Rabu, 15 Mei 2024 | 3:01pm
Aina berdepan cabaran dalam memastikan persembahan bersama orkestra mencapai standard. - Foto Ihsan DFP
Aina berdepan cabaran dalam memastikan persembahan bersama orkestra mencapai standard. - Foto Ihsan DFP

Sisi berbeza Aina di pentas DFP

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Aina Abdul menyifatkan persembahannya bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) sebagai lembaran baharu dalam karier seninya, baru-baru ini.

Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 30, berkata, konsep persembahan bersama pasukan orkestra memberi cabaran buatnya, malah menganggap ia sebagai platform bertujuan menguji kemampuan vokal dimiliki selepas lebih 10 tahun terbabit dalam bidang seni suara.

Mula dikenali selepas menyertai program realiti, Mentor Legend terbitan TV3 pada 2014, Aina mengakui, dia berdepan cabaran besar dalam memastikan persembahan bersama orkestra mencapai standard.

"Untuk membuat persembahan bersama orkestra memang satu tugasan mencabar. Walaupun saya banyak dengar dan belajar pelbagai perkara, namun saya sedang diuji ketika membuat persembahan di DFP.

"Kadang-kadang saya terleka dengan muzik orkestra yang membuai-buai, tapi saya tetap perlu memastikan segala-galanya dapat disampaikan dengan baik.

"Bagaimanapun, saya sukakan cabaran dan tekanan kerana ia boleh membuatkan saya ketagih untuk meneruskannya," kata Aina ketika ditemui selepas selesai Konsert Aina Abdul Bersama MPO di DFP, Jumaat lalu.

Menerusi konsert berlangsung selama dua malam itu, Aina bersyukur dapat menerokai pelbagai perkara baharu, selain berpeluang mempamerkan sisi berbeza sebagai penyanyi.

Kali ini, pentas DFP berjaya memaparkan sisi Aina yang sedikit 'patuh' dengan iringan 60 pemuzik orkestra di bawah kendalian konduktor, Ahmad Muriz Che Rose.

"Untuk membuat persembahan perlu 'patuh' dengan skor muzik orkestra, ia sangat sukar, namun saya tetap mahukannya lagi. Persembahan bersama MPO memberi ruang untuk 'bermain' dengan suara dalam cara yang tidak pernah dilakukan.

"Saya anggap ini adalah peluang baik untuk saya menonjolkan sisi berbeza Aina Abdul. Saya juga dapat menerokai pelbagai perkara baharu seperti apa lagi yang boleh dibuat dengan suara saya, tinggi mana dan banyak lagi saya boleh belajar daripada persembahan dengan simfoni.

"Terima kasih juga kepada mereka yang memberi peluang untuk membuat persembahan di pentas berprestij ini. Ini adalah perkara yang saya tak akan lupa dalam karier sebagai penyanyi," katanya.

Aina mengakui, persembahan di DFP antara paling sukar buatnya berikutan gubahan simfoni dan persembahan pertama yang membabitkan ramai pemuzik.

"Bila saya buat latihan barulah saya faham kenapa pentas ini begitu diidamkan penyanyi dan mengapa sangat sukar berada di sini.

"Ini juga adalah persembahan membabitkan paling ramai pemuzik pernah saya lakukan.

"DFP adalah pentas dinantikan oleh semua penyanyi dan saya sangat bertuah diberikan peluang ini. Ia adalah tanggungjawab saya dan inilah masanya mencurahkan semua ilmu yang saya belajar bertahun-tahun," katanya.

Pentas DFP berjaya memaparkan sisi Aina yang sedikit ‘patuh’ dengan iringan 60 pemuzik orkestra. - Foto Ihsan DFP
Pentas DFP berjaya memaparkan sisi Aina yang sedikit ‘patuh’ dengan iringan 60 pemuzik orkestra. - Foto Ihsan DFP

Aina berkata, dia cuba menyesuaikan diri dengan gubahan simfoni yang disifatkan lebih lembut dan santai.

"Itulah perbezaan konteks persembahan simfoni ini kerana pemuzik orkestra ini mempunyai dinamik dalam skor muzik dan begitu juga saya. Saya cuba untuk menyesuaikan nyanyian dengan skor muzik lebih lembut dan santai.

"Jadi, apabila saya dengar muzik, saya cuba untuk selaraskan nyanyian kerana saya tidak mahu 'bergaduh' dengan muzik," katanya.

Membuka tirai persembahan dengan lagu sama dengan judul albumnya, Imaji, Aina tampil dengan busana seolah-olah 'disco ball' berwarna warni sentuhan pereka fesyen popular, Melinda Looi.

Aina ketika tampil di pentas berprestij itu berkata, dia sentiasa memiliki keinginan tampil dengan busana bertemakan 'disco ball'.

"Selalu 'disco ball' di atas, kali ini mengapa tidak Aina Abdul jadi 'disco ball' di bawah," katanya sambil tertawa.

Aina seterusnya menyanyikan lagu Sumpah yang dipercayai menjadi detik perkenalan dirinya kepada orang ramai, sekali gus mencetuskan penubuhan kelab peminat, Aination.

Kemudian, persembahan disusuli dengan lagu Kejam, Kelip-Kelip, Bilang, Sesal dan Sepi sebelum menutup tirai untuk sesi pertama.

Sesi kedua diteruskan dengan lagu Semalam, Shadow, Fool, Kamu, Puas Sudah, Terus Hidup serta lagu permintaan MPO sendiri iaitu Dawai.

Yang turut hadir memberi sokongan termasuklah pasangan adik-beradik, Anuar Zain dan Ziana Zain.

Aina menutup tirai persembahan dengan lagu medley At Last, You Make Me Feel, Hero, When You Believe, I Surrender dan Listen yang ditujukan khas buat barisan penyanyi diva yang sangat dihormati seperti Mariah Carey, Whitney Houston dan Celine Dion.

Tampil dengan dua busana, Aina tidak ketinggalan menyanyikan lagu popularnya, Jangan Mati Rasa Itu.

Berita Harian X