Rabu, 29 Mei 2024 | 12:51pm
Suhaimi berkongsi, RTM serius dalam mengambil tindakan kerana enggan pelakon bermasalah dijadikan ‘role model’ kepada masyarakat.
Suhaimi berkongsi, RTM serius dalam mengambil tindakan kerana enggan pelakon bermasalah dijadikan ‘role model’ kepada masyarakat.

RTM serius 'ajar' pelakon bermasalah

SHAH ALAM: Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan terus menangguhkan tayangan drama yang membabitkan pelakon bermasalah atau kontroversi.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, pihaknya serius dalam mengambil tindakan kerana enggan pelakon bermasalah dijadikan 'role model' kepada masyarakat.

Suhaimi berkata, tayangan drama yang membabitkan pelakon bermasalah akan ditayangkan di RTM apabila percaya ada penambahbaikan daripada artis terbabit.

"Kami akan tangguhkan tayangan drama sehingga pelakon yang mengambil bahagian dalam drama di RTM layak diketengahkan dan menjadi contoh baik kepada penonton.

"Ia berikutan orang ramai menjadikan pelakon sebagai idola, jadi kalau tunjuk perangai tak bagus kenapa mahu diketengahkan.

"Kami akan tangguhkan tayangan drama sehingga ada cukup bukti bahawa ada perubahan pada pelakon berkenaan.

"Bukanlah mahu menghukum sampai bila-bila, tapi sekiranya pelakon ada usaha menambah baik dirinya, kami akan tayangkan dramanya," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis pelancaran Salam Baitullah Musim Ke-16 di Hotel Mardhiyyah & Suites, Shah Alam, di sini, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, dia sudah bercakap dengan penerbit untuk memberikan pelakon bermasalah rawatan psikologi dan khidmat profesional sebelum kembali diketengahkan di kaca televisyen (TV).

"Saya sudah cakap pada penerbit, kalau pelakon perlu berjumpa dengan pakar psikiatri, tolonglah mereka. Kadang-kadang kita suka menghukum sahaja, tapi tak mahu buat sesuatu.

"Saya sudah berbincang dengan pengarah dan penerbit drama yang membabitkan pelakon bermasalah. Misalnya, pelakon Aliff Aziz, bawa dia berjumpa dengan pakar psikiatri atau sakit jiwa supaya dapat membantu pemulihannya.

"Sekiranya Aliff memerlukan pertolongan, beri pertolongan secara profesional. Kami juga mahu industri berkembang, tapi dalam masa sama mahukan pelakon yang boleh memberikan contoh baik.

"Jadi, sebagai stesen penyiar kami harus bertanggungjawab, kalau tidak orang marah kenapa ketengahkan pelakon tunjuk contoh tak baik.

"Kenyataan saya juga disokong oleh Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli.

"Beliau juga menyatakan kita kena menghasilkan kandungan bagus, selain pelakon yang membawa kandungan juga kena bagus. Itulah pendirian RTM," katanya.

Suhaimi (dua dari kanan) pada majlis pelancaran Salam Baitullah Musim Ke-16 di Hotel Mardhiyyah & Suites, Shah Alam, pagi tadi. - NSTP/Aziah Azmee
Suhaimi (dua dari kanan) pada majlis pelancaran Salam Baitullah Musim Ke-16 di Hotel Mardhiyyah & Suites, Shah Alam, pagi tadi. - NSTP/Aziah Azmee

Tambah Suhaimi, sikap dan kelakuan pelakon sentiasa menjadi pertimbangan RTM sebelum membintangi drama ditayangkan di stesen penyiaran kerajaan itu.

"Formula RTM senang sahaja, kalau nak keluar di TV, kenalah berperangai baik, semudah itu. Orang akan tanya kenapa RTM sokong artis yang berperangai tak elok.

"Tidak kisahlah, bukan sahaja Aliff, sesiapa pun kalau nak berlakon dan menyanyi untuk RTM, kenalah berperangai elok.

"Tapi, kami juga perlu membantu sekiranya mereka memerlukan bantuan profesional.

"Kalau berjumpa pakar, mungkin ia boleh membantu. Seperti di Amerika Syarikat, kalau seseorang artis ada masalah ketagih alkohol atau dadah akan dirujuk di klinik.

"Jadi, kita kena buat sesuatu untuk membantu, kalau tak cukup, mungkin bantuan lebih serius diperlukan," katanya.

Suhaimi berkata, pihaknya mengambil berat soal pemilihan pelakon dan ia turut dinyatakan dalam kontrak.

"Sebenarnya sudah ada dalam kontrak berhubung pemilihan pelakon. Kami mahukan pelakon tak bermasalah.

"Jadi, berpegang pada kontrak dan dalam masa sama, kesedaran untuk menjaga nama baik.

"Sudah tiba masanya kami mendisiplinkan orang dalam industri. Artis menjadi ikon, jadi jaga perangai. Tak bolehlah bangga apabila ada skandal. Ada banyak cara nak viral, tak perlu dengan cara tak baik," katanya.

Berita Harian X