Rabu, 29 Mei 2024 | 5:01pm
Iman akan sambung pengajian selepas segala single baharu selesai dan sasarannya tercapai. - Foto IG Iman Troye
Iman akan sambung pengajian selepas segala single baharu selesai dan sasarannya tercapai. - Foto IG Iman Troye

Iman Troye tangguh pengajian

KUALA LUMPUR: Penyanyi Iman Troye, 22, memutuskan untuk menangguhkan pengajian buat sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada single baharu.

Iman yang juga penuntut Diploma Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam berkata, dia bakal muncul dengan single yang berkemungkinan diletakkan judul Kemboja selewat-lewatnya Jun depan.

Katanya, kesukaran membahagikan masa antara nyanyian dan pengajian menyebabkannya mengambil keputusan menangguhkan pengajian yang memasuki semester kelima.

"Keputusan ini bukan dibuat sendiri, tapi saya dapatkan restu keluarga. Sebagai anak bongsu, tentulah saya kena dahulukan ibu bapa sebelum membuat apa-apa keputusan.

"Sebelum ini, kerjaya seni saya agak perlahan kerana sibuk belajar, jadi kali ini saya nak fokus betul-betul pada single baharu," katanya yang ditemui pada Majlis Raikan Result SPM dan Pelancaran Insentif Pelajar Cemerlang PTTI di Bangi, baru-baru ini.

Kerjaya seni Iman agak perlahan kerana sibuk belajar, jadi kini mahu fokus pada single baharu. - Foto IG Iman Troye
Kerjaya seni Iman agak perlahan kerana sibuk belajar, jadi kini mahu fokus pada single baharu. - Foto IG Iman Troye

Sementara itu, kata Iman lagi, dia akan menyambung pengajian selepas segala single baharu selesai dan sasarannya tercapai.

"Buat masa ini, belum tahu berapa lama saya akan berehat. Lepas selesai semua berkaitan single baharu dan beberapa impian, barulah saya akan sambung pengajian semula.

"Insya-Allah kalau ada rezeki, saya nak sambung ke peringkat ijazah, tapi apa yang penting habiskan diploma dahulu.

"Alhamdulillah, sepanjang belajar di peringkat diploma keputusan saya semuanya mencapai dekan walaupun sibuk dengan nyanyian," katanya.

Berkongsi peranannya selaku Ikon PTTI untuk tahun ketiga, Iman gembira melihat peningkatan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kejayaan pelajar bukanlah sebab saya. Tugas saya hanya untuk tarik minat pelajar dan berikan kata semangat," katanya.

Berita Harian X