Khamis, 23 Mei 2024 | 3:01pm
Remy bersetuju cuba watak berbeza kerana enggan dilabel hanya menjual wajah. - NSTP/Genes Gulitah
Remy bersetuju cuba watak berbeza kerana enggan dilabel hanya menjual wajah. - NSTP/Genes Gulitah

Remy terseliuh kaki, sakit lutut menari tango

KUALA LUMPUR: Demi menjayakan babak menari tango bersama Maya Karin, bintang utama filem The Experts, Remy Ishak mengalami kecederaan ringan seperti terseliuh kaki, sakit lutut dan pinggang.

Remy membawakan watak Amer berkata, babak itu antara paling mencabar dan dihantar mengikuti kelas tarian tango selama enam minggu bersama Maya.

"Saya tak pandai menari dan untuk saya, selama enam minggu itu sangat mencabar. Susah menari, lebih lagi tarian tango.

"Saya lebih rela bergaduh daripada menari, tetapi ini adalah peluang untuk saya tunjukkan bakat.

"Kalau ada tawaran untuk berlakon muzikal, insya-Allah saya teringin mahu mencuba," katanya yang ditemui BH Online pada majlis tayangan perdana filem The Experts, baru-baru ini.

Remy menyifatkan babak menari tango paling mencabar, enam minggu mengikut kelas tarian bersama Maya. - NSTP/Genes Gulitah
Remy menyifatkan babak menari tango paling mencabar, enam minggu mengikut kelas tarian bersama Maya. - NSTP/Genes Gulitah

Selain kali pertama menari tango, ini juga julung kali Remy mencuba watak komedi.

Kata Remy, watak komedi bukan slapstik dibawakannya nyata menjadi, itupun selepas beberapa kali perbincangan dengan pengarah dan guru lakonan.

"Saya tak pernah mainkan watak komedi, jadi bila diminta bawakan ini, tanya komedi macam mana?

"Saya tak nak jadi watak komedi tipikal seperti kebanyakkan filem Melayu lain. Pada asalnya, Joel Soh yang juga penerbit dan penulis skrip mahu saya jadi sebegitu, tapi selepas berbincang akhirnya mereka setuju saya bawakan karakter tak dibuat-buat," katanya.

Ujar Remy lagi, dia bersetuju mencuba watak yang berbeza kerana tak mahu dilabel hanya menjual muka.

"Sebelum ini, orang labelkan saya hanya jual muka, tetapi berlakon tak seberapa. Jadi, saya cuba buktikan mampu bawakan watak sisi dan imej berbeza berambut panjang," katanya.

Berita Harian X