Selasa, 11 Jun 2024 | 8:31am
Fauziah nekad membuktikan keupayaan diri dalam usahanya bergelar doktor falsafah. Foto NSTP Hairul Anuar
Fauziah nekad membuktikan keupayaan diri dalam usahanya bergelar doktor falsafah. Foto NSTP Hairul Anuar

Rasa nak menangis siapkan kajian ilmiah - Fauziah Nawi

AMPANG: Biarpun sukar dan mencabar, Datuk Fauziah Nawi tidak berputus asa untuk melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) selepas menerima ijazah sarjana dalam bidang lakonan dari Open University Malaysia (OUM) pada 2018.

Fauziah, 71, ketika ini menyiapkan kertas kerja dan proses itu mengambil masa berikutan banyak tambahan kandungan yang perlu dilakukan.

"Saya sedang buat kajian ilmiah, banyak perkara tambahan yang saya kena buat.

"Sebelum ini, profesor saya suruh siapkan sampai habis sebab takut berputus asa. Saya ada rasa putus asa, namun kawan-kawan profesor banyak bertanya dan bagi semangat.

"Jujurnya, saya hendak menangis sudah banyak kali buat pindaan. Jadi, saya kena siapkan semua sebelum sambung PhD. Saya tidak boleh janji akan sambung dalam tahun ini atau tidak.

Fauziah menjelaskan dia memilih menyambung pengajian peringkat PhD bagi memperjuangkan isu bayaran terhadap penggiat industri kreatif yang sudah lama diperjuangkan. Foto NSTP Hairul Anuar
Fauziah menjelaskan dia memilih menyambung pengajian peringkat PhD bagi memperjuangkan isu bayaran terhadap penggiat industri kreatif yang sudah lama diperjuangkan. Foto NSTP Hairul Anuar

"Tetapi, saya belum putus asa. Pada masa sama, berfikir juga kenapa saya buat semua ini. Untuk apa? Tetapi tidak mengapa, buat sahajalah," katanya ditemui pada program pemeriksaan kesihatan percuma anjuran Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) dan pusat perubatan Amalmedik di Hotel Grand Barakah di sini, baru-baru ini.

Fauziah menjelaskan dia memilih menyambung pengajian peringkat PhD bagi memperjuangkan isu bayaran terhadap penggiat industri kreatif yang sudah lama diperjuangkan.

"Pada awalnya, saya sambung belajar sebab bapa. Saya kena buat semua ini sebab dia yang hendak. Saya kena jadi doktor atau profesor.

"Tetapi, kalau saya tidak buat pun (sambung belajar), saya fikir dia faham. Bapa kenal saya, tetapi, saya tetap mahu lakukan.

"Lulus atau tidak, saya hendak buat. Memang susah... Sudah banyak draf (kajian ilmiah) saya buat. Saya mesti buat untuk tunjuk kepada cucu-cucu di mana pelajaran itu penting.

"Perkara inilah juga yang saya pesan kepada bakat baharu. Pelajaran itu penting. Kalau kita tiada 'job', ada sesuatu yang boleh 'back up' kita. Saya tidak mahu mereka salahkan industri kalau tiada tawaran berlakon nanti," katanya.

Fauziah memuji usaha diambil PKAVM dan Amalmedik dalam memberi kemudahan kepada 10 artis veteran membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma.

"Saya sakit lutut antara lima hingga enam tahun lalu. Selepas menjalani rawatan bersama Amalmedik sejak dua bulan lalu, lutut saya semakin baik.

"Dahulu ketika bersekolah, saya kerap bersukan. Jadi, ia beri kesan pada lutut saya.

"Selepas dirawat, saya rasa lebih ringan. Sebelum ini, saya sukar tidur, sekarang tidak lagi. Banyak yang saya belajar di Amalmedik seperti pemakanan dan sebagainya," katanya.

Tambah Fauziah, semua orang perlu mengutamakan isu kesihatan berikutan kos perbelanjaan agak tinggi.

Selain Fauziah, turut menjalani pemeriksaan kesihatan ialah Datin Fadilah Mansor, Halimatussa'diah Mohd Daud atau Mak Wan, Mubarak Majid dan ramai lagi.

Berita Harian X