Isnin, 20 Mei 2024 | 7:25pm
Ustaz Kazim tak sanggup berdepan gangguan makhluk halus, menjalani rawatan menyakitkan dan berhabis wang ringgit untuk menyembuhkan penyakit. - NSTP/Aziah Azmee
Ustaz Kazim tak sanggup berdepan gangguan makhluk halus, menjalani rawatan menyakitkan dan berhabis wang ringgit untuk menyembuhkan penyakit. - NSTP/Aziah Azmee

15 tahun sukar tidur, Ustaz Kazim hanya 'lelap' dalam kereta

KUALA LUMPUR: "Saya bersyukur sangat dapat kembali merasai nikmat sihat."

Demikian kata pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim selepas kembali pulih daripada masalah kulit dipercayai disebabkan perbuatan sihir yang dihantar kepadanya sejak beberapa tahun lalu.

Ustaz Kazim berkata, dia sudah tidak sanggup lagi berdepan gangguan makhluk halus, menjalani rawatan menyakitkan dan berhabis wang ringgit untuk menyembuhkan penyakitnya itu.

"Cukuplah duduk lama di hospital, berubat lama dan banyak berhabis duit. Cukuplah sakit dan berhadapan dengan pelbagai gangguan termasuk nampak perkara bukan-bukan.

"Walaupun isteri dan anak-anak sudah lali dengan perkara ini, tapi kalau boleh saya tak mahu lagi hidup seperti itu," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, pendakwah berasal dari Perak itu memberitahu, dia perlu berpantang daripada mengambil beberapa makanan kerana dikhuatiri akan memudaratkan tubuh badannya, selain perlu lebih berhati-hati dalam melontarkan kata ketika berceramah.

"Kesan daripada santau, saya perlu jaga makan. Sampai sekarang saya tak boleh makan rebung, limau nipis, kambing dan tak boleh minum air tebu sebab semua itu ada bisa. Kalau makan, badan saya akan sakit dan pedih.

"Antara lain, saya perlu berpantang ketika bercakap sebab takut boleh buatkan orang terasa hati. Dulu masa muda, saya jadi penceramah yang garang, lantang dan bersemangat.

"Ketika itu, ada orang marah kerana mungkin saya terlepas cakap. Selepas dapat tahu saya tanya dan mengadap orang yang menghantar sihir kepada saya.

"Orang itu pun cakap dia terasa dengan apa yang saya cakap. Tapi, saya tak tahu perkara itu kerana tak kenal peribadinya.

"Jadi, sekarang saya ambil keputusan untuk lebih berhati-hati," kata Ustaz Kazim yang ditemui pada sesi fotografi pelakon filem lakonannya, Zim Zim Ala Kazim di Studio NSTP, Balai Berita, di sini, hari ini.

Ustaz Kazim bergandingan dengan Mawi dan Anas Tahir dalam filem Zim Zim Ala Kazim. - NSTP/Aziah Azmee
Ustaz Kazim bergandingan dengan Mawi dan Anas Tahir dalam filem Zim Zim Ala Kazim. - NSTP/Aziah Azmee

Pada masa sama, Ustaz Kazim mendedahkan, dia masih bergelut dengan kesukaran untuk tidur sejak 15 tahun lalu akibat gangguan sihir itu.

"Saya mula kena sihir pada 1997 dan sudah mula beransur pulih sejak 2021. Sekarang, saya hadapi kesukaran tidur selama 15 tahun. Saya hanya boleh tidur kalau dalam kereta sahaja.

"Kalau malam saya hendak tidur, saya akan minta pemandu bawa kereta ke Tanjung Malim misalnya, kemudian patah balik. Jadi, dapatlah saya tidur selama dua hingga tiga jam. Saya sudah dapatkan rawatan doktor, namun tidak dapat diselesaikan juga.

"Sihir ini tidaklah hilang sepenuhnya, 'tapak' atau 'bekas' daripada gangguan itu masih ada. Disebabkan itu, kalau saya pergi ke tempat yang ada gangguan, saya akan rasa seperti tidak kena," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ustaz Kazim bertindak sebagai teraju utama dalam filem Zim Zim Ala Kazim arahan Mawi yang akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 13 Jun depan.

Mengulas mengenai filem, Ustaz Kazim berkata, dia mahu penonton didedahkan dengan kesan buruk daripada perbuatan sihir termasuk memupuk kesedaran untuk lebih menjaga tutur kata.

"Dalam filem ini saya hendak ajak orang ramai jangan mengamalkan sihir termasuk membuka mata ramai kita tidak menyebabkan orang menghantar sihir.

"Jadi, saya hendak ajak orang ramai supaya lebih menjaga tutur kata," katanya.

Filem terbitan MW Entertainment Sdn Bhd itu menampilkan barisan pelakon lain seperti Mawi, Bell Ngasri, Anas Tahir, Shanthesh Kumar, Elvina Chua, Man Raja Lawak, Maimunah Ahmad dan ramai lagi.

Zim Zim Ala Kazim mengisahkan sekumpulan pencari hantu yang sering melakukan aktiviti paranormal. Mereka kemudian menemukan sesuatu yang pelik dan mendapati bahawa Ustaz Kazim dalam bahaya, sekali gus mengambil keputusan menyelamatkannya.

Berita Harian X