Jumaat, 7 Jun 2024 | 11:01am
Azmir (lapan dari kiri) bersama wakil pelbagai agensi pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Cetak Rompak Digital yang dipengerusikannya di ibu pejabat FINAS di Petaling Jaya, baru-baru ini. Foto Ihsan FINAS
Azmir (lapan dari kiri) bersama wakil pelbagai agensi pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Cetak Rompak Digital yang dipengerusikannya di ibu pejabat FINAS di Petaling Jaya, baru-baru ini. Foto Ihsan FINAS

Guna AI pantau cetak rompak digital

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan beberapa agensi lain memperhalusi tiga langkah baharu dalam membendung gejala cetak rompak digital di Malaysia, termasuk melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Strategi baharu itu dibincangkan pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Cetak Rompak Digital dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, baru-baru ini, sebagai usaha menangani isu cetak rompak digital dalam ledakan teknologi semasa.

Azmir berkata, selain merangka strategi, kaedah perkongsian data dan promosi dalam menangani isu cetak rompak digital serta penggunaan Al bagi memantau platform atau dalang dalam kegiatan itu, diutarakan sebagai langkah proaktif.

"Kita anjurkan mesyuarat Jawatankuasa Cetak Rompak Digital yang pertama untuk tahun ini. Pertemuan ini akan dilakukan secara berkala. Kemungkinan ada antara dua hingga tiga sesi dalam tempoh setahun.

"Melihat kepada masalah cetak rompak digital yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini, kami ambil langkah membincangkan beberapa perkara yang boleh diaplikasi untuk membendung masalah itu.

"Pertama, kami merangka strategi yang dilihat praktikal supaya masalah ini dapat dikurangkan serta dibendung untuk masa akan datang. Antara strategi dibincangkan adalah bekerjasama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Azmir menjelaskan kaedah perkongsian data dan promosi dalam usaha menangani isu cetak rompak digital bertujuan memantau segala aktiviti menjurus ke arah gejala salah laku itu. Foto Ihsan FINAS
Azmir menjelaskan kaedah perkongsian data dan promosi dalam usaha menangani isu cetak rompak digital bertujuan memantau segala aktiviti menjurus ke arah gejala salah laku itu. Foto Ihsan FINAS

"Bentuk kerjasama dengan MyIPO adalah dari segi hak milik tajuk, karya atau projek yang sudah didaftarkan melalui Sijil Perakuan Penggambaran (SPP). Kami akan lebih menitik beratkan perkara itu," katanya kepada BH Online.

Azmir berkata, aspek kedua iaitu kaedah perkongsian data dan promosi dalam usaha menangani isu cetak rompak digital bertujuan memantau segala aktiviti menjurus ke arah gejala salah laku itu.

"Di pihak kami, ada 'war room' yang diwujudkan bertujuan mengumpul data dan memantau pergerakan membabitkan unsur cetak rompak digital ini.

"Jika ada penerbit yang buat aduan mengenai kecurian karya mereka, kami akan panjangkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan selanjutnya.

"Pada mesyuarat itu, saya mohon semua pihak terbabit kemukakan data mengenai laporan cetak rompak diterima. Ini penting untuk saya tahu mengenai aduan dibuat selain daripada FINAS," katanya.

Azmir berkata, aspek yang turut ditekankan sebagai strategi menangani isu cetak rompak digital adalah penggunaan AI untuk membasmi gejala itu.

"Pada mesyuarat itu, saya sarankan semua agensi terbabit menerokai teknologi terkini seperti AI. Seperti kita dapat lihat di Korea Selatan, mereka menggunakan AI untuk menangani isu cetak rompak.

"Kita perlu buat penelitian dari semasa ke semasa dan membangunkan teknologi lebih mampan untuk tangani isu cetak rompak digital," katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Cetak Rompak Digital di pejabat FINAS di Petaling Jaya, baru-baru ini disertai Ketua Jabatan Kawal Selia Kandungan SKMM, Megat Ishak Maamunor Rashid; Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Shazuan Che Pin dan Pengurus Kualiti Forensik Digital Cybersecurity, Mohammad Azree Yahaya.

Yang turut hadir Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi, Siti Hajar Che May; Ketua Jabatan Siasatan dan Tadbir Urus Digital: Kawal Selia dan Hal Ehwal Korporat, Brendan Micheal dan Pengarah Pelesenan dan Penguatkuasaan FINAS, Mohamad Syimir Alfi Zahari.

Terdahulu, FINAS mengambil langkah mengaktifkan semula Jawatankuasa Cetak Rompak Digital yang sebelum ini pernah diwujudkan pada 2020 sebelum operasinya terhenti seketika.

Dalam pada itu, Azmir berkata, FINAS akan bekerjasama dengan Astro untuk menggerakkan kempen kesedaran mengenai gejala cetak rompak digital.

"Astro sudah bergerak awal dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya yang juga penyanyi rap dan komposer, Altimet. Justeru, FINAS akan turut bekerjasama.

"Saya juga akan cuba pertimbangkan untuk mengajak stesen penyiaran lain agar capaian kempen kesedaran gejala cetak rompak digital lebih meluas," katanya.

Berita Harian X