Selasa, 28 Mei 2024 | 2:54pm
Ellie dibantu anak-anak dalam menguruskan perkahwinan Azri dengan wanita pilihannya. Foto IG Ellie Suriaty
Ellie dibantu anak-anak dalam menguruskan perkahwinan Azri dengan wanita pilihannya. Foto IG Ellie Suriaty

Ellie Suriaty jumpa bakal isteri Azri untuk urus majlis kahwin

KUALA LUMPUR: Ellie Suriaty mendakwa sudah beberapa kali berjumpa dengan bakal isteri bekas suami, Azri Iskandar, sebelum mereka memutuskan untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Ellie atau nama lengkap, Ellie Suriaty Omar, 54, mengaku dirinya boleh dianggap sebagai wakil kepada Azri dalam urusan perkahwinan bekas suaminya itu, malah dibantu anak-anak.

"Sudah tentu saya ada jumpa beberapa kali dengan bakal isteri Azri. Saya adalah wakil bagi pihak pengantin lelaki dan dibantu anak-anak.

"Saya fikir itu menarik apabila ada anak-anak yang membantu untuk ayah mereka.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh beri sebarang butiran mengenai tarikh perkahwinan dan sebagainya sebab perkara ini tidak boleh dihebahkan lagi," katanya kepada BH Online.

Ellie berkata, dia membantu daripada segi persiapan untuk majlis perkahwinan Azri kerana bekas suaminya itu kini hidup sebatang kara selepas pemergian nenek dan adiknya.

"Saya membantu Azri untuk persiapan pernikahan dia dengan seorang wanita ini. Azri hidup sebatang kara apabila nenek dan adik dia sudah meninggal dunia.

"Dia cuma dua beradik dan anak yatim piatu sejak kecil. Memang dia ada saudara-mara, tapi semuanya jauh dan berada di negeri lain.

"Jadi, saya yang terdekat ini akan bantu dia untuk persiapan perkahwinan," katanya yang pernah hidup selama 19 tahun bersama Azri.

Mengulas hubungan baik yang masih dipelihara bersama Azri, Ellie menegaskan, tiada keperluan untuk mereka bersengketa atau bermasam muka.

"Kami cuma matang dalam perkara ini dan tidak ada isu untuk bermasam muka. Kami juga pernah hidup bersama dalam tempoh yang agak lama iaitu 19 tahun.

"Pada saya tiada apa-apa yang negatif untuk diteruskan dalam kehidupan ini. Azri ada perjalanannya dan saya pun ada perjalanan sendiri, jadi kami harapkan yang positif sahaja," katanya.

Ellie dan Azri atau lama lengkap, Azri Iskandar Zulkiffly, 56, sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 17 Mei tahun lalu.

Setahun selepas bercerai, Ellie dan Azri dilapor bertemu buat kali pertama dalam sidang media mempromosikan drama lakonan mereka.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 19, dan Nur Azreen, 15.

Berita Harian X