Selasa, 28 Mei 2024 | 1:01pm
Gubahan rumit dan mencabar oleh Ravel memperlihatkan Muzaffar (berdiri) menonjolkan ketahanan dan kejayaan dalam memainkan piano dengan tangan kiri sahaja. - Foto Ihsan Istana Budaya
Gubahan rumit dan mencabar oleh Ravel memperlihatkan Muzaffar (berdiri) menonjolkan ketahanan dan kejayaan dalam memainkan piano dengan tangan kiri sahaja. - Foto Ihsan Istana Budaya

Lambang Sari Series bawa pesona konsert klasik

KUALA LUMPUR: Keseragaman dan kehebatan ditampilkan 78 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) ketika menjayakan persembahan klasikal barat iaitu Lambang Sari Series: Resilience & Triumph di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) memahat memori berharga, baru-baru ini.

Persembahan pertama orkestra di bawah naungan Istana Budaya (IB) pada tahun ini memberi seribu satu makna kepada penggemar muzik apabila berpeluang menyaksikan persembahan bertaraf lima bintang daripada barisan pemuzik berpengalaman.

Biarpun pentas Panggung Sari ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja penyelenggaraan bumbung bangunan, IB tetap komited menganjurkan pelbagai acara seni persembahan menerusi siri jelajah kempen Gerak IB.

Konduktor OSK, Nasran Nawi, berkata satu penghormatan buat mereka apabila berpeluang mengadakan persembahan berskala besar di DFP.

"DFP ini memang menjadi salah satu impian setiap ahli muzik untuk membuat persembahan.

"Menerusi kempen Gerak IB ini, OSK berpeluang mengembangkan lagi karya seni simfoni IB di mata masyarakat. Malah, kami dapat ketengahkan jenama OSK dengan lebih luas," katanya.

Lambang Sari Series: Resilience & Triumph ini menampilkan tiga komposisi lagu dari komposer barat terkenal seperti Hector Belioz dengan gubahan berjudul Roman Carnival Overture, Maurice Ravel (Piano Concerto for the Left Hand in D Major) dan Jean Sibelius (Symphony No 2 in D Major).

Ketiga-tiga lagu dipilih bagi memenuhi tema yang membawa maksud Ketahanan dan Kejayaan.

Gubahan muzik Belioz menceritakan suasana meriah, riang dan seumpama pesta besar dalam sebuah karnival di Rom. Belioz turut menggunakan alat muzik brass bagi memberikan kesan dramatik dan rancak, sesuai dijadikan sebagai lagu pembukaan panggung.

Persembahan pertama OSK di bawah IB memberi seribu satu makna kepada penggemar muzik apabila berpeluang menyaksikan persembahan bertaraf lima bintang daripada 78 pemuzik berpengalaman. - Foto Ihsan Istana Budaya
Persembahan pertama OSK di bawah IB memberi seribu satu makna kepada penggemar muzik apabila berpeluang menyaksikan persembahan bertaraf lima bintang daripada 78 pemuzik berpengalaman. - Foto Ihsan Istana Budaya

Gubahan muzik Ravel pula persembahan utama dengan menampilkan pemain solo piano handalan negara, Muzaffar Abdullah.

Lagu Piano Concerto for the Left Hand ini pada asalnya ditulis untuk pemain piano terkenal iaitu Paul Wittgenstein yang kehilangan tangan kanan secara tragis semasa Perang Dunia Pertama.

Gubahan rumit dan mencabar oleh Ravel ini memperlihatkan Muzaffar menonjolkan ketahanan dan kejayaan dalam memainkan piano dengan tangan kiri sahaja.

Konsert mencapai kemuncak dengan gabungan pemain solo piano dan 78 pemuzik orkestra memancarkan semangat ketabahan seorang insan seperti dipersembahkan pada abad ke-20.

Sementara itu, gubahan muzik Sibelius menggambarkan riwayat hidupannya di Finland, bermula dengan melodi penuh tenaga dan rancak.

Seterusnya, ketabahan hidupnya diuji dengan menggambarkan rasa sayu, gelora dan mencari ketenangan. Gubahan itu dijadikan lagu penutup kerana muziknya kembali membawa suasana riang ceria dan berpesta seperti meraih kejayaan mengharungi dugaan.

Ketua Pengarah IB, Zubaidah Mukhtar berkata, Lambang Sari Series Resilience & Triumph membuktikan kemampuan dan keupayaan OSK yang serba boleh, estetik dan mempesona.

"OSK meraikan ulang tahun ke-31 penubuhannya, tahun ini. OSK mendedikasikan konsert ini kepada peminat muzik tanah air dan masyarakat Malaysia dalam menyahut pembangunan Malaysia MADANI.

"Ini adalah buat julung kali OSK menampilkan konsert klasik melalui siri program Lambang Sari Series yang membawakan pesona konsert klasik barat bersama dengan Muzaffar Abdullah.

"OSK dengan penuh komited meneruskan usaha memartabatkan industri muzik Malaysia ke tahap yang memberangsangkan di bawah kelolaan IB dengan objektif memupuk dan membangun nilai insan melalui aktiviti kesenian seperti ini," katanya.

Berita Harian X