Rabu, 15 Mei 2024 | 7:42pm
Liza perlu mendapatkan keizinan anak-anak, bimbang keputusan berkahwin merenggangkan hubungan. - Foto NSTP
Liza perlu mendapatkan keizinan anak-anak, bimbang keputusan berkahwin merenggangkan hubungan. - Foto NSTP

Liza sengaja biarkan gosip kahwin, elak dituduh goda suami orang

KUALA LUMPUR: Pernah berteka-teki mengenai statusnya yang didakwa kembali berumahtangga, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku, Liza Abdullah, mendedahkan masih hidup solo.

Liza, 60, berkata, dia memilih tidak menjawab spekulasi sudah kembali berumah tangga, dua tahun lalu kerana mendakwa bukan mudah memikul status ibu tunggal.

"Sebenarnya, saya belum berkahwin. Ada sebab kenapa saya pilih untuk kunci mulut.

"Bila situasi wanita bergelar isteri kedua sering dianggap jahat, jadi saya mengiyakan sudah berkahwin untuk elak ada wanita takut saya goda suami mereka.

"Pada usia begini manalah ada orang mahukan saya. Saya juga sebenarnya sudah malas nak mulakan perhubungan, penat nak kenal semula orang," katanya kepada BH Online.

Liza memilih tidak menjawab spekulasi kembali berumah tangga, dua tahun lalu kerana bukan mudah memikul status ibu tunggal. - Foto NSTP
Liza memilih tidak menjawab spekulasi kembali berumah tangga, dua tahun lalu kerana bukan mudah memikul status ibu tunggal. - Foto NSTP

Bagaimanapun, kata ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, dia tidak berani bercakap lebih kerana semuanya adalah ketentuan Allah.

"Saya tak boleh jangka kehidupan akan datang. Saya tak tahu mungkin terus hidup sendiri atau jumpa seseorang untuk dijadikan peneman hingga akhir hayat.

"Tapi, saya tak nak cakap lebih-lebih, lagipun saya masih sayangkan kerjaya sebagai pelakon. Jadi, sesiapa yang nak jadi pasangan saya kenalah terima pekerjaan saya," katanya.

Kata Liza lagi, dia juga perlu mendapatkan keizinan anak-anak, bimbang keputusan berkahwin merenggangkan hubungan.

"Saya tak tutup pintu hati, anak sulung mulanya dulu agak keberatan. Tapi bila sudah dewasa, dia pula suruh saya cari teman hidup.

"Anak ketiga dan keempat pula seperti enggan lepaskan saya. Saya sendiri bimbang jika ada suami hubungan kami jadi renggang kerana saya dan anak-anak sangat rapat," katanya.

Sebelum ini, Liza pernah mendirikan rumah tangga dengan Zolkefli Abdulah Rahman, namun bercerai pada 2014 selepas 26 tahun berkongsi hidup.

Berita Harian X