Ahad, 26 Mei 2024 | 7:53pm
MONSTA menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Nabil Mentor yang menghembuskan nafas terakhir, pagi tadi. - Foto IG MONSTA
MONSTA menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Nabil Mentor yang menghembuskan nafas terakhir, pagi tadi. - Foto IG MONSTA

MONSTA hargai sumbangan suara Nabil Mentor

KUALA LUMPUR: Studio animasi terkenal, Animonsta Studios (MONSTA) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Nabil Zafril Zamanhuri, 37, atau lebih dikenali sebagai Nabil Mentor.

Melalui entri dimuatnaik menerusi Facebook (FB), MONSTA turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Allahyarham Nabil kerana sudah menyumbang suara untuk dua watak dalam siri animasi popular terbitan mereka iaitu BoBoiBoy.

"Terima kasih membantu kami menceriakan kanak-kanak seluruh dunia dengan meminjamkan suara untuk watak Kapten Kaizo dan Maripos.

"Semoga Allahyarham Nabil Zafril Zamanhuri dicucuri rahmat serta ditempatkan dikalangan orang beriman.

"Salam takziah buat seluruh ahli keluarga. Al-Fatihah," tulis MONSTA.

Terdahulu, Allahyarham Nabil dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Bukit Indah, Ampang, pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung sebelum dikejarkan ke Hospital Ampang untuk bedah siasat.

Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, jam 6.20 petang tadi.

Allahyarham Nabil meninggalkan seorang balu, Adelia Citra Hapsari dan dua cahaya mata perempuan, Aluna Calista, 7, dan Stara, 3.

Berita Harian X