Jumaat, 7 Jun 2024 | 4:13pm
Farhan ketika mengunjungi bersama S Amin Shahab di kediamannya, baru-baru ini. Foto Ihsan Farhan Fauzi
Farhan ketika mengunjungi bersama S Amin Shahab di kediamannya, baru-baru ini. Foto Ihsan Farhan Fauzi

Sumbangan PM buat S Amin Shahab

KUALA LUMPUR: Penulis lirik dan pelukis terkenal, S Amin Shahab yang menghidap sakit jantung dan menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, dikunjungi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi, baru-baru ini.

Farhan menerusi aplikasi TikTok berkata, dalam rangkuman Ziarah Madani itu, beliau berkunjung ke rumah Amin di Bandar Baru Selayang.

"Saya meluangkan masa menziarahi Syed Mohd Amin Syed Hashim atau S Amin Shahab yang dilaporkan menghadapi masalah jantung, baru-baru ini.

"Alhamdulillah, sewaktu berkunjung ke rumahnya di Bandar Baru Selayang, dia memaklumkan sudah selesai menjalani rawatan di IJN dan kelihatan keadaannya bertambah baik.

"Peminat industri muzik dan seni lukisan pastinya kenal 'living legend' S Amin Shahab yang banyak menghasilkan karya-karya ulung.

"Antaranya Suci Dalam Debu, Di Pintu Mahligai, Kekasih Awal dan Akhir, Ku Di Halaman Rindu, Seribu Bayangan, Keroncong Untuk Ana dan banyak lagi," katanya.

Farhan turut menyampaikan salam daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menyampaikan sumbangan daripada beliau buat Amin untuk menampung kos perubatannya.

"Perdana Menteri mendoakan agar saudara Amin dikurniakan aafiyah dan kekuatan untuk terus berkarya, insya-Allah," katanya mewakili Anwar.

Berita Harian X