Khamis, 16 Mei 2024 | 7:59pm
Search enggan mengulas lanjut isu royalti album Rockology Search: Kid’Din Collection kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. - NSTP/Genes Gulitah
Search enggan mengulas lanjut isu royalti album Rockology Search: Kid’Din Collection kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. - NSTP/Genes Gulitah

'Search satu institusi, tolong hormati'

KUALA LUMPUR: Bukan mahu menutup buku atau melupakan isu royalti album Rockology Search: Kid'Din Collection yang pernah diluahkan.

Sebaliknya, keengganan kumpulan rock ikonik legenda, Search mengulas lanjut berkaitan isu royalti album itu kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

Pemain bes, Nasir Daud berkata, mereka sudah menetapkan satu kepastian tidak mahu menyentuh individu atau sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan Search sebelum hadir ke sidang media, semalam.

"Hari ini, kami hanya nak cerita soal konsert sahaja. Kami perlu berhati-hati menjawab.

"Bukan nak abaikan, tapi kami mahu rehat dahulu buat sementara waktu. Apapun, biarlah ikut saluran betul, tapi bukan menerusi mahkamah.

"Kami tak tunggu apapun dan tak kisah. Nak cakap, cakaplah. Isu ini sudah tular dan semua orang tahu.

"Cuma, saya rasa tak nak sentuh sebab nanti melarat-larat," katanya ditemui pada sidang media Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur di sebuah hotel di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Konsert dibawakan khas oleh Persatuan Rekreasi Global Malaysia itu bakal menggegarkan Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 21 September depan.

Ditanya apakah Search ingin memberi kenyataan balas berhubung kenyataan Din mendakwa perbuatan vokalis Search, Datuk Amy membangkitkan isu royalti sebagai melampau, Amy juga enggan mengulasnya.

"Kalau pasal isu itu saya tak nak jawab," jawab Amy ringkas.

Kontroversi mengenai isu royalti album timbul selepas Amy meluahkan rasa kecewa dengan tindakan pemain gitar adik-beradik, Din dan Kid yang mengeluarkan album Rockology Search: Kid'Din Collection tanpa pengetahuan band terbabit.

Search bersama Pengarah Program Global Malaysia (PRGM), Mohd Roslan Mohd Rafi (dua dari kiri) pada sidang media Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Genes Gulitah
Search bersama Pengarah Program Global Malaysia (PRGM), Mohd Roslan Mohd Rafi (dua dari kiri) pada sidang media Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Genes Gulitah

Bukan hanya kecewa dengan tindakan Din dan Kid yang didakwa membuat keputusan dengan membelakangkan mereka, malah turut mempersoalkan royalti album yang sepatutnya menjadi hak bersama.

Sementara itu, mengulas cadangan peminat agar nama Search dapat digunakan oleh individu yang pernah berkaitan dengan kumpulan ikonik itu, Nasir berpendapat, cadangan itu tidak perlu diberi perhatian.

Tambahnya, perkara itu tidak seharusnya ditimbulkan kerana jenama Search adalah satu institusi yang perlu dihormati.

"Benda sebegini tak pernah terjadi dan kebanyakan benda pelik berlaku di Malaysia sahaja. Saya rasa tak sesuai gunakan nama Search.

"Jenama Search adalah satu institusi yang orang boleh rujuk. Ini bukan baju untuk sarung-sarung. Ini satu institusi dan tolong hormati.

"Kalau Search nak latih legasi, kami akan pilih bakat baharu dan mereka akan teruskan legasi Search daripada dijadikan satu jenama yang nak digunakan untuk pelbagai produk dalam pasaran.

"Saya rasa adalah lebih baik dan ilmiah kalau Search pergi ke kolej atau universiti untuk berkongsi ilmu serta pengalaman bersama generasi baharu.

"Kemudian, kami boleh kongsikan bagaimana Search dapat bertahan hampir lima dekad. Saya rasa, cara ini lebih sistematik dengan turun ke tempat begitu," katanya lagi.

Nasir berkata, dia dan anggota Search iaitu Amy, Man Kidal dan Hillary Ang juga pernah ditawarkan untuk turun ke institusi pengajian tinggi untuk berkongsi ilmu.

"Secara individu, ada jemputan yang diterima. Tapi, kami sedang merancang turun ke kolej dan universiti sebagai satu kumpulan.

"Kami nak kongsi pengalaman dan jadikan motivasi kepada generasi baharu berjuang dalam kehidupan. Daripada melaung-laungkan siapa boleh 'pakai' nama Search," ungkap Nasir.

Berita Harian X