Selasa, 11 Jun 2024 | 3:01pm
Muaz percaya tawaran diterima bukanlah disebabkan kontroversi, sebaliknya keupayaannya menghidupkan watak dan kualiti kerja. - Foto NSTP
Muaz percaya tawaran diterima bukanlah disebabkan kontroversi, sebaliknya keupayaannya menghidupkan watak dan kualiti kerja. - Foto NSTP

Muaz nafi cipta kontroversi demi 'job'

KUALA LUMPUR: Pelakon Muaz Zabir menafikan dakwaan dirinya menggunakan kontroversi bersama pelakon Bella Astillah untuk menarik perhatian ramai termasuk syarikat produksi bagi menawarkannya 'job' lakonan.

Muaz berkata, dia percaya tawaran diterima bukanlah disebabkan kontroversi, sebaliknya keupayaannya untuk menghidupkan watak dan kualiti kerja.

"Tawaran lakonan saya terima sebelum terpalit kontroversi. Saya sebenarnya takut dengan kontroversi kerana kebanyakan produksi tidak mahu mengambil pelakon yang ada isu dan kontroversi.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan yakin kalau niat baik. Saya bukannya baik, tapi kalau menjaga sikap dan memberikan komitmen 100 peratus dalam apa juga kerja yang dilakukan, rezeki akan datang.

"Namun, tak dinafikan kontroversi sedikit sebanyak membuatkan orang ramai kenal saya, tapi dalam cara baik. Disebabkan itu, saya cuba elak kontroversi menjadi lebih buruk dengan mendiamkan diri.

"Saya juga berusaha tidak mengeruhkan lagi keadaan," katanya kepada BH Online.

Bekas pengacara program Mbuzz itu berkata, dia banyak belajar daripada kesilapan terdahulu dan akan berusaha menjaga nama baiknya dan keluarga.

Mengulas mengenai hubungannya bersama keluarga selepas terpalit kontroversi, Muaz berkata, dia bersyukur semuanya sudah kembali normal dan ibunya juga menasihatkan tidak lagi terbabit dalam kontroversi.

"Alhamdulillah, keluarga tetap keluarga. Seteruk manapun kita, insya-Allah keluarga akan tetap terima.

"Bila saya berikan penjelasan, sedar kesilapan, mohon maaf dan perbaiki kesilapan dari semasa ke semasa, keluarga akan sentiasa menjadi tempat bergantung.

"Apapun salah saya, jadi kepada keluargalah tempat saya kembali. Alhamdulillah, keluarga terima segala yang terjadi. Sebagai anak, saya juga kena dengar nasihatkan mereka.

"Kami sudah bercakap macam biasa dan semuanya sudah kembali normal.

"Perkara ini berlaku dalam bulan Ramadan, jadi saya cuba tambat hati emak dan keluarga. Paling penting, perbetulkan keadaan.

"Syawal lalu saya minta maaf, cuma emak nasihat untuk tidak lagi terbabit dengan kontroversi. Insya-Allah, saya akan jadi yang lebih baik demi keluarga," katanya yang ditemui pada majlis Immersio: Inspirasi Generasi By TV3 sempena ulang TV3 ke-40 di Muzium Telekom, baru-baru ini.

Hubungan Muaz dan keluarga kembali jernih selepas sedar kesilapan serta mohon maaf. - Foto IG Muaz Zabir
Hubungan Muaz dan keluarga kembali jernih selepas sedar kesilapan serta mohon maaf. - Foto IG Muaz Zabir

Muaz berkata, dia berterima kasih pada TV3 kerana banyak membantu menaikkan namanya.

"Besar jasa TV3 terhadap saya. Saya memulakan kerjaya sebagai pelakon menerusi program di TV3.

"Saya masuk dalam industri ini dengan jasa TV3 dan membesar pun dengan menonton program dan drama di stesen televisyen ulung ini. Terima kasih TV3," katanya.

Terdahulu, nama pelakon drama Iskandar Chempaka itu menjadi perhatian ramai selepas didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan Bella Astillah.

Bagaimanapun, Bella tampil dengan pengakuan hubungan terjalin antara mereka bertujuan membuatkan suaminya, Aliff Aziz cemburu.

Muaz mengaku membuat kesilapan dan memohon maaf, malah berjanji tidak akan mengulanginya.

Berita Harian X