Isnin, 27 Mei 2024 | 4:33pm
Rossa berkongsi, bahang gerakan Blockout 2024 tidak dirasakan di Indonesia kerana masyarakat mempunyai pemikiran yang berbeza. - NSTP/Rohanis Shukri
Rossa berkongsi, bahang gerakan Blockout 2024 tidak dirasakan di Indonesia kerana masyarakat mempunyai pemikiran yang berbeza. - NSTP/Rohanis Shukri

'Gerakan boikot di Indonesia tak sekuat Malaysia' - Rossa

KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Seri Rossa memuji ketegasan rakyat Malaysia mengenai gerakan Blockout 2024 yang dijalankan dalam menunjukkan sokongan terhadap pembebasan rakyat Palestin.

Mengulas lanjut perkara itu, Rossa atau Sri Rossa Roslaina Handayani, 46, berkata bahang gerakan tersebut tidak dirasakan di Indonesia kerana masyarakat mempunyai pemikiran berbeza.

"Sebenarnya, gerakan boikot di Indonesia tidak sekuat di Malaysia. Saya merasakan impak Blockout itu hanya di Malaysia.

"Di Indonesia ada sebahagian masyarakat mempunyai pemikiran masing-masing. Lagipun, lebih besar dan rakyatnya ramai," katanya,

Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi Atas Nama Cinta itu memaklumkan meskipun gerakan boikot selebriti atau pempengaruh di Indonesia tidak sehebat di Malaysia, namun rakyat tetap menunjukkan solidariti terhadap saudara Islam di Palestin.

"Mereka juga mempunyai sikap solidariti tinggi. Ada sahaja perhimpunan memperjuangkan nasib rakyat di Palestin, setiap hujung minggu di Indonesia," ujarnya ditemui pada sidang media Konsert Divas & Diamonds 2024 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Konsert anjuran Mega Eve Sdn Bhd itu bakal diadakan di Arena Larkin, Johor Bahru pada 9 September depan.

Rossa bakal muncul dalam Konsert Divas & Diamonds 2024 yang bakal berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru pada 9 September depan. - NSTP/Rohanis Shukri
Rossa bakal muncul dalam Konsert Divas & Diamonds 2024 yang bakal berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru pada 9 September depan. - NSTP/Rohanis Shukri

Selain Rossa, konsert itu juga bakal menampilkan Datuk Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah serta seorang lagi penyanyi yang akan diumumkan kemudian.

Ditanya apakah pernah melalui pengalaman diboikot berkaitan dengan gerakan itu, Rossa berkata, perkara itu tidak berlaku kerana dia tidak pernah mempromosikan jenama produk yang menunjukkan sokongan terhadap Zionis.

"Sejak dahulu, saya tidak mempromosikan barangan jenama pro-Israel. Saya tak kisah kalau tujuan kerja seperti menghadiri acara.

"Tapi, kalau ia nampak 'hard sell', saya tidak akan melakukannya," kata Rossa.

Terdahulu, gerakan Blockout 2024 diwujudkan bagi memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di Palestin.

Gerakan itu dibuat sebagai meluahkan rasa kecewa terhadap sikap tidak peka selebriti tanah air yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk berkaitan dengan Israel dalam media sosial milik mereka.

Gerakan itu disambut baik oleh netizen Malaysia yang juga menyenaraikan beberapa nama artis yang dipercayai melakukan kerjasama dengan jenama pro-Zionis dan meminta peminat supaya tidak lagi mengikuti dan menyekat media sosial mereka.

Antara selebriti Malaysia yang tersenarai termasuklah Meerqeen, Nadhir Nasar, Nabila Razali, Daiyan Trisha, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan ramai lagi.

Berita Harian X