Selasa, 14 Mei 2024 | 3:55pm
Anuar menyifatkan Aina adalah superstar dan bersesuaian dengan cita rasanya.
Anuar menyifatkan Aina adalah superstar dan bersesuaian dengan cita rasanya.

Anuar puji Aina bertaraf superstar

KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain tidak melatah biarpun dikecam netizen kerana memuji persembahan Aina Abdul bersama Orkestra Malaysia (MPO) yang disifatkan bertaraf superstar.

Sebaliknya, Anuar memilih menjawab komen negatif dengan cara berhemah.

Anuar dalam komen ditinggalkannya di satu akaun Instagram mengakui bangga dengan persembahan Aina di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang disifatkan hebat, minggu lalu.

Kagum persembahan penyanyi lagu Sepi itu, Anuar, 54, yang berkesempatan menyaksikan persembahan penyanyi itu turut menggelar Aina 'superstar' di hatinya, tetapi komennya tidak dipersetujui seorang pengikut yang berpendapat Anuar terlalu beriya-iya memuji, sedangkan Aina baru memiliki satu album.

Tidak berdiam diri, Anuar kembali membalas komen dengan mengatakan itu adalah pendapat peribadinya.

"Maaf saudara, itu adalah pendapat peribadi saya. Ramai penyanyi yang hebat di negara kita. Aina adalah salah seorang daripadanya.

"Marilah kita raikan kejayaan orang lain, anugerah yang Allah kurniakan kepada Aina yang membahagiakan ramai dengan karya dan bakat.

"Tidak kisahlah walaupun satu lagu atau satu album atau tidak album. itu bukan pengukur untuk berjaya. Apa yang penting, Aina berjaya di mata peminat.

"Ini hanyalah pendapat peribadi. Terima kasih atas pandangan saudara, saya hargai," tulis penyanyi lagu Bila Resah itu.

Anuar dalam komen ditinggalkannya dalam satu akaun Instagram bangga dengan persembahan Aina di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang disifatkan hebat, minggu lalu.
Anuar dalam komen ditinggalkannya dalam satu akaun Instagram bangga dengan persembahan Aina di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang disifatkan hebat, minggu lalu.

Sementara itu, Anuar juga enggan ikut campur apabila diminta menasihati penyanyi wanita itu mengenai penampilannya.

Anuar berkata, sekiranya seseorang penyanyi rasa selesa dengan imej yang ditampilkan, biarkanlah mereka teruskan.

"Bukan tempat saya untuk menasihati Aina. Saya terima semua penyanyi seadanya. Jika mereka selesa dengan cara mereka, biarlah mereka teruskan berkarya menurut cara mereka sendiri.

"Bagi pendapat saya, bakat anugerah Allah kepada Aina dan cara menghiburkan peminat harus kita hargai dan berikan sokongan.

"Aina adalah superstar dan bersesuaian dengan cita rasa saya. Ramai penyanyi wanita hebat di negara ini yang saya kagumi dan hargai seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Ziana Zain, Misha Omar, Ernie Zakri dan ramai lagi.

"Kita raikan kepelbagaian bakat penyanyi wanita di negara kita. Masing-masing tiada duanya," ujarnya.

Berita Harian X