Selasa, 14 Mei 2024 | 1:01pm
Mengikut perancangan, Shake dan Alif akan digandingkan pada konsert di Paris, Perancis, Oktober depan. Foto NSTP
Mengikut perancangan, Shake dan Alif akan digandingkan pada konsert di Paris, Perancis, Oktober depan. Foto NSTP

Datuk Shake, Alif Satar bergabung di Paris

KUALA LUMPUR: Selepas menjayakan siri jelajah di United Kingdom (UK), Alif Satar & The Locos (ASTL) bakal mencipta sejarah apabila berkongsi pentas dengan penghibur legenda yang mencipta nama di Perancis, iaitu Datuk Shake.

Mengikut perancangan, Alif dan Datuk Shake atau nama sebenar, Sheikh Abdullah Ahmad Bahweres, 73, akan digandingkan pada konsert di Paris, Perancis, Oktober depan.

Masih belum menetapkan tarikh dan lokasi acara, namun, Alif yang juga vokalis The Locos cukup teruja dengan projek istimewa itu.

"Kami akan tinjau lokasi konsert itu. Saya belum ada maklumat terperinci mengenai komuniti Malaysia di Perancis terutama di Paris. Saya pernah pergi ke bandaraya itu sekali sahaja.

"Berikutan Oktober adalah musim cuti semester, jadi, kemungkinan, ada pelajar Malaysia di Perancis boleh menonton konsert itu.

"Kalau diikutkan ketika siri jelajah di UK, baru-baru ini, kami sepatutnya pergi ke Paris. Namun, ia ditunda hingga Oktober.

Alif (dua kiri) bersama The Locos bekerjasama
Alif (dua kiri) bersama The Locos bekerjasama

"Konsert di Paris adalah projek besar ASTL manakala Julai ini, kami buat persembahan di Singapura," katanya ditemui pada majlis pelancaran lagu Kumandang di Hotel W di ibu negara, baru-baru ini.

Alif bersyukur diberi peluang mencipta nama di luar negara termasuk dipilih rangkaian hotel antarabangsa, Marriot Bonvoy bagi merakamkan lagu Kumandang.

Projek lagu Kumandang adalah kerjasama pertama Marriott Bonvoy bersama artis tempatan bagi mempamer kecemerlangan hospitaliti rangkaian Hotel Marriott melalui kuasa muzik.

"Macam tidak percaya ada jenama besar seperti Marriot yang mahu bekerjasama dengan kami. Melalui projek ini, peminat yang datang ke konsert ASTL boleh menginap di salah satu rangkaian Hotel Marriot.

"Sama seperti siri jelajah di UK, kerjasama dengan Marriot juga memberi pengalaman baharu kepada kami," katanya.

Alif berkata, kerjasama dengan Marriot terjalin sebelum Ramadan dan mereka diberi peluang merakamkan lagu di Bali, Indonesia, selama tiga hari.

"Kami merakamkan lagu di Studio W di Bali. Di sana, kami dimanja dan dihargai sebagai kumpulan pop.

"Sebelum ini, artis yang pernah merakamkan lagu di studio itu adalah Datuk Sheila Majid," katanya.

Alif berkata, ASTL sangat berbesar hati dan berbangga apabila dipilih Marriot Bonvoy untuk menjalin kerjasama itu.

"Tidak pernah ada kerjasama seperti ini dan kami adalah band tempatan pertama memilih kami sebagai yang pertama untuk menjayakan projek ini," katanya.

Single Kumandang adalah kerjasama sulung antara Mariott Bonvoy dengan penggiat seni tempatan bagi menonjolkan kecemerlangan hospitaliti rangkaian Hotel Marriot melalui muzik.

Melalui projek lagu Kumandang, muzik video dihasilkan ASTL turut menampilkan pemenang pertandingan mencipta lagu yang dianjurkan Mariott Bintulu Paragon.

Sementalah berada di Eropah, Oktober depan, Alif berhasrat bertemu dan menjalin kerjasama dengan penyanyi dan komposer, Edry Abdul Halim yang bermastautin di Manchester.

"Ketika kami berada di UK, kami cuba mencari Edry. Tetapi, ketika itu, Edry pulang beraya di Kuala Lumpur.

"Kami berharap ada projek dengan Edry sebab kagum dengan kebolehannya mencipta lagu. Jadi, kami harap, dalam perjalanan ke Paris, kami dapat singgah ke Manchester jumpa beliau," katanya.

Berita Harian X