelum ini.

"Baru tahun lalu saya memutuskan menyambung pengajian kerana bercita-cita mempunyai pekerjaan tetap.

"Saya mula sambung pengajian pada Ogos tahun lalu dan insya-Allah, peringkat Asasi akan habis pada Ogos depan. Sebelum ini. saya membantu ayah menguruskan WWS Studios Sdn Bhd sejak 2007.

"Kami pernah hasilkan filem Adik Manja Returns. Di situlah, saya belajar buat skrip, saya tolong ayah sebagai Penolong Produksi. Senang cakap saya banyak bantu menjalankan tanggungjawab sebagai pengarah syarikat.

"Saya buat tugas setiausaha, audit dan sebagainya sebab ayah kurang mahir mengendalikannya. Selepas selesai filem Adik Manja Returns, saya dapat tawaran berlakon dan mula dengan membintangi filem pendek.

"Datuk Yusof Haslam juga pernah ambil saya berlakon drama Gerak Khas dan dari situ, orang mula nampak saya. Saya juga membintangi filem Kastil Tua arahan Sabree Fadzil.

"Seterusnya, syarikat produksi kami juga ada dapat dana dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk menghasilkan program 'game show'.

"Dalam masa mengendalikan program itu, saya juga bertugas sebagai hos," katanya.

Berita Harian X