Selasa, 4 Jun 2024 | 6:29pm
Tiko didakwa melakukan salah laku antara 2015 sehingga 2021 ketika memegang jawatan sebagai pengarah syarikat perusahaan makanan dan minuman milik bekas isteri. - Foto AGENSI
Tiko didakwa melakukan salah laku antara 2015 sehingga 2021 ketika memegang jawatan sebagai pengarah syarikat perusahaan makanan dan minuman milik bekas isteri. - Foto AGENSI

Suami BCL didakwa seleweng dana syarikat RM1.7 juta

JAKARTA: Ahli perniagaan, Tiko Aryawardhana yang juga suami kepada Bunga Cinta Lestari (BCL) didakwa menyeleweng dana milik syarikat diusahakan bersama bekas isteri, Arina Winarto iaitu PT Arjuna Advaya Sanjaya (AAS) berjumlah RM1.7 juta.

Memetik laporan Kompas, Tiko didakwa melakukan salah laku antara 2015 sehingga 2021 ketika memegang jawatan sebagai pengarah syarikat perusahaan makanan dan minuman itu.

Rentetan itu, Arina yang bertindak sebagai pemilik dan pemegang saham syarikat membuat laporan di Balai Polis Jakarta Selatan, baru-baru ini.

Peguam mewakili Arina, Leo Siregar dalam satu kenyataan media memberitahu, Tiko bertindak sebagai pengarah urusan, manakala Arina mengeluarkan modal menjadi pengarah, selain pemegang majoriti saham syarikat.

"Tiko mempunyai kuasa penuh menguruskan kegiatan syarikat, termasuk kewangan, Arina lebih pasif dan hanya mahu melihat urusan syarikat berjalan lancar.

"Bagaimanapun, Tiko menyatakan hasrat menutup syarikat atas alasan tidak mampu membayar sewa pada 2019.

"Memandangkan dokumen keuntungan dan kerugian mencurigakan, Arina mula menyiasat dan membuat laporan bahawa dokumen dimanipulasi.

"Arina kemudian melakukan siasatan dan audit, sebelum mendapati dana RM1.7 juta digunakan," jelas kenyataan itu.

Tambah Siregar, Arina kemudian membuat laporan polis pada 2022 selepas Tiko gagal menjelaskan audit syarikat dan kini sedang dalam tindakan pihak berkuasa.

Sementara itu, polis Jakarta Selatan, AKBP Bintoro berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

"Saat ini masih dalam siasatan, sekarang sedang mengumpulkan bukti dan siasatan menyeluruh akan dilakukan," katanya.

Tiko dan Arina mendirikan rumah tangga pada 26 Jun 2014, namun berpisah pada 28 Oktober 2021.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata perempuan termasuk sepasang kembar.

Tiko kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan BCL pada 2 Disember tahun lalu. - AGENSI

Berita Harian X