Khamis, 23 Mei 2024 | 8:27pm
Shakilla dan Fariz Zulkepley mendirikan rumah tangga dalam majlis tertutup di Shah Alam, Selangor pada 24 Februari lalu. - Foto IG Shakilla Khoriri
Shakilla dan Fariz Zulkepley mendirikan rumah tangga dalam majlis tertutup di Shah Alam, Selangor pada 24 Februari lalu. - Foto IG Shakilla Khoriri

'Simpan duit, peguam sekarang mahal' - Shakilla

KUALA LUMPUR: Tidak mahu berterusan didakwa sebagai 'penyondol', pelakon Shakilla Khoriri tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pengguna media sosial yang mencabar kesabarannya.

Shakilla atau nama sebenarnya, Nurul Shakilla Mohd Khoriri, 35, berkata tindakan dibuat demi beri pengajaran agar tiada mana-mana pihak yang melontarkan komen negatif kepadanya.

"Kadang-kala netizen perlukan pengajaran. Biarlah beri mereka popular sikit, mungkin boleh sertai saya naik turun mahkamah.

"Saya rimas orang bercakap pasal penyondol, sedangkan mereka tak tahu cerita sebenar. Sebelah pihak sahaja tahu cerita, sudahnya saya jadi mangsa.

"Jadi, manusia sebegini perlu diberikan pengajaran supaya otak mereka boleh berfikir secara waras," katanya ringkas.

Shakilla berkongsi dalam Instagram (IG) tangkap layar beberapa pengguna media sosial meninggalkan komen tidak baik mengenainya, hari ini.

Shakilla kini bahagia bersama suaminya, Fariz Zulkepley dan anaknya, Ameena Sofia. - Foto IG Shakilla Khoriri
Shakilla kini bahagia bersama suaminya, Fariz Zulkepley dan anaknya, Ameena Sofia. - Foto IG Shakilla Khoriri

Pelakon itu turut menyuarakan perasaan tidak puas hati apabila ada pengguna laman sosial menggunakan akaun palsu untuk melemparkan komen sesuka hati.

"Mereka ini paling tahu kehidupan saya, jadi rasanya layak temani saya naik turun mahkamah untuk beri keterangan. Simpan duit, peguam sekarang mahal.

"Berani, tapi bodoh. Kalau nak kecam siapa pun dalam sosial media pastikan guna akaun betul. Saya ajak jumpa tidak mahu," katanya.

Tambah Shakilla, dia juga bersedia bersemuka dengan mana-mana pihak untuk berkongsi lebih lanjut apa yang mereka ingin ketahui.

"Saya akan cari dengan bantuan pengikut saya. Kita nak jumpa dan dengar cerita yang saya tak tahu. Nanti jumpa minum kopi.

"Saya hanya ingin jadi diri sendiri, tapi nampaknya orang lain yang lebih tahu cerita saya," katanya.

Terdahulu, Shakilla mendirikan rumah tangga dengan jejaka yang dikenali sebagai Fariz Zulkepley dalam sebuah majlis tertutup di Shah Alam, Selangor pada 24 Februari lalu.

Sebelum ini, Shakilla pernah berkahwin dengan penyampai radio, Fizi Ali pada 18 Januari 2018, namun berpisah pada Disember 2021.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Ameena Sofia.

Berita Harian X