Isnin, 17 Jun 2024 | 3:01pm
Ayda ketika bersaing dalam program realiti, The Hardest Singing Show, baru-baru ini. Foto IG Ayda Jebat
Ayda ketika bersaing dalam program realiti, The Hardest Singing Show, baru-baru ini. Foto IG Ayda Jebat

Ayda Jebat dakwa dipulaukan rakan artis

KUALA LUMPUR: Didakwa 'dipulaukan' segelintir artis tanpa sebab munasabah tidak sesekali membuatkan penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat patah semangat.

Sungguhpun terkejut dengan dakwaan itu, Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 32, tidak akan berhenti berbuat baik dengan semua orang.

"Bagi saya, bukan dalam pertandingan yang saya sedang sertai sekarang sahaja, tetapi di luar juga saya akan cuba sedaya upaya untuk berlaku baik dengan semua orang. Pendek kata, saya sokong semua orang.

"Kalau ada mana-mana artis tidak suka atau tidak puas hati, saya tidak boleh hendak buat apa. Bukan senang hendak puaskan hati semua orang.

Ayda mengaku berkawan dengan semua rakan artis dan tetap menyokong antara satu sama lain. Foto IG Ayda Jebat
Ayda mengaku berkawan dengan semua rakan artis dan tetap menyokong antara satu sama lain. Foto IG Ayda Jebat

"Hakikat menjadi manusia, kita buat baik mana pun, pasti ada orang yang tidak suka kita," katanya yang terikat dengan komitmen bersama program realiti, The Hardest Singing Show.

Isteri kepada pengacara, Nabil Mahir itu mengaku berkawan dengan semua rakan artis dan tetap menyokong antara satu sama lain.

Bagaimanapun, katanya, bukanlah keupayaan dirinya untuk memaksa rakan artis lain untuk suka dengannya, biarpun mencuba sehabis baik untuk bertegur sapa dengan semua orang.

"Apabila masuk pertandingan, kita akan rasa tercabar dengan semua orang. Namun, saya faham perjalanan setiap program realiti.

"Siapa yang bagus kita bangga, siapa kurang bagus, kita sokong dan berikan motivasi. Saya dan suami ada bertemu artis lain dan berikan semangat.

"Tapi macam saya katakan, saya tiada hak menghalang orang benci saya. Apapun, saya selesa dengan semua artis," katanya.

Ayda turut meluahkan perasaan di platform X berhubung rasa tidak suka sesetengah kelompok individu terhadapnya dirinya, terutama ketika sedang bertanding menerusi program realiti berkenaan.

Luahannya itu disebabkan mahu menjelaskan dirinya tetap fokus dengan apa yang dilakukan sekarang tanpa menghiraukan perkara remeh temeh.

Berita Harian X