Rabu, 12 Jun 2024 | 5:10pm
Fouziah masih menerima tawaran berlakon, namun, terpaksa menolak berikutan sibuk menguruskan perniagaan yang diusahakan sejak 10 tahun lalu. Foto IG Fouziah Gous
Fouziah masih menerima tawaran berlakon, namun, terpaksa menolak berikutan sibuk menguruskan perniagaan yang diusahakan sejak 10 tahun lalu. Foto IG Fouziah Gous

Fouziah Gous lebih tenang lari daripada tumpuan ramai

PETALING JAYA: Hampir sedekad tidak aktif sebagai pelakon dan pengacara, Datin Fouziah Gous mengaku selesa apabila tidak lagi terkait dengan kontroversi atau kisah sensasi selebriti.

Fouziah atau nama sebenarnya, Nor Fouziah Mohd Gous lebih tenang dengan kehidupannya sekarang.

"Kalau masih ada gelaran selebriti, orang tetap cari salah. Jadi, saya ambil langkah berpada-pada dalam semua perkara.

"Sebagai contoh, saya akan berpada-pada kongsi kehidupan saya. Zaman sekarang, kita boleh buat apa sahaja untuk tarik perhatian orang.

"Saya takut hendak komen atau tarik perhatian orang. Semua perkara saya akan hati-hati. Bukan hendak tunjuk baik, cuma tidak mahu orang ambil satu poin pun dan jadikan ia perkara besar," katanya.

Fouziah masih menerima tawaran berlakon, namun, terpaksa menolak berikutan sibuk menguruskan perniagaan yang diusahakan sejak 10 tahun lalu.

"Erma Fatima pernah tanya sama ada saya mahu berlakon lagi atau tidak. Ada juga yang pujuk untuk saya buat sekali sahaja projek mereka.

"Saya CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) syarikat. Jadi, banyak perkara yang saya perlu kendalikan. Jadi, belum sesuai masanya untuk untuk saya ambil tawaran berlakon.

"Lagipun, saya tidak mahu buat ala kadar. Saya hendak buat yang terbaik kalau 'come back'. Namun, saya belum bersedia tinggalkan syarikat saya," katanya.

Pelakon drama Tahajjud Cinta ini mengakui memilih naskhah yang sesuai degan dirinya jika mahu buat kemunculan semula.

"Saya harus pilih (watak) pada fasa ini. Saya bukan lagi aktif dalam industri. Sekarang, saya ada banyak perkara perlu diberi fokus.

"Rindu terhadap lakonan ada sahaja, tapi kalau dapat naskhah yang seronok, baguslah. Saya tidak mahu buat kalau naskhah tak bagus," katanya.

Berita Harian X