Khamis, 30 Mei 2024 | 3:00pm
Search akan tampil dalam konsert Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Sungei Wang Plaza pada 21 September depan. - NSTP/Genes Gulitah
Search akan tampil dalam konsert Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Sungei Wang Plaza pada 21 September depan. - NSTP/Genes Gulitah

Search janji konsert terbaik

KUALA LUMPUR: Berdepan pelbagai kontroversi yang mencalar reputasi bukan menjadi kekangan buat kumpulan rock legenda, Search untuk terus memperkukuhkan jenama band ikonik itu.

Buktinya, penganjuran Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Sungei Wang Plaza di ibu negara, pada 21 September depan, mampu memberi nilai tambah kepada band itu.

Tentunya, konsert itu dapat mengekalkan kumpulan dianggotai Datuk Amy, Man Kidal, Hillary Ang dan Nasir Daud itu pada kedudukan papan atas.

Mengulas mengenai konsert yang dibawakan Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM) itu, pemain bes Search, Nasir mengakui tugasan itu memberi cabaran tersendiri.

"Ketika mula-mula dapat tawaran, kami tidak terus beri persetujuan. Konsert ini beri cabaran baharu dan berat buat kami.

"Konsert ini juga bukan sekadar 'plug and play'. Pengarah konsert pening kepala hendak fikir visual yang mahu digunakan.

"Tidak mahulah sekadar buat orkestra, tetapi tidak capai objektif. Penganjur dan pasukan kami kena fikir bagaimana hendak capai matlamat itu.

"Apa sebenarnya simfoni orkestra itu daripada kaca mata kami tanpa perlu dibanding dengan konsert kami sebelum ini," katanya pada sidang media Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur di sebuah hotel di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Yang turut hadir pada sidang media itu, Pengarah Program PGRM, Mohd Roslan Mohd Rafi.

Vokalis Search, Amy menjanjikan kelainan pada Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur. - NSTP/Genes Gulitah
Vokalis Search, Amy menjanjikan kelainan pada Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur. - NSTP/Genes Gulitah

Menyifatkan Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur sebagai suatu pencapaian baharu dalam 'resume' karier Search, Nasir percaya persembahan itu bakal meletakkan standard band terbabit ke tahap lebih tinggi.

"Sudah tentu konsert ini menjadi pengalaman baharu buat semua. Saya lihat konsert ini mampu membuatkan jenama Search lebih berprestij selain meletakkan kedudukan kami ke tahap lebih tinggi.

"Kami perlu jadikan konsert ini seimbang daripada segala segi. Kita juga tidak akan berkompromi daripada segi kualiti kerana mahu beri kepuasan maksimum kepada penonton," katanya.

Vokalis Search, Amy menjanjikan kelainan pada Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur.

"Kami jangka sesuatu yang berbeza kerana konsep yang akan kami tampil adalah orkestra.

"Kalau dari sudut pemilihan lagu, sebenarnya agak sukar membuat keputusan kerana cita rasa peminat berbeza.

"Tetapi kami pilih yang terbaik untuk konsert kali ini. Kami ingin jadikannya sesuatu yang diingati. Ini bermakna akan ada beberapa lagu yang belum pernah kami main, bakal dipersembahkan.

"Kami juga menjadikan konsert Orkestra Baltic sebagai rujukan kerana muzik mereka terbaik," katanya.

Amy atau nama penuh, Suhaimi Abdul Rahman ini memberitahu, konsert itu akan dirakam dalam bentuk audio dan visual untuk kegunaan pada masa akan datang.

Sebanyak RM10 daripada setiap jualan tiket akan disumbangkan kepada Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) bagi membantu penggiat seni memerlukan.

Berita Harian X