Khamis, 23 Mei 2024 | 5:31pm
Hisyam dan Mel bukan lagi suami isteri, pilih haluan hidup masing-masing tanpa dedah punca. - Foto IG Hisyam Hamid
Hisyam dan Mel bukan lagi suami isteri, pilih haluan hidup masing-masing tanpa dedah punca. - Foto IG Hisyam Hamid

Hisyam, Mel bukan lagi suami isteri

KUALA LUMPUR: "Buat masa ini, kami rasa jalan terbaik adalah untuk tidak lagi menjadi suami isteri."

Demikian jawapan pelakon Hisyam Hamid ketika ditanya mengenai status bersama isterinya, Rosmawati Hanafi atau Mel.

Hisyam berkata, semua pihak sudah maklum mengenai status perkahwinannya berdasarkan kenyataan dibuat sebelum ini.

Bagaimanapun, pelakon kelahiran Singapura itu mengaku masih mengekalkan hubungan baik bersama Mel.

"Saya tidak mahu dek kerana satu detik hitam berlaku antara kami memusnahkan hubungan ini.

"Kami hanya mahu fokus ke depan. Masing-masing sudah pun membawa haluan sendiri.

Hisyam kini lebih selesa berkawan baik dengan Mel demi anak-anak. - NSTP/Rohanis Shukri
Hisyam kini lebih selesa berkawan baik dengan Mel demi anak-anak. - NSTP/Rohanis Shukri

"Apa paling penting, kami ada tanggungjawab terhadap anak-anak dan mereka juga berada di bawah penjagaan saya," katanya ditemui pada sidang media drama Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju di Zebra Square, di sini, hari ini.

Hisyam memberitahu, Mel masih berperanan sebagai pengurusnya dan mereka masih berkomunikasi setiap hari.

"Tak ada salah untuk kami teruskan hubungan baik demi anak-anak. Apa yang berlaku sudah berlaku.

"Buat masa ini, kami selesa berkawan baik, lebih daripada itu saya tak pasti, masa yang akan menentukan.

"Pada akhirnya, Mel adalah ibu kepada anak-anak saya. Hampir 20 tahun kami bersama, tidak semuanya buruk dan negatif. Banyak benda positif yang kami lalui.

"Dia melahirkan dua anak saya, itu adalah satu pengorbanan besar. Momen itu saya hargai dan hormati dia," katanya.

Ditanya tindakannya memilih untuk berselindung mengenai status hubungan bersama Mel, Hisyam berkata, dia tidak mahu perkara itu menjejaskan emosi anak-anaknya.

"Sejak dulu, apa sahaja yang saya buat, saya akan pastikan tidak ada kontroversi yang menjejaskan anak-anak. Saya mahu beri contoh terbaik pada mereka.

"Begitu jugalah bila hal ini ditanya, saya tidak mahu pada akhirnya berita ini memberi kesan atau mereka tahu dari sumber lain," katanya.

Terdahulu, Hisyam enggan mengulas status bersama Mel selepas timbul dakwaan rumah tangga mereka sedang bergolak.

Bagaimanapun, Hisyam memohon agar orang ramai mendoakan perkahwinan dibina bersama Mel sejak 2006 itu terus kukuh dan sentiasa dalam keadaan baik.

Hisham mendirikan rumah tangga dengan Mel pada 2006. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Nurish Syameliah, 16, dan Haydeen, 14.

Berita Harian X