Ahad, 9 Jun 2024 | 8:12pm
Mak Wan kini berniaga mi kari dan laksa bagi menampung perbelanjaan harian selepas kurang tawaran lakonan. - Foto NSTP
Mak Wan kini berniaga mi kari dan laksa bagi menampung perbelanjaan harian selepas kurang tawaran lakonan. - Foto NSTP

'Jangan hukum saya ' - Mak Wan

KUALA LUMPUR: Masih berhadapan masalah kurang tawaran lakonan, pelakon veteran, Mak Wan bukan mahu menagih simpati berikutan luahannya, sebaliknya hanya mahu diberikan peluang mencari sesuap rezeki buat kelangsungan hidup.

Mak Wan atau nama sebenarnya, Halimatussa'diah Mohd Daud, 62, berkata dia kini berniaga mi kari dan laksa bagi menampung perbelanjaan hariannya.

"Tahun ini, saya ada menjayakan drama Restu yang disiarkan di platform iQiyi. Itu satu-satunya drama tahun ini, jadi kalau nak diikutkan sudah lebih kurang tiga bulan tak berlakon. Drama Restu saya buat sebelum Ramadan lalu.

"Selepas drama Restu tiada lagi tawaran diterima. Sebelum ini, ada satu tawaran menjayakan iklan, itu sahaja. Kalau cerita lebih-lebih nanti orang tak percaya, anggap saya nak minta bantuan atau simpati, jadi saya berniaga sikit-sikit. Mana yang mampu, saya buat.

"Ada ujian juga dalam berniaga, iyalah dalam usia 62 tahun nak berniaga kurang tenaga. Kadang-kadang cuaca tak mengizinkan, tapi saya kena akur cari duit belanja," katanya kepada BH Online.

Mak Wan ditemui pada program pemeriksaan kesihatan percuma yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia dan Amalmedik di Hotel Grand Barakah, di sini, tengah hari tadi.

Program itu memberikan tajaan pemeriksaan kesihatan dan rawatan secara percuma kepada 10 artis veteran.

Mak Wan mohon jasa baik produksi yang pernah bekerja dengannya memberikan peluang bekerja. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Mak Wan mohon jasa baik produksi yang pernah bekerja dengannya memberikan peluang bekerja. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Terus meluahkan perasaan, Mak Wan yang menghidap masalah kencing manis, darah tinggi dan asma itu berkata, dia sedih apabila dipilih melalui ujian sebesar itu, justeru pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 3 memohon orang ramai tidak menghukumnya daripada kisah kontroversi sebelum ini.

"Saya tahu kebanyakan saluran televisyen tidak mahukan pelakon yang ada kontroversi, tapi bukan saya yang minta kontroversi terjadi. Jangan tengok dan menilai daripada kontroversi.

"Sebelum ini, saya sudah banyak berlakon dan tidak pernah mendatangkan masalah.

"Saya tak jahat, orang yang buat saya macam ini. Apa yang berlaku bukan kehendak saya. Jadi, jangan ukur saya daripada kontroversi lalu. Jangan cepat jatuh hukum, kasihanilah saya pun mahu cari makan juga.

"Bagaimanapun, saya kena lalui ujian ini. Disebabkan itu, saya berniaga, walaupun tak larat. Kerja berniaga ini seperti 'shooting' dan sepatutnya pada usia ini saya duduk rumah, apakan daya terpaksa keluar bekerja cari makan.

"Cuba bayangkan dalam umur saya kena berniaga dalam hujan, angkat barang berat, berulang-alik naik Grab. Kadang-kadang tambang Grab lagi mahal daripada hasil diterima berniaga," katanya.

Berikutan itu, Mak Wan berkata, dia memohon jasa baik pihak produksi yang pernah bekerja dengannya memberikannya peluang bekerja.

"Saya minta penerbit dan pengarah yang baik hati berikanlah saya 'job', dapat berlakon drama bersiri pun sudah cukup baik. Harapnya terbuka hati mereka nak ambil saya berlakon," katanya yang sudah berlakon sejak 26 tahun lalu.

Terdahulu, Mak Wan terheret dengan kontroversi apabila bekas suaminya mendedahkan pelakon itu mempunyai akhlak tidak baik.

Pendedahan itu disusuli dengan pendedahan lain dibuat seorang wanita di laman Twitter mendakwa Mak Wan melakukan sihir kepada neneknya kerana cemburu.

Tidak lama selepas itu, tular video yang merakam gelagat Mak Wan berkaraoke dalam tempoh edah.

Kemudian, bekas pembantu peribadinya tampil mendedahkan perbuatan syirik pelakon itu menerusi beberapa video yang tular dalam aplikasi TikTok.

Berita Harian X