Ahad, 12 Mei 2024 | 11:20am
Janna beri amaran tidak mengganggu kebahagiaan rumah tangganya bersama Dini. - Foto IG Janna Nick
Janna beri amaran tidak mengganggu kebahagiaan rumah tangganya bersama Dini. - Foto IG Janna Nick

Janna sanggup dipenjara pertahan rumah tangga?

KUALA LUMPUR: Pelakon, pengacara dan penyanyi, Janna Nick tidak kisah sekiranya perlu 'bermati-matian' dalam menjaga rumah tangganya bersama suami, Dini Schatzmann.

Janna atau nama sebenar, Nurul Jannah Muner, 29, berkata selepas mengambil masa empat tahun bersetuju mengahwini Dini yang disifatkan keputusan besar dalam hidupnya, dia tidak mahu mahligai dibina dihancurkan orang ketiga.

Bagaimanapun, Janna mengaku, lambakan kes kemelut rumah tangga membabitkan beberapa pasangan selebriti tempatan turut menimbulkan kerisauan dalam dirinya.

Justeru, pelantun lagu Gatal itu turut memberi amaran kepada mana-mana individu agar tidak mengganggu kebahagiaan rumah tangganya bersama Dini.

Wanita kelahiran Sungai Petani, Kedah itu menegaskan, dirinya tidak peduli sekiranya perlu dimasukkan ke penjara demi mempertahankan rumah tangga dibina.

"Sudah tentu saya sangat menyayangi suami kerana hendak mendirikan rumah tangga bukan satu keputusan mudah.

"Saya ambil masa empat tahun sebelum putuskan mahu berkahwin dengan Dini. Bagi saya, perkahwinan adalah satu perkara yang membuatkan saya trauma.

"Saya datang daripada keluarga yang berpecah-belah. Saya trauma dengan perceraian, jadi beberapa kali Dini ajak berkahwin, saya cakap masih belum sedia. Selepas empat tahun barulah saya putuskan berkahwin dengan Dini," katanya kepada BH Online.

Janna datang daripada keluarga berpecah-belah, jadi trauma dengan isu perceraian. - NSTP/Hazreen Mohamad
Janna datang daripada keluarga berpecah-belah, jadi trauma dengan isu perceraian. - NSTP/Hazreen Mohamad

Mengulas apa yang dimaksudkan rela dipenjarakan demi mempertahankan rumah tangga, Janna berkata, dia sudah tentu tidak mahukan perceraian.

"Saya tak mahu cakap besar. Semestinya kita tak mahu diuji dengan perkara yang paling tak diinginkan.

"Jadi, apa yang saya katakan sebelum ini lebih kepada jawapan secara spontan sekiranya saya diuji sebegitu.

"Saya masih belum stabil dan Dini tahu ada masa saya bertindak di luar kawalan, jadi kalau ada orang yang mencuba untuk mengganggu rumah tangga, saya takut perkara sebegitu terjadi.

"Sekiranya terjadi, saya juga tak mahu orang gelak sebab saya masuk penjara," katanya.

Katanya, setakat ini, memang tiada orang yang mencuba untuk mengganggu rumah tangganya.

"Sebenarnya, ia bergantung kepada personaliti seseorang. Macam Dini, dia tidak bergaul sangat dengan orang.

"Walaupun ada yang beranggapan saya 'queen control', tapi sebenarnya kami memerlukan antara satu sama lain, tiada siapa yang kawal siapa antara kami.

"Personaliti Dini memang tak mahu bergaul dengan orang dan jarang balas mesej orang atau buat hantaran dalam media sosial.

"Orang sebegini lagi senang kita tahu sebab kalau tiba-tiba berubah jadi aktif dalam media sosial, kita boleh agak ada sesuatu," katanya.

Janna dan Dini bergelar suami isteri pada 10 Jun tahun lalu dalam satu majlis yang berlangsung di Langkawi dengan hanya dihadiri keluarga dan rakan terdekat.

Berita Harian X