Sabtu, 15 Jun 2024 | 11:01am
Janna sebak Dini memberi keizinan untuknya sambung belajar ke luar negara. -Foto Ihsan Amirnaufal Photography
Janna sebak Dini memberi keizinan untuknya sambung belajar ke luar negara. -Foto Ihsan Amirnaufal Photography

'Baby shower' bertukar jadi majlis resepsi

KUALA LUMPUR: Jika ikutkan perancangan asal, pasangan selebriti popular, Janna Nick dan Dini Schatzmann berhasrat mengadakan majlis resepsi selepas majlis pernikahan berlangsung di utara tanah air, tahun lalu.

Namun, niat itu ditangguhkan kerana mahu menjadikan majlis resepsi lebih bermakna dan mencatat kenangan manis buat mereka.

Janna berkata, impian mereka untuk menjadikan majlis resepsi itu serampang dua mata, pada masa sama, mahu berkongsi kegembiraan meraikan kehadiran zuriat pertama.

"Majlis resepsi ini sudah dirancang awal. Semua tempahan sudah dibuat dan wang pendahuluan pun sudah dibayar.

"Baju kahwin pun sudah siap sejak tahun lalu lagi. Kami tangguhkan majlis sebab kami hargai majlis pernikahan dan tak perlu ada majlis kedua.

"Bila sudah buat bayaran, kami tak boleh nak minta wang dikembalikan. Nak tak nak, kami kena buat juga majlis di sini.

"Kami cuba tangguhkan majlis dengan harapan ia boleh menjadi majlis aqiqah atau 'baby shower'.

"Namun, selepas setahun menunggu kami masih belum terima berita gembira, maka majlis resepsi kedua ini diadakan supaya tetamu yang hadir dapat mendoakan kehadiran 'malaikat kecil' dalam perut saya, Insya-Allah," katanya kepada BH Online.

Pasangan sama cantik sama padan itu diraikan dalam majlis gah bertemakan warna hitam di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya, baru-baru ini.

Tambah pemilik nama lengkap Nurul Jannah Muner itu, mereka sudah bersedia menimang cahaya mata dan berharap impian itu segera dimakbulkan.

"Dalam ramai-ramai yang hadir kami tidak tahu doa siapa yang lebih afdal dan doa siapa bakal diangkat Allah.

"Saya memang mahukan anak segera kerana dalam kerjaya seni dan hidup, saya sudah capai apa yang saya mahukan.

"Tiada benda yang ingin saya kejar, selain mahu menjadi seorang ibu," luah pelakon filem Jemputan Ke Neraka ini.

Janna dan Dini bersedia menimang cahaya mata dan berharap impian segera dimakbulkan. - Foto Ihsan Amirnaufal Photography
Janna dan Dini bersedia menimang cahaya mata dan berharap impian segera dimakbulkan. - Foto Ihsan Amirnaufal Photography

Pada majlis itu, Janna gagal menahan sebak apabila suami tercinta menerusi ucapan dibuat dalam bentuk rakaman video memberi keizinan untuknya sambung belajar, iaitu sesuatu yang diimpikan selama ini.

"Keinginan sambung belajar timbul sejak dua tahun lalu. Setiap kali saya tanyakan perkara ini pada Dini, tiada sebarang reaksi diberikan.

"Saya sangkakan suami tak nak sokong niat saya sambung belajar, namun rupa-rupanya dia nak buat kejutan.

"Insya-Allah, saya akan melanjutkan pelajaran dalam bidang perfileman di luar negara. Lokasinya dirahsiakan," ungkap aktres berusia 29 tahun ini.

Sementara itu, mengulas perjalanan setahun bergelar suami isteri, Dini menyifatkan tempoh dilalui sebagai fasa membahagiakan.

"Alhamdulillah, satu pengalaman cukup indah dan semuanya berjalan lancar. Kami banyak belajar untuk mengenali antara satu sama lain.

"Belajar mengenali pasangan dengan lebih dekat lagi adalah fasa yang paling menyeronokkan dalam perkahwinan," kata pelakon berdarah kacukan Melayu-Switzerland ini.

Antara rakan artis memeriahkan majlis resepsi itu termasuklah Datuk Afdlin Shauki, Erma Fatima, Nora Danish, Umi Nazeera, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Diana Danielle, Emma Maembong, Nazim Othman, Keith Foo, Puteri Sarah Liyana dan Sherry Alhadad.

Terdahulu, Dini dan Janna melangsungkan perkahwinan di sebuah resort mewah di Langkawi pada 10 Jun, tahun lalu.

Majlis tertutup itu menyaksikan Janna menerima mas kahwin sebanyak RM2,703 sebagai simbolik tarikh perkenalan pada 27 Mac 2019.

Berita Harian X