Isnin, 27 Mei 2024 | 3:44pm
Walaupun Adam hanya peroleh 6A, namun Zarina sudah cukup bersyukur dengan keputusan diraih anak bongsunya itu. - Foto IG Zarina Zainuddin
Walaupun Adam hanya peroleh 6A, namun Zarina sudah cukup bersyukur dengan keputusan diraih anak bongsunya itu. - Foto IG Zarina Zainuddin

Anak Zarina 6A, adik Ubai 10A keputusan SPM

KUALA LUMPUR: Pelakon Zarina Zainuddin bersyukur anak bongsunya, Muhammad Adam Azrai memperoleh keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, pagi tadi.

Kegembiraan itu dikongsikan Zarina menerusi Instagram miliknya.

Zarina berkata, walaupun Adam tidak mendapat 8A, tetapi dia sudah cukup bersyukur dengan keputusan diraih anaknya itu.

"Adam ingat dia setakat dapat 2A saja. Saya pun tak sangka Adam boleh dapat keputusan cemerlang.

"Adam banyak habiskan masa dalam bilik, sangka saya dia bermain permainan video.

"Tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan sebab saya ada dua anak autism. Bila anak normal lulus, sudah tentu saya amat bersyukur," katanya kepada BH Online.

Zarina berkata, dia mungkin tidak begitu bijak dalam pelajaran, tetapi akan memastikan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran.

"Ibu tak pandai biarlah anak pandai. Semua ibu bapa mengharapkan anak berjaya," ujarnya.

Sementara itu, pempengaruh media sosial yang juga suami kepada penyanyi Shila Amzah, Ubai Mz berbangga dengan keputusan cemerlang adik bongsunya, Alieyatul Lailah yang meraih keputusan 10A.

Ubai paling tidak disangka apabila Alieyatul meraih A dalam subjek matematik, sedangkan tak pernah lulus sebelum ini. - Foto Ubai Mz
Ubai paling tidak disangka apabila Alieyatul meraih A dalam subjek matematik, sedangkan tak pernah lulus sebelum ini. - Foto Ubai Mz

Ubai berkata, dia paling tidak disangka apabila adiknya meraih A dalam subjek matematik.

"Selama ini, adik tak pernah lulus subjek matematik, jadi saya jangka mungkin adik akan dapat B atau C.

"Arwah mak selalu pesan mengenai kepentingan subjek matematik. Jadi adik sudah janji dengan arwah untuk buat yang terbaik.

"Alhamdulillah, saya rasa sebak sebab antara kami adik-beradik, keputusan Alieyatul paling cemerlang. Kalau arwah masih ada tentu dia gembira," katanya.

Ditanya adakah akan memberikan ganjaran buat adiknya, Ubai berhasrat menghadiahkan telefon bimbit.

"Telefon bimbit dipakai adalah hadiah saya ketika dapat gaji pertama, jadi saya berhasrat nak berikan telefon baharu untuknya," katanya.

Bagaimanapun, Ubai tidak dapat menemani adiknya mengambil keputusan kerana menjaga Shila yang berada dalam keadaan pantang.

Berita Harian X